Pekema menerima banyak aduan daripada syarikat jualan bumiputera tentang dasar daripada pengurusan baru syarikat tersebut yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Proton Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB), Dr. Li Chunrong sejak November lalu yang dikatakan banyak memberi tekanan kepada mereka dengan pentadbiran agak keras.

Lebih malang DRB-Hicom yang merupakan pemegang saham utama Proton yang diketuai oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Sri Syed Faisal Albar yang sebelum ini memberi jaminan kedudukan bumiputera dalam Proton akan dijaga juga kelihatan tidak mampu berbuat apa-apa.

Dasar Proton terkini dilihat boleh memusnahkan sebahagian majoriti wakil jualan bumiputera dan perkhidmatan Proton sedia ada dalam usaha syarikat untuk menaik taraf kepada pusat pengedaran dan servis di bawah satu bumbung.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ia bukan usaha untuk memburukkan imej Proton atau sebaliknya. Ini kerana ia merupakan satu agenda bumiputera yang perlu diperingatkan semula, sejajar dengan tujuan penubuhan Proton lebih 30 tahun lalu, tegas beliau dalam wawancara ini.


MINGGUAN: Apa sebenarnya kebimbangan utama dalam isu ini?

ZAINUDDIN: Pada mesyuarat agung Pekema pada 27 Januari lalu, ada syarikat wakil jualan Proton yang merupakan ahli Pekema telah membangkitkan masalah yang mereka hadapi. Jadi dari situ, kita minta Proton dan kerajaan ambil tahu mengenai kepentingan agenda bumiputera yang tidak diendahkan lagi dan tidak menjadi keutamaan kepada pengurusan baru Proton. Kami lihat Proton telah lari daripada tujuan asal yang membawa kepada penubuhan Proton dulu. Apa yang kita risau, dalam Proton sendiri pun semuanya dikuasai oleh Geely.

Kita bukan tidak sokong pembabitan Geely kerana kita tahu tujuannya untuk pulihkan semula Proton tetapi yang menjadi masalah, apabila pengurusan tertinggi semuanya telah diambil alih dan dikuasai mereka yang kini telah melaksanakan dasar-dasar baru yang menekan wakil-wakil jualan. Dan wakil jualan bumiputera lebih terkesan memandangkan kira-kira 85 peratus daripada mereka masih lagi bertaraf 1S (Jualan). Sekarang pun mereka sukar untuk bersaing dengan pengedar bukan bumiputera apatah lagi dengan dasar kuku besi’, bagaimana mereka dapat bertahan?

Apa isu lain yang dibangkitkan pengedar-pengedar ini?

ZAINUDDIN: Ada sembilan isu utama yang mereka mahu kita ketengahkan bagi mengelakkan wakil bumiputera terus terbeban dan berhadapan dengan dilema.

1Tempoh yang singkat iaitu kurang setahun untuk dinaik taraf daripada 1S kepada 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) bagi membolehkan wakil jualan ini menjual model baharu Geely-Proton, Boyue. Untuk naik taraf ini sahaja, pengedar perlu melabur antara RM3 juta hingga RM5 juta sedangkan jualan kereta Proton sekarang secara purata yang dapat dijual hanya sekitar 20-30 buah sebulan. Ada banyak faktor kereta tidak boleh dijual terutamanya disebabkan bank ketatkan syarat pinjaman dan wujudnya ‘double-standard’ oleh pihak bank terhadap Proton berbanding jenama kereta yang lain. Jenama lain lebih mudah mendapat kelulusan pinjaman berbanding jenama Proton.

2 Pengurangan margin kepada tiga peratus berbanding empat peratus sebelum ini. Walaupun ada beberapa insentif galakan yang hampir mustahil, apatah lagi Proton tetapkan sasaran jualan yang sukar dicapai dalam keadaan pasaran sekarang.

3Mengenakan pelbagai caj dan faedah kepada wakil jualan sekiranya kereta tidak dijual dalam tempoh 14 hari. Faedah akan dikenakan sebanyak 10.35 peratus setahun pada hari ke-15 dan seterusnya.

4Fasiliti kewangan iaitu PAR (Payment After Registration) akan dimansuhkan pada 1 Mac 2018 pasti turut membebankan para wakil jualan dalam situasi sekarang yang mana jualan semakin merosot sehingga tidak dapat menampung kos operasi bulanan. Kita mohon Proton teruskan fasiliti PAR ini. Kita tidak mahu kemudahan ini ditarik balik kerana membantu syarikat jualan dalam pasaran yang penuh kesukaran.

