Tekanan yang dihadapi oleh manusia penghuni dunia ini sebenarnya telah memberikan kesan yang agak kritikal sekali terhadap pembangunan pendidikan formal dan tidak formal bagi abad baharu ini kerana tekanan ini se­ring mengakibatkan tekanan mental dan emosi manusia itu sendiri, yang secara langsung mencabar keberkesanan pendidikan terhadap generasi baharu daripada keluarga dan masyarakat, juga pendidikan rasmi di sekolah dan pusat-pusat pengajian formal terhadap pembangunan insan daripada aspek jas­mani, rohani dan akal mereka.

Hal ini mempunyai kaitan yang rapat dengan pendidikan Islam kerana Islam adalah satu sistem hidup yang bertujuan mendidik ma­nusia seluruhnya dan pendi­dikan itu tidak hanya disalurkan melalui kitab-kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT.

Malah misi itu diperkuatkan dengan perutusan para Nabi dan Rasul yang di­utuskan untuk mendidik manusia dengan perkataan, perbuatan dan contoh teladan yang sewajarnya bagi mencipta dunia dan penghuninya yang bertamadun.

Oleh kerana umat Islam mempunyai sistem hidup yang amat komprehensif dalam kehidupannya iaitu Islam sebagai Al-Din, maka cabaran bagi penggubal dasar pendidikan Islam kini adalah untuk melihat semula akan konsep dan nilai-nilai keagamaan (Al-Din) dalam konteks gunaan atau terapan dan aplikasinya secara pragmatik, konkrit, berkesan dan menjadi inspirasi di dalam semua bidang kehidupan.

Dalam memenuhi tujuan ini, maka keseluruhan konsep World View Islam atau Al-Tasawwur Al-Islami dan Sarwajagat Islam perlulah dilihat dalam satu komponen dan konteks hierarki, pertalian dan jaringan padat serta dinamik dengan mengenal pasti contoh-contoh nilai tonggak dalam amalan dan realiti kehidupan semasa umat Islam agar dapat dijanakan sebagai salah satu bentuk pemikiran kognitif aras tinggi.

Pendidik yang cemerlang adalah yang menguasai metodologi pengajaran, teknik mengajar, pedagogi, andragogi yang dalam masa sama adalah ciri-ciri ketrampilan profesional seorang guru.

Ajaran Islam menekankan bahawa profesionalisme keguruan adalah bersandarkan kepada ilmu yang dikuasainya dan aplikasi amalannya sendiri dalam konteks ilmunya itu. Di samping itu nilai penting dalam konteks ini juga adalah nilai positif, ufuk minda yang luas, pemikiran sejagat dan set minda yang dinamik, berhikmah dan hormat diri, berwawasan dan mempunyai keya­kinan diri - yang semuanya ini adalah gambaran dan contoh terbaik guru terhadap pelajarnya

Sebagai umat Melayu, maka umat ini sendiri haruslah mengkaji dan mengetengahkan legasi dan ketrampilan mereka dalam bidang ilmu warisan, tamadun, perpustakaan, manuskrip mereka terutamanya yang menonjolkan peranan umat Melayu dalam tamadun Islam dan penghayatan Islam sebagai Al-Din serta pe­ngaruh mempengaruhi di antara budaya Melayu dan tradisi wa­risan Islam.

Dalam konteks inilah terdapat refleksi yang membawa beberapa teori tentang pendekatan ulama kita dalam kehidupan semasa dan kefahaman mereka tentang falsafah serta konsep Al-Din yang sebenarnya.

Pendekatan kepada pengajaran ibadat dan fardu ain tidak sangat memberikan perhatian dan penekanan terhadap kebajikan umum, isu-isu masyarakat, pengurusan hal ehwal negara dan politik yang sihat, etika dan amalan nilai-nilai akhlak yang baik, keadilan sosial dan amalan syura serta persaudaraan di antara umat sering diabaikan dalam memahami dan memberikan kefahaman agama kepada masyarakat.

Malahan gejala keruntuhan moral dan kepincangan perwatakan generasi baharu ini ternyata dengan agak jelas sekali dengan berleluasanya penyakit dan gejala sosial, keruntuhan moral, perlanggaran nilai-nilai murni kehidupan dan penentangan terhadap peraturan serta undang-undang sehingga terdapat di antaranya yang berasa gembira jika dapat mengelakkan diri daripada membayar hutang dan zakat atau cukai pendapatan, malah membuli, mencuri dan memeras ugut teman-teman walaupun perlakuan ini sebenarnya adalah bertentangan dengan ajaran agama sendiri.

Akibat daripada sikap dan sifat terpencil daripada kepu­nyaan ber­sama dalam masyarakat, maka kanak-kanak akan membesar dalam suasana yang memberikan perasaan kepadanya bahawa menunaikan ibadat peribadi itu sudah mencukupi syarat kehidupannya untuk menjadi manusia yang bermoral dalam kehidupannya.

Hal ini akan membawanya ke dalam alam kehidupan individua­listik, mementingkan dirinya semata-mata kerana itulah makna kehidupan menurut kefahamannya yang amat negatif terhadap kehidupan bermasyarakat.

Sekiranya kualiti zahir dan batin, fizikal dan spiritual ini tidak berakar umbi jauh di dalam emosi dan hati nurani kanak-kanak Islam, maka generasi Muslim ini akan mewarisi salah faham dan apathy ini kepada ge­nerasi berikutnya, seterusnya akan menjadi satu pega­ngan hidup seluruh generasi Islam berkurun-kurun lamanya.

Hal ini adalah satu pengajaran dan pengalaman yang amat malang di dalam masyarakat Islam turun temurun.

Inilah sebenarnya kesalahan yang menimpa semua negara dan pemerintah Islam akhir-akhir ini dan tidak ada sebuah pun negara Islam yang telah berusaha memahami mekanisme ini, apa lagi merencanakan kaedah mengajar agama Islam yang betul bagi me­lahirkan generasi Islam yang baharu untuk melaksanakan perancangan kelahiran ummah negara Malaysia Baharu.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).