Ramai rakan yang tidak sabar untuk keluar mengundi setelah sekian lama berkempen dan ‘dikempen’. Bagi kita yang bukan ahli politik pun terasa penat. Bayangkan apa perasaan ahli-ahli politik yang terlibat secara langsung dalam PRU-14 ini.

Kita menghargai mereka yang secara sukarela mengetengahkan diri untuk bertanding dan berkhidmat kepada rakyat. Tidak kira sama ada menang atau kalah, kedua-duanya memerlukan pengorbanan tenaga, wang dan masa keluarga.

Sekiranya menang, sebahagian daripada mereka berpeluang memegang jawatan dalam pentadbiran yang pendapatannya mungkin tidak setimpal dengan tanggungjawab berat yang dipikul.

Sekiranya mereka kalah, lagilah berat kerana mungkin terpinggir dari kancah politik negara sekarang-kurangnya selama lima tahun.

Dalam tempoh kempen, pelbagai isu telah dibangkitkan. Antara yang paling kerap dibahaskan adalah cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Izinkan saya menyentuh lima perkara berkenaan GST yang telah diperkenalkan sejak tiga tahun yang lalu pada 1 April 2015:

i) GST enam peratus ini menggantikan cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan enam pe­ratus. Ia bukan cukai tambahan.

ii) Kadar enam peratus yang dikenakan adalah yang terendah di ASEAN dan antara yang terendah di dunia. Sebanyak 160 negara telah melaksanakan GST atau Value Added Tax (VAT).

Sebagai contoh, kadar di Si­nga­pura adalah tujuh peratus, Thailand (tujuh peratus), Indonesia (10 peratus), Vietnam (10 peratus) dan Filipina (12 peratus). Di Australia 10 peratus dan di United Kingdom jauh lebih tinggi iaitu 20 peratus.

iii) Untuk mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rak­yat, kerajaan telah memperluaskan senarai barangan asas yang dikenakan kadar sifar atau terkecuali dari GST. Ini termasuk barangan makanan asas seperti beras, gula, mi­nyak masak, ayam, daging, ikan, ubat-ubatan, buku dan minyak petrol RON95 serta diesel.

iv) Semasa pelaksanaan GST di­umumkan dalam Bajet 2014 pada 25 Oktober 2013, kerajaan juga telah mengumumkan langkah ‘pengimbangan’ atau offset measures seperti pengurangan cukai pendapatan individu antara satu hingga tiga peratus, pengurangan cukai pendapatan korporat dari 25 peratus kepada 24 peratus dan pengurangan cukai perusahaan kecil dan sederhana dari 20 peratus kepada 19 peratus.

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan juga ditingkatkan dari RM500 ke RM650 manakala isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 sebulan mula diberikan BR1M sebanyak RM450 buat pertama kali.

Seterusnya dalam Bajet 2015, jumlah BR1M telah dinaikkan masing-masing kepada RM950 dan RM750.

Untuk individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah pula, BR1M dinaikkan kepada RM350. Ini semua bertujuan untuk meringankan impak kenaikan harga barang.

v) Tujuan asal pelaksanaan GST adalah untuk memperluaskan asas percukaian negara memandangkan kita hanya ada dua juta pembayar cukai pendapatan, satu jumlah yang kecil berbanding jumlah rak­yat Malaysia seramai 30 juta.

GST adalah cukai penggunaan (consumption atau indirect tax) di mana mereka yang berbelanja lebih adalah dalam kalangan yang berpendapatan lebih. Ini juga selaras dengan langkah konsolidasi fiskal yang menyasarkan bajet seimbang dalam jangka pertengahan.

Dengan peningkatan pendapatan kerajaan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal kita malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh sebelum ini seperti pembinaan lebuh raya, jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, klinik desa dan lain-lain. Ini termasuklah pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang rancak pembinaannya dan dijangka siap pada 2022.

Terdapat cadangan untuk menghapuskan GST dan berbalik kepada sistem percukaian lama iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Bagi saya ini suatu langkah yang ke belakang atau regressive dan boleh membahayakan ekonomi.

Ini kerana kutipan GST pada 2017 adalah sebanyak RM42 bilion dan dijangka meningkat kepada RM44 bi­lion tahun ini berbanding kutipan SST sebanyak RM17 bilion pada 2014.

Sekiranya GST dimansuhkan, terdapat kekurangan pendapatan sebanyak RM27 bilion (dua peratus da­ri­pada Keluaran Dalam Negara Kasar).

Sekiranya ini berlaku, kerajaan ada tiga pilihan. Pertama, menaikkan cukai pendapatan atau memperkenalkan cukai baharu seperti cukai keuntungan modal (capital gains tax).

Kedua, mengurangkan perbe­lan­jaan termasuk perbelanjaan pem­ba­ngu­nan. Ini bermakna membatalkan atau menangguhkan pro­jek-projek pem­bangunan yang telah diluluskan sebelum ini atau ketiga, me­ningkatkan defisit fiskal kepada lima peratus.

Kesemua opsyen tersebut amat berbahaya kerana boleh menjejaskan pasaran modal dan mengakibatkan penarafan kredit hutang antarabangsa negara kita diturunkan daripada paras A3/A- kepada BBB.

Ini sudah tentu akan meningkatkan kos pinjaman dan memudaratkan ekonomi negara.

Saya berharap sistem GST akan dikekalkan. Perhatian boleh diberikan kepada memperbaiki lagi pelaksanaan program dan projek-projek yang dapat memberikan lebih peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.

Ini selaras dengan matlamat mo­del baharu ekonomi yang menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang inklusif dan mampan.

Menjelang esok, saya menyeru rakan-rakan mengamalkan tiga per­kara berikut:

i) Keluar mengundi seawal mu­ngkin kerana ini adalah hak kita se­bagai warganegara Malaysia.

ii) Jangan membenarkan pendapat politik memecahbelahkan atau mengasingkan keluarga. Silaturahim perlu dikekalkan.

iii) Menerima keputusan dengan hati terbuka, merapatkan saf dan bersatu membangunkan negara.

Marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing, bersikap membina dan menghayati atau mengamalkan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Selamat mengundi dan salam hormat.

TAN SRI ABDUL WAHID OMAR ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.