cikgu-2
 

2. Lama saya cuba menyelongkar dalam pencarian berpuluh tahun satu sistem dan corak pendidikan yang menyeluruh dan memenuhi ciri ciri keperluan kemahiran sedia ada dan minat anak-anak bangsa agar tidak seorangpun yang akan tercicir. Akhirnya dengan izin Allah saya bertemu Program Permata. Ianya merupakan mirip modul pendidikan terbaik yang saya cari selama berpuluh tahun dalam 'lautan' pendidikan yang luas ini.

3. Saya bersyukur kerana dapat melanjutkan pelajaran ke England. Begitu juga isteri saya yang belajar di sana dari peringkat ijazah sehinggalah ke Phd. Ini bermakna saya berada 'on and off' di England dari tahun 1995 hingga ke 2018. Anak-anak saya sempat belajar di England dan seorang daripadanya, Aisyah menghabiskan keseluruhan persekolahan menengahnya di sana.

4. Pendidikan di England bertujuan melahirkan murid-murid yang menggilap bakat yang sedia mereka miliki dan ini bersesuaian dengan kemahiran yang ada pada Aisyah. Pendidikan adalah bersifat menghiburkan (fun learning) dan murid-murid begitu teruja untuk ke sekolah. Mungkin kerana itu, Aisyah lebih berminat untuk bercerita tentang kegembiraannya dan perkara baru yang dipelajarinya. Mungkin semua murid begitu dan tidak timbul masalah keciciran atau kehadiran. Murid tidak boleh bercuti sesuka hati. Teringat peristiwa di mana ada ketikanya, apabila saya membawa anak bercuti untuk beberapa hari dan menulis surat tentang ketidak hadiran mereka. Guru kelas mereka menjadi terkejut kerana ini tidak boleh diterima kerana aktiviti percutian hanya boleh dilakukan semasa percutian sekolah yang sebenar. Anak anak dan ibu bapa dengan sendirinya terasuh bahawa tidak hadir ke sekolah merupakan satu kesalahan. Ibu bapa boleh didenda £60 (RM330) sekiranya anak ponteng sekolah tanpa kebenaran munasabah. Jumlah ini akan menjadi dua kali ganda jika tidak dibayar dalam tempoh 21 hari. Ibu bapa juga boleh didakwa kerana membawa anak bercuti tanpa kebenaran semasa waktu persekolahan.

5. Menariknya pendidikan di England ialah apabila murid-murid sering diajar dalam situasi dunia sebenar (real life situation). Sebagai contohnya pada sekolah rendah lagi ketika murid diajar seni lukis, mereka dibawa ke Art Gallery dan ketika mereka belajar sejarah mereka berjalan kaki bersama guru ke muzium untuk mendapatkan maklumat dan mengetahui apa yang perlu. Mereka juga diajar berenang dan dibawa ke kolam renang mengikut jadual yang ditetapkan. Pendidikan ialah menyediakan mereka untuk melalui hari-hari dalam kehidupan sebenar.

6. Mata pelajaran mereka juga melibatkan sukan dan sekolah berkolaborasi dengan kelab-kelab bola sepak ternama seperti Manchester United dan Manchester City untuk datang memberi pencerahan tentang dunia sukan baik dari segi permainan ataupun dari sudut sumber pendapatan untuk memacu ekonomi melalui sukan. Sesekali pemain ternama akan turut serta bermain bersama-sama mereka atau memberi ceramah kepada pelajar. Ini tidak terhad kepada sekolah lelaki sahaja. Malahan sekolah perempuan juga mendapat peluang yang sama. Aisyah yang menyokong kelab Manchester United berasa janggal apabila memakai jersey pasukan Manchester City kerana bermain untuk pasukan yang ditaja oleh Manchester City di sekolahnya. Tidak seperti di Malaysia di mana aktiviti kokurikulum (koko) pada setiap hari Rabu lebih membosankan kerana murid tidak dijuruskan kepada kemahiran, minat atau kekuatan mereka. Guru-guru juga terbeban dengan koko hari Rabu dan akhirnya hari Rabu merupakan hari yang panjang dan membosankan. Berlainan dengan di England kerana murid-murid boleh berkecimpung dalam bidang seni (lakonan, penulisan dan lukisan), sukan dan muzik bagi menyediakan mereka berkerjaya dalam bidang bidang ini sebagai mata pencarian mereka di kemudian hari.