5Proton juga mengenakan sistem 'block’ di mana stok yang masih belum terjual dan belum dijelaskan pembayaran kepada Proton selepas tempoh 60 hari, akan menyebabkan sistem wakil jualan disekat operasinya. Segala urusan agihan stok juga disekat. Ini akan menjejaskan proses perjalanan urus niaga dan memberikan imej yang tidak baik kepada para pelanggan. Oleh itu Proton perlu bertimbang rasa dan eloklah diteruskan pemberian kemudahan kepada wakil jualan agar dapat meningkatkan jualan bulanan, bukan mengenakan berbagai-bagai sekatan kepada wakil-wakil jualan.

6Proton dilihat bergantung kepada model SUV baru yang bernama Boyue bagi mengembalikan pasaran Proton. Kita doakan Proton berjaya namun, bolehkah model baru ini kembali meningkatkan jualan Proton memandangkan dengan harga anggaran RM100,000, pengguna mempunyai banyak pilihan untuk membeli kereta jenama lain yang lebih mereka yakini.

7Pemberian diskaun khas sebanyak 10 peratus yang diberikan kepada Persatuan Hokkien, kakitangan Petronas dan DRB-Hicom dan institusi kewangan (termasuk ahli keluarga terdekat) juga menjejaskan jualan kenderaan dalam kalangan wakil jualan, ini kerana pembeli hanya boleh membeli daripada pengedar Proton sendiri bukan daripada wakil jualan. Jelas ini satu diskriminasi kepada wakil jualan kerana mereka tidak dapat memberi diskaun khas.

8Proton juga perlu bertegas mengawal persaingan yang tidak sihat sesama wakil jualan Proton. Proton perlu mengambil tindakan terhadap wakil jualan yang memberi diskaun yang melampau yang kebanyakannya dilakukan oleh wakil bukan bumiputera dan ini telah pun membunuh banyak wakil jualan bumiputera yang terpaksa tutup kerana tidak mampu bersaing dan menghadapi kerugian yang berterusan. Pengurusan dilihat berpeluk tubuh dan tidak buat apa-apa untuk mengawal persaingan yang tidak sihat ini.

9Orang yang menjaga perancangan dan pembangunan wakil jualan Proton diketuai oleh seorang bukan bumiputera yang tentunya tidak mempunyai jiwa untuk membantu bumiputera. Beliau telah memberi berbagai tekanan dan tidak memberi pilihan kepada wakil jualan bumiputera 1S dalam usaha untuk naik taraf kepada 3S. Tidak ada kompromi atau rundingan.

 

Sebelum adanya dasar-dasar baru ini, bagaimana situasi wakil jualan Proton?

ZAINUDDIN: Sekitar 2015 hingga 2016, saya difahamkan mereka menjual antara 40 hingga 50 unit sebulan. Bagaimanapun, jualan Proton tahun lalu menurun kepada 70,991 unit berbanding 72,291 unit pada 2016. Saya tahu ada banyak kekangan yang dihadapi oleh wakil-wakil jualan ini. Antaranya, dari segi pembayaran gaji minimum dengan rata-rata mereka mempunyai 15 pekerja termasuk ejen. Kalau hanya dapat jual secara purata 20-30 buah kereta sebulan bagaimana mereka nak menampung kos operasi, sewa bangunan, bayaran gaji pekerja dan sebagainya.

Sejak November berapa kerugian yang dicatatkan wakil-wakil jualan ini?

ZAINUDDIN: Berdasarkan aduan yang saya terima ia melibatkan kerugian yang teruk iaitu sekitar 40 hingga 50 peratus setiap bulan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Kerugian ini sudah berlarutan dalam jangka masa yang agak lama. Ramai wakil jualan bumiputera telah bertukar tangan dan ada yang telah pun gulung tikar.

Antara syarat yang perlu dipenuhi ialah wakil-wakil jualan perlu membuka pusat servis 3S di atas tanah sendiri atau tanah sewa. Masalahnya bukan mudah nak dapatkan pemilikan tanah dalam tempoh yang singkat. Bukankah begitu Datuk?

