Mahkamah Majistret Jumaat lalu bagaimanapun membebaskan Abang Botak daripada hukuman penjara selepas membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu. Majistret Nur Shahira Abdul Salim menetapkan RM6,000 sebagai jaminan dan dia dikehendaki melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali setiap bulan.

Parti-parti politik pun seperti biasa turut serta, tumpang sekaki. Rugilah kalau isu yang sedang diperbualkan masyarakat ini berlalu begitu sahaja tanpa campur tangan parti politik. Inilah masa untuk dapat sedikit keuntungan politik. Inilah juga waktu mahu tunjuk sisi cakna masing-masing.

Salah satu perkara yang mencetuskan rasa simpati segelintir orang kepada pesalah itu ialah kerana timing kejadian tersebut. Dia dijatuhi hukuman penjara setahun, seminggu sebelum menjelang Syawal. Maknanya dia akan beraya ‘di dalam’. Pemuda itu juga ada dua anak yang masih kecil. Maksudnya isteri dan anak-anak akan menyambut lebaran tanpa suami dan ayah kali ini. Menyambut Syawal tanpa orang yang dikasihi memang menyedihkan. Hanya orang yang pernah mengalami tahu perasaan ini. Lantas ada yang menyifatkan dia wajar diberi peluang kedua. Abang Botak wajar dikenakan hukuman yang lebih ringan dan bersifat mendidik seperti hukuman melakukan kerja-kerja amal atau kemasyarakatan.

Pada masa yang sama ramai juga yang merasakan hukuman setahun penjara itu wajar, jika dilihat kepada perbuatan ala samseng jalan raya yang dilakukan itu. Hukuman ini diharap dapat memberi pengajaran kepada diri pesalah dan samseng-samseng jalan raya lain.

Sebenarnya ada berpuluh-puluh lagi ‘Abang Botak’ di luar sana yang perangainya lebih kurang sama malah ada yang lebih teruk daripada ‘Abang Botak’ yang mendapat simpati ramai ini. Lagak mereka mengalahkan ‘bas mini’ yang pernah diberi jolokan ‘Raja Jalan Raya.’ Individu ini merasakan jalan raya adalah pusaka tinggalan nenek moyang mereka dan boleh berbuat sesuka hati.

Menunggang secara berkumpulan tanpa memakai topi keledar, menunggang secara beriringan sambil berbual persis di kedai kopi dengan rakan- rakan penunggang lain walaupun di belakang berengsot- engsot kenderaan lain tidak berani memotong. Penunggang samseng jenis ini juga suka membunyikan hon sesuka hati sambil menjegilkan biji mata seperti harimau mahu menerkam mangsa kepada pemandu kereta lain yang ‘membalas’ hon mereka, menunggang sambil mencilok dan ‘memancung’ hadapan kenderaan lain sesuka hati sehingga tercungap-cungap pemandu menekan brek mengejut juga satu lagi perangai buruk penunggang samseng ini.

Penunggang sedemikian juga merasa hebat dan puas apabila dapat menendang kereta, menghentak dan merosakkan cermin sisi pengguna jalan raya lain hanya kerana pemandu kereta memberi isyarat mahu menukar lorong pemanduan sehingga mengganggu atau menghalang seketika laluan mereka.Perbuatan ini adalah insiden harian yang kerap dilihat atau dialami sendiri oleh sesiapa sahaja pemandu kereta.

Penunggang motosikal spesies ini ibarat tak boleh disentuh tetapi pada masa yang sama mereka bebas membuli pengguna jalan raya lain. Walaupun begitu penunggang samseng ini amat takut kepada pemandu treler balak, kontena, lori pasir, bas ekspres, lori simen dan kenderaan berat lain. Mereka terlalu kecil dan bila-bila masa sahaja boleh dilenyek kenderaan berat tersebut.

Penunggang samseng seperti ini seronok membuli kerana pemandu kereta tidak mampu berbuat apa-apa. Kejadian berlaku terlalu pantas dan sukar dirakam lebih-lebih lagi jika berlaku ketika jalan raya sesak tak bergerak. Namun begitu sekarang tidak lagi. Kebanyakan pemandu sudah memasang kamera pada papan pemuka kereta masing-masing. Khabarnya sejak kes Abang Botak berlaku, lebih ramai pemandu mengambil inisiatif memasang kamera sedemikian sebagai langkah berhati-hati. Mereka mungkin tidak dapat berbuat apa- apa ketika dibuli atau kenderaan mereka diapa-apakan, tetapi mereka masih ada bukti untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa atau mengambil jalan mudah menularkan satu-satu insiden itu menerusi pelbagai platform media sosial.

Para penunggang motosikal terutama penunggang samseng tidak sedar bahawa kebanyakan pemandu kenderaan lain terutama kereta amat berhati-hati apabila memandu berhampiran motosikal di jalan-jalan besar apatah lagi kalau motosikal itu turut dibonceng oleh isteri atau anak kecil mereka. Mereka akan memperlahankan kenderaan dan seboleh-bolehnya mahu menjarakkan diri daripada penunggang motosikal bagi mengelakkan kejadian luar jangka berlaku. Para pemandu kereta sentiasa bersimpati melihat para penunggang motosikal yang basah kuyup atau lencun ketika hujan lebat.

Bagaimanapun yang menjadi masalah sekarang ialah sikap segelintir penunggang motosikal terutama penunggang samseng yang sentiasa menanam dalam kepala otak mereka satu persepsi bahawa kebanyakan pemandu kereta tidak mengambil kisah atau seringkali menyusahkan pengguna motosikal ketika berada di atas jalan raya. Persepsi buruk yang ditanam itu menyebabkan mereka cepat sangat naik baran apabila melihat kesilapan kecil yang dilakukan pemandu kereta.

Kes Abang Botak sudah memasuki fasa baharu sehingga menarik banyak pihak membincangkan kes itu dari sudut perundangan. Bagaimanapun apa yang paling penting sekali ialah kes ini menjadi satu pengajaran terutama kepada penunggang motosikal samseng yang merasa begitu ‘bebas’ selama ini. Semoga selepas kes Abang Botak yang baru berlaku itu, tidak ada lagi penunggang samseng merasakan ‘jalan raya kami punya!