7. Selama bersekolah di Manchester, seperti ibu bapa lain, saya tidak pernah melihat kad kemajuan (report card) yang menunjukkan kedudukan anak saya di dalam kelas. Murìd-murid tidak pernah dikategorikan mengikut pencapaian akademik kérana itu bukan matlamat pendidikan di England. Memberi nombor berdasarkan pencapaian akademik mereka dilihat tidak adil kerana murid-murid berbeda kecenderungan. Ini hanya mewujudkan sikap rendah diri murid yang pencapaian akademik mereka tidak begitu cemerlang. Murid murid tidak mahu diajar berlumba lumba dengan rakan rakan lain kerana ini akan melahirkan persaingan yang tidak sihat yang bakal melahirkan masyarakat yang tidak mahu bertoleransi.

cikgu-1
 

8. Aisyah dapat mengembangkan bakat yang ada padanya. Dia yang begitu meminati muzik telah berjaya menjadi johan dalam 'Levenshulme Got Talent' selama beberapa tahun. Selain daripada itu juga ketika hendak menentukan jurusan yang hendak diambilnya di sekolah menengah, guru-guru menemuduganya (dan pelajar lain) dan memantau kecenderungannya. Pada cuti sekolah dia dihantar untuk menimba pengalaman di bidang yang dipilihhnya sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan dalam jurusan yang dipilihnya.

9. Seperti saya, Aisyah juga meminati bidang penulisan. Menariknya, dia lebih beruntung daripada saya kerana setiap hari Rabu dia mempunyai matapelajaran 'Creative Writing' sejak dari sekolah rendah lagi untuk mengasah bakat penulisannya. Alangkah beruntungnya saya jika saya juga berpeluang mengikuti kelas ini. Tetapi malang kelas seperti itu tidak ada dalam sistem pendidikan di Malaysia. Itulah sebabnya mereka berjaya melahirkan ramai penulis yang berjaya di peringkat antarabangsa seperti Jackie Rowlings. Saya amat kasihan kepada pelajar sekolah rendah di Malaysia apabila mereka hanya dibenarkan menulis tidak lebih daripada 90 patah perkataan pada soalan yang melibatkan karangan dalam peperiksaan UPSR. Bagaimana dengan mereka yang ingin menulis lebih dari itu kerana mereka berbakat? Jelas kebolehan merekaa dihadkan dan itu sebabnya murid-murid ini akan menghadapi masalah apabila mereka memulakan persekolahan menengah. Ungkapan biasa guru-guru Bahasa Inggeris di sekolah menengah ialah "Dapat English A dalam UPSR tapi mengarangpun tak tahu".

 

10. Paling menarik ialah apabila Aisyah berjaya menonjolkan bakat kreatifnya dalam bidang lakonan memegang watak utama dalam pementasan tahunan sekolahnya dalam Oliver Twist dan The Jungle Book. Begitu bangga kami apabila menonton Aisyah membawa wataka Oliver dengan baik sekali dalam loghat Scottish. Ketika itu kami berasakan bahawa kejayaan Aisyah menunjukkan bahawa anak Malaysia juga mempunyai kebolehan yang membanggakan jika diberi peluang.

11. Selain daripada itu juga Aisyah telah melibatkan diri dalam kerja kerja amal pada usia yang begitu muda untuk didedahkan tentang bantuan kepada golongan yang memerlukan. Cuti sekolahnya dipenuhi dengan kerja kerja amal seperti mengumpul dana untuk The Penny Appeal.

12. Saya kagum kerana pendidikan di England telah berjaya melahirkan para pelajar yang begitu berjaya dalam bidang mereka sendiri. Jika mereka memilih jalan akademik, mereka menjadi ahli akademik yang terbaik. Jika mereka menjadi ahli seni yang terkenal di seluruh dunia. Bahkan jika mereka menjadi ahli sukan, mereka juga berjaya di pentas antarabangsa. Saya juga teruja melihat seorang pembina rumah dipandang tinggi di sana.

13. Sebagai seorang guru dan ayah kepada anak-anak yang pernah mendapat pendidikan yang memenuhi kehendak keperluan dan minat mereka, saya mahu melihat anak-anak luar bandar Malaysia juga mendapat peluang terbaik menerokai kemahiran mereka dalam bidang pendidikan. Justeru saya boleh memahami dan menghayati wawasan pendidikan yang dipelopori oleh Datin Seri Rosmah Mansor melalui Program Permatanya. Saya berharap agar rakyat Malaysia boleh memisahkan ideologi politik dan kepentingan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak Malaysia.

14. "Kanak kanak mempunyai berlainan minat dan kehendak. Mereka memerlukan dasar dan suasana yang sesuai untuk mengasah bakat mereka", kata isteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang keenam itu. Permata bertujuan memberi segala peluang yang terbaik kepada anak anak yang tidak mempunyai keupayaan kewangan. Datin Seri Rosmah mahu melihat pendidikan terbaik diberi secara percuma kepada anak-anak yang kurang mampu kerana katanya "jangan menghukum anak anak Malaysia untuk berjaya hanya kerana mereka dari keluarga yang miskin."

15. Kemajuan pendidikan negara sepatutnya tidak boleh dipolitikkan. Jika Permata dimansuhkan Datin Seri Rosmah tidak akan rugi, namun mangsa sebenar adalah anak anak berbakat yang mahu sesuatu kelainan dalam hidup mereka kerana tidak semua manusia adalah sama.

Artikel adalah pandangan peribadi penulis. Cikgu Kamarulazman ialah penulis blog Dari Jauh

cikgu-0