ZAINUDDIN: Ya, ini satu perkara yang paling sukar dan tidak logik sebab nak beli tanah dan tukar nama pun memakan masa lebih enam bulan. Tetapi pengurusan baru Proton tetapkan syarat-syarat ketat iaitu wajib naik taraf ke 3S dalam tempoh kurang setahun. Sudah tentu ini sukar direalisasikan oleh wakil jualan bumiputera. Kalau tak ikut syarat ini, mereka akan tukar dengan wakil jualan lain yang kemungkinan besar rata-ratanya adalah wakil jualan bukan bumiputera. Di Lembah Kelang ini terutamanya, mana nak dapat tanah untuk bina bangunan sendiri atas tanah seluas 0.61 hektar (1.5 ekar) seperti ditetapkan pengurusan baru Proton ini. Jelas tidak logik. Wakil jualan bumiputera tidak mampu untuk menyewa atau membeli tanah 0.61 hektar (1.5 ekar) tersebut. Akhirnya di Lembah Kelang, saya percaya akan dimonopoli oleh wakil jualan bukan bumiputera.

Tidak ada langsungkah wakil jualan bumiputera yang bertaraf 3S?

ZAINUDDIN: Jumlahnya sangat sedikit dan hanya boleh dibilang dengan jari. Di Lembah Kelang difahamkan hanya ada dua sahaja. Konsep 3S wakil jualan bumiputera dilihat masih belum mampu untuk menjalankan perniagaan 3S di Lembah Kelang kerana berbagai-bagai faktor. Inilah realitinya.

Ini baru tiga bulan dasar baru diperkenalkan oleh pengurusan baru Proton. Apa jadi Datuk kalau masih berterusan?

ZAINUDDIN: Tidak mustahil dalam lima hingga enam bulan ini, vendor-vendor bumiputera Proton pula yang akan ‘mati’, bisnes tutup tak boleh berniaga. Margin sedia ada pun tidak mampu menampung kos operasi inikan pula saya difahamkan mereka nak kurangkan lagi 30 peratus. Jadi sebelum wakil jualan dan vendor ini lebih ramai yang 'bungkus,' maka eloklah kerajaan berbuat sesuatu.

Sejak dasar ini dimulakan November lalu, di Lembah Kelang sahaja, banyak wakil jualan bumiputera sudah bungkus daripada keseluruhan wakil jualan bumiputera yang ada. Diakui ada juga wakil jualan bukan bumiputera yang sudah menutup perniagaan mereka tetapi nisbah wakil jualan bumiputera lebih ramai. Kita ingin menyuarakan kebimbangan bahawa jualan wakil-wakil bukan bumiputera akan menguasai sepenuhnya pasaran Proton pada masa akan datang.

Tetapi Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak baru-baru ini memberi jaminan akan menjaga masa depan Proton. Pada pandangan Datuk, adakah ini termasuk masa depan vendor dan wakil jualan atau sebaliknya?

ZAINUDDIN: Kami melihat Perdana Menteri amat ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menjaga masa depan Proton. Malangnya keikhlasan dan kesungguhan Perdana Menteri tidak sejajar dengan pengurusan Proton baru yang dikuasai oleh Geely yang kelihatannya tidak ada lagi agenda bumiputera dan tidak lagi menjadi keutamaan mereka. Kita bukan nak salahkan atau bangkang kerajaan mahupun Proton. Tidak sama sekali! Kita memang sangat hargai usaha Perdana Menteri melawat kilang Proton di Tanjung Malim dan bagi jaminan tentang masa depan Proton yang akan terus dijaga walaupun di bawah Geely. Cuma kita harap hasrat beliau dapat dijayakan oleh pengurusan Proton yang baru ini. Itu sahaja kita mahukan.

Antara faktor yang mendorong kepada syarat naik taraf 3S ini juga disebabkan Proton akan memulakan jualan Boyue tahun ini. Adakah Pekema ada sebarang cadangan dalam perkara ini?

ZAINUDDIN: Kita difahamkan pihak Proton dengan bantuan kerajaan akan membawa masuk sejumlah besar secara CBU Boyue dengan insentif istimewa daripada kerajaan bagi menggalakkan jualan Proton di pasaran, malangnya CBU Boyue ini difahamkan akan diberi kepada wakil jualan Proton 3S sahaja. Ini satu lagi diskriminasi secara halus kepada wakil jualan bumiputera 1S yang tidak diberi hak untuk menjual CBU Boyue.

Tetapi difahamkan untuk bantu usahawan bumiputera dalam industri automotif, kerajaan ada sediakan dana. Adakah dana itu digunakan?

ZAINUDDIN: Memang ada dana ini yang dikutip daripada ahli Pekema iaitu RM10,000 setiap AP. Dan kutipan ini telah pun mencecah RM3 bilion sejak 2010. Daripada dana ini, 20 peratus diperuntukkan untuk pembinaan kapasiti di bawah Institut Automotif Malaysia (MAI) manakala 40 peratus untuk Pekema. Lagi 40 peratus pula akan disalurkan untuk membantu membangunkan usahawan bumiputera dalam sektor automotif.

Tetapi, dana dan peruntukan ini tidak diagihkan dan diuar-uarkan jadi tidak ada yang memohon. Maknanya dalam tempoh lapan tahun ini, peruntukan 40 peratus ini tidak pernah diagihkan walaupun kita tahu ada beberapa permohonan dibuat. Jadi, kita minta pada kerajaan supaya dana ini diagihkan untuk bantu wakil-wakil jualan bumiputera ini. Kita harap dengan pinjaman mudah ini usahawan bumiputera boleh bergerak ke hadapan manakala Proton pula melonggarkan syarat mereka.

Bagaimana dengan pembiayaan?

ZAINUDDIN: Dari segi pembiayaan pula, kita nak gunakan dana yang disumbangkan oleh Pekema selama lapan tahun ini. Ikut perkiraan kami, untuk bangunan sahaja ia menelan kos antara RM2 juta hingga RM3 juta. Kos ini tidak termasuk tanah. Jika ikut kos tanah, misalnya di kawasan utama di Lembah Kelang harganya antara RM800 hingga RM1,200 satu kaki persegi dengan mengambil kira lokasi yang strategik dan di hadapan jalan raya. Ia berbeza dengan lokasi lain di Kulim contohnya antara RM200 hingga RM300 satu kaki persegi. Jadi, dengan kos tanah (ambil kira RM800 kaki persegi di Lembah Kelang) dan memenuhi syarat 0.61 hektar yang ditetapkan Proton, ia dianggarkan mencecah RM52 juta. Ini belum lagi mengambil kira modal pusingan sebanyak RM3.5 juta untuk membeli kereta dan kos membina bangunan yang kesemuanya menelan kos sebanyak RM60 juta.

Selain kita menggunakan dana tersebut, kita juga mempertimbangkan platform lain iaitu melantik pengurusan profesional untuk jaga pusat 3S dan menggunakan ahli yang boleh jalankan perniagaan ini secara usaha sama. Tetapi dalam masa sama, 25 syarikat yang merupakan ahli Pekema juga masih bertaraf 1S.

Apa kekangan yang menyebabkan bumiputera tidak boleh naik taraf ke 3S ini? ZAINUDDIN: Prestasi Proton sendiri sebenarnya. Selain sudah lama tidak mengeluarkan model baru (Persona dikeluarkan penghujung 2016), pengguna juga semakin hilang keyakinan dan ini menyebabkan penguasaan pasaran jatuh. Dalam masa sama, prestasi Proton dalam tempoh enam hingga tujuh tahun ini asyik bertukar tangan dari Khazanah Nasional Berhad dan kemudiannya DRB-Hicom Berhad yang menunjukkan satu ‘bentuk penyelesaian yang kukuh’. Ini menyebabkan pengedar tidak tahu hala tuju dan ambil keputusan untuk teruskan perniagaan walaupun menanggung kerugian. Memang ada yang cakap kena berubah, ya, kita boleh berubah, tapi soalnya mana nak dapatkan tanah buat bangunan sendiri dalam tempoh setahun?

Apakah harapan Pekema terhadap Proton?

ZAINUDDIN: Kita semua sayangkan Proton, Proton adalah imej negara dan satu kebanggaan rakyat Malaysia. Kita mengalu-alukan Geely sebagai rakan kongsi strategik Proton. Kita minta pihak kerajaan khususnya MITI yang diterajui oleh Datuk Sri Mustapa Mohamed yang cukup prihatin dengan nasib bumiputera dalam industri automotif dan Kementerian Kewangan (MOF) yang telah memberi lebih RM1 bilion kepada Proton dalam bentuk perjanjian mudah supaya dapat memastikan Proton mengekalkan dasar agenda bumiputera selaras dengan Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan sambungan kepada Dasar Ekonomi Baru. Justeru vendor-vendor dan wakil-wakil jualan bumiputera mestilah terus dibantu dan janganlah biarkan mereka ditindas oleh dasar-dasar dan polisi-polisi baru yang akan membunuh mereka secara perlahan-lahan.