Untuk sampai ke 2050 itu, Malaysia akan dipandu oleh Transformasi Nasional 2050 (TN50) - satu gagasan pembinaan negara untuk 30 tahun akan datang. Walaupun TN50 sedang diba­ngunkan untuk mendapat input dari segenap lapisan masyarakat, namun ciri-ciri Malaysia yang di­idamkan itu adalah sebuah Malaysia yang maju. Ini kerana Dasar Transformasi Nasional bertujuan mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara maju, high income advanced economy.

Pada 24 Oktober 2016, theguardian.com melaporkan bahawa Iceland adalah negara terbaik untuk wanita. Ini kerana dasar pembangunan wanitanya berjaya meletakkan wanita Iceland di kedudukan tertinggi dalam petunjuk-petunjuk global pembangunan wanita.

Dari segi jurang gaji gender, pendapatan wanita Iceland 14 peratus kurang daripada lela­kinya (berbanding UK, 17.4%). 84 peratus wanita Iceland berada dalam pasaran buruh (berbanding UK, 72.1%). 44 peratus komposisi lembaga pengarah di Iceland adalah wanita (berban­ding UK, 26%). 41.3 peratus kerusi parlimen Iceland diisi oleh wanita (berban­ding UK, 29.4%).

Akhirnya, 24 peratus wanita yang berusia 25-64 tahun di Iceland, memiliki ijazah sarjana muda atau yang setaraf (berban­ding UK, 23.1%).

Ramai yang melihat statistik ini dengan sinis. Ini kerana petunjuk-petunjuk ini dilihat sebagai kayu ukur Barat semata-mata dan bukan kayu ukur Islam. Malah, ramai yang mengaitkan statistik ini dengan perkara negatif lain, khususnya institusi keluarga yang terjejas.

Benarkah begitu? Mari kita intai sedikit kehidupan wanita-wanita di Iceland, berdasarkan dasar-dasar mesra wanita/ ke­luarga yang digunapakai di sana.

Pertama, undang-undang mengenai cuti bergaji untuk ibu dan bapa selepas kelahiran anak. Selepas bersalin, wanita di Iceland boleh mengambil cuti ini selama tiga bulan. Bila masuk kerja, suami pula yang mengambil cuti tersebut selama tiga bulan. Sesudah itu, suami isteri ini boleh bergilir-gilir mengambil cuti bergaji ini untuk menjaga anak mereka untuk tiga bulan lagi.

Ini bermaksud, di Iceland, seorang bayi yang baru lahir akan dijaga ibu atau bapanya di rumah untuk sembilan bulan pertama kehidupannya.

Kedua, subsidi upah penjagaan harian anak-anak. Selepas sembilan bulan, bila kedua-dua ibu dan bapa perlu bekerja, anak-anak akan dihantar kepada pengasuh. Para ibu bapa diberikan subsidi untuk membayar upah pengasuh ini sehingga anak itu berusia 3 tahun.

Ketiga, penjagaan anak-anak selepas waktu sekolah khas bagi kanak-kanak yang berusia 6 - 9 tahun. Ia beroperasi di setiap sekolah rendah dari pukul 2 petang hingga 5.15 petang dan kosnya ditanggung oleh ibu bapa.

Bagaimana pula keadaan sebuah keluarga “sandwich” – keluarga yang suami dan isterinya bekerja tetapi tersepit antara tanggungjawab membesarkan anak-anak dan menjaga ibu dan/atau bapa yang tua dan uzur di Iceland? Apakah bantuan yang ada?

Ternyata bahawa Iceland – dalam membangunkan wanita­nya – bukan sahaja membuka ruang itu semaksimum mungkin, tetapi juga menye­diakan sistem sokongan yang sewajarnya bagi memastikan penglibatan wanita di luar rumah itu tidak menjejaskan kualiti hidup mereka dan keluarga mereka.

Sekiranya senario di Iceland ini menggambarkan kehidupan wanita di negara maju, apakah penulis, anak, cucu dan cicit penulis – yang perempuan semuanya itu – akan menikmati apa yang dinikmati oleh wanita-wanita Iceland ini di Malaysia pada tahun 2050 nanti?

Atau Malaysia hanya akan mengejar statistik itu tanpa menyediakan sistem sokongan sosial yang sewajarnya? Atau mungkin Malaysia hanya akan menetapkan peratusan yang sedikit rendah dari Barat kerana percaya bahawa hanya itulah peratusan yang wajar dalam konteks sosio-budaya kita? Atau Malaysia sama sekali tidak mahu mengejar statistik itu kerana ia bukan kayu ukur Islam?

Apakah kayu ukur Islam dalam pembangunan wanita? Tidakkah perjuangan memberi pendidikan kepada wanita sehingga ke universiti sesuatu yang dituntut oleh Islam? Bila wanita telah berjaya mendapat segulung ijazah, tidakkah perjua­ngan untuk membolehkan mereka memasuki pasaran kerja dan me­nyumbang semula kepada masyarakat satu perjuangan yang Islamik? Bila wanita memasuki pasaran kerja, tidakkah perjuangan untuk memberi gaji yang sama untuk pekerjaan yang sama antara lelaki dan wanita adalah keadilan yang dituntut Islam? Sekiranya ada dalam kalangan wanita ini yang berkebolehan untuk menjadi pemimpin, bukankah melantik mereka sebagai ahli lembaga pe­ngarah dan wakil rakyat juga sesuatu yang Islamik? Siapa kata kayu ukur global ini tidak Islamik?

Pada pandangan penulis, dalam menuju 2050 ini, dalam hal pembangunan wanita, isunya bukan lagi apakah Islam membenarkan wanita untuk terlibat di luar rumah ataupun tidak. Isu ini telah lama selesai. Isu yang perlu diselesaikan dalam masa 30 tahun ini adalah seramai manakah wanita yang kita mahu terlibat di luar rumah dan sejauh manakah kita mahu mereka pergi?

Usaha membangunkan wanita juga tidak cukup dