Ini kerana penderaan emosi itu bukan sahaja tidak kelihatan pada pandangan mata kasar mereka tetapi juga tidak memberi sebarang impak dan kesan secara jelas jika dibandingkan dengan penderaan fizikal. Penderaan fizikal mudah kelihatan dengan pelbagai tanda seperti luka dan pendarahan, lebam dan patah anggota serta lain-lain kecederaan fizikal.

Namun, keadaan ini tidak berlaku dalam kebanyakan kes melibatkan penderaan emosi, menjadikan ia amat sukar untuk dikenal pasti dan diadili. Walhal, kes penderaan emosi lebih banyak berlaku berbanding kejadian pende­raan fizikal.

Keadaan ini juga berlaku kerana kelompok manusia lebih peka dan sensitif terhadap kejadian penderaan fizikal berbanding penderaan emosi, sesuai dengan fitrah kecederaan emosi yang mudah tersorok berbanding de­ngan kecederaan fizikal yang begitu ketara kelihatan dan menjadikan ia lebih banyak mengundang keprihatinan masyarakat.

Namun, rasa keprihatinan ini tidak berlaku dalam aspek penderaan emosi, lalu tiada jaminan bahawa pen­deraan emosi itu dapat dielakkan dan dicegah. Atau dapat dibendung daripada berlaku seandainya masyarakat tidak mendapat maklumat dan ke­sedaran yang tepat tentangnya serta langkah-langkah pelaksanaan pencegahan awal sebelum ia berlaku.

Cara pencegahan awal yang diajarkan Islam telah diberi contoh oleh Rasulullah SAW melalui sebuah hadis baginda yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud yang bermaksud: “Seorang mukmin itu bukanlah seorang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.”

Memang benar bahawa mencegah itu lebih baik daripada merawat dan kecederaan emosi perlu dirawat serta ada cara dan kaedah terbaik dan terbukti serta mampu untuk merawatnya. Namun sebelum ia menjadi terlambat dan kronik, masyarakat perlu dididik dengan kesedaran terhadap keburukan penderaan emosi.

Penderaan emosi difahami sebagai sebarang bentuk perilaku yang melibatkan kejadian seperti pengasingan atau pemulauan dan penyisihan ke atas mana-mana individu secara sengaja dan sedar, strategik dan terancang, berlaku serangan secara lisan yang berterusan, sebarang penghinaan dan intimidasi atau apa-apa peri laku lain yang boleh mendatangkan perasaan kerendahan moral dan kehilangan maruah keperibadian dan identiti, serta harga diri pada individu tertentu atau sesiapa sahaja.

Penderaan emosi ini juga dikenali sebagai penderaan psikologikal atau sering diungkap bagi menggambarkan pembulian emosi. Seringkali juga ia dinyatakan sebagai penderaan lisan yang dilakukan secara agresif dan melampau.

Secara ketara, penderaan emosi boleh berlaku akibat da­ripada perbuatan seperti mengejek dengan nama panggilan yang tidak elok, menghina keperibadian dan maruah, mendatangkan ancaman, kritikan menghina secara ke­terlaluan, sindiran yang mengaibkan, ungkapan kasar dan kata-kata yang menyakitkan, meletakkan tuduhan palsu dan pembulian emosi serta lain-lain yang akan mendatangkan kecede­raan emosi dan kehilangan identiti moral.

Kecederaan emosi akan berlaku dengan pelbagai tanda dengan mangsa akan berasa takut dan cemas, rendah diri akibat hilang maruah dan harga diri serta pelbagai simptom trauma lain yang menyentuh isu kesihatan, akhirnya menjejaskan kesejahteraan mental dan emosi serta fizikal.

Mangsa penderaan emosi turut mengalami kekeliruan identiti diri dan memiliki tahap kerendahan harga diri dan moral yang kronik. Jika tidak dibantu dan dipulihkan sewajarnya, ia akan mengakibatkan gejala gangguan mental dan emosi lain seperti penyakit kebimbangan dan kemurungan yang akhirnya boleh juga membawa kepada kejadian bunuh diri.

Masyarakat perlu memahami bahawa penderaan emosi adalah satu malapetaka senyap kerana ia memberi kesan secara berbahaya. Sebarang kejadian yang melibatkan penderaan emosi ini perlu dirujuk kepada pakar untuk urusan pemantauan oleh pihak berkuasa.

Kecederaan emosi jika tidak terawat seumpama api dalam sekam yang akan mencetuskan lebih banyak keburukan secara tanpa diduga dan disedari. Namun sedar-sedar, semuanya sudah terlewat. Mahukah kita semua menerima tanggungjawab kesan buruk kecederaan emosi orang lain yang berlaku akibat daripada kekhilafan dan kejahatan kita sendiri? Apakah jaminan bahawa kita akan terlepas daripada seksaan tersebut, akibat daripada ke­cuaian kita sendiri?

Di sini, Islam menganjurkan bahawa kemuliaan seseorang Islam itu dilihat dari betapa baik akhlak dan tingkah lakunya serta mulia tutur katanya. Inilah gambaran kepada jiwa dan rohnya. Ia bersesuaian dengan sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bermaksud: “Seorang Muslim yang baik itu ialah apabila orang Muslim lain berasa selamat dari kejahatan lidah dan tangannya.”

Berhati-hatilah dalam pertuturan dan ungkapan agar tidak menyakiti. Sebarang keterlanjuran, perlulah diakui dan mohonlah kemaafan kerana permohonan maaf juga satu terapi yang merawat gejala kecederaan emosi.

PENULIS ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).