Bermula dengan pembentukan Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991 bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda 1947, senario itu menunjukkan betapa serius isu ini untuk ditangani. Pemangkin kepada penggubalan Akta Pelindungan Kanak-Kanak 1991 adalah de­ngan tersebarnya kisah penderaan kanak-kanak kecil berusia 26 bulan pada 1990, S. Balasundram yang membawa kepada kematiannya. Kanak-kanak malang ini dipercayai didera oleh bapa kan­dungnya sendiri yang kemudian ditinggalkan berdekatan tandas Hospital Kuala Lumpur pada 13 Mei 1990.

Menurut kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), statistik penganiayaan dan penderaan kanak-kanak pada 2016 adalah sebanyak 4,982 kes. Angka itu meningkat pada 2017 iaitu pertambahan sebanyak 460 kes, menjadikan jumlah kes keseluruhan dilaporkan sebanyak 5,442 kes. Pada 2018 pula iaitu dari Ja­nuari sehingga April sebanyak 1,929 kes telah dilaporkan di seluruh negara.

Penganiayaan kanak-kanak ini bukanlah tertakluk kepada penderaan fizikal sahaja, bahkan termasuk penderaan seksual dan juga pengabaian. Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak berkenaan.

Pengabaian pula merujuk kepada kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, pemakanan, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.

Walaupun telah diwujudkan akta khusus untuk memben­dung jenayah ini, kes penderaan dan penganiayaan kanak-kanak ini seakan tidak berhenti. Saban hari, ada sahaja kes yang dide­ngari sama ada melalui media sosial mahupun media massa. Bahkan, penganiayaan kanak-kanak ini semakin menjadi-jadi walaupun hukuman setimpal telah pun dikenakan kepada pesalah sebelum ini.

Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016, hukuman denda RM50,000 bersama hukuman penjara sehingga 20 tahun telah diperuntukkan bagi kesalahan mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak. Jumlah denda ini telah ditingkatkan berbanding sebelum pindaan akta iaitu RM20,000. Jika membabitkan kematian, pesalah berhadapan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati.

Tidak cukup dengan itu, Seksyen 27, 28 dan 29 dalam Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 turut memperuntukkan bahawa tiga pihak lain yang terlibat juga boleh dikenakan tindakan sekiranya tidak melaporkan kes pendera­an, penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak ini.

Mereka adalah pegawai perubatan atau pengamal perubatan berdaftar, mana-mana anggota keluarga dan juga pengasuh kanak-kanak terbabit. Kegagalan laporan dibuat boleh menyebabkan disabitkan hukuman penjara atau denda (didenda tidak me­lebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya).

Sebagai masyarakat yang me­nuju era kemodenan hidup dan peningkatan daya pemikiran, dasar tutup pintu, mata dan teli­nga tidak boleh diguna pakai dalam isu ini. Kerap kali kita mendapati dalam beberapa laporan kes penganiayaan, jiran-jiran pernah mendengar tangisan tetapi disangkakan tiada apa-apa.

Kesan lebam yang ketara tetapi beranggapan kanak-kanak terbabit terjatuh, tidak mengambil tindakan apabila mangsa pernah bercerita pada rakannya bahawa dia dipukul dan sebagainya.

Persoalannya, apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat sekiranya mempunyai maklumat ber­kaitan kes penderaan atau penganiayaan kanak-kanak ini? JKM telah menyediakan beberapa inisiatif agar kes itu segera dilapor bagi membolehkan tindakan pantas dapat diambil.

* Talian telefon Talian Kasih 15999.

* Melaporkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berhampiran dengan tempat tinggal pelapor.

* Melaporkan kepada mana-mana balai polis atau pondok polis yang berhampiran.

* Melaporkan kepada mana-mana ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak atau Pusat Aktiviti Kanak-Kanak yang terdapat di kawasan berlakunya penganiayaan.

* Merujuk terus ke hospital yang berhampiran.

Pembentukan kanak-kanak yang sihat adalah tunjang kepada ekonomi negara di masa hadapan. Percaya atau tidak, kajian oleh Columbia University dan City University of New York menunjukkan golongan dewasa yang mempunyai sejarah penderaan atau penganiayaan semasa kecil akan memberi kesan kepada tahap pembelajaran, pekerjaan, perolehan pendapatan dan juga aset berbanding dengan golongan dewasa yang lain.

Kajian juga menunjukkan kaum wanita lebih terkesan berbanding lelaki. Hakikatnya, pen­deraan dan penganiayaan ini bukan lagi di peringkat awal tetapi sudah berada di tahap yang sa­ngat membimbangkan.

Ambillah tanggungjawab di mana sahaja kita berdiri. Berdiri sebagai penjaga memerlukan iman yang kuat di hati untuk melihat anak kecil ini sebagai anugerah yang terindah.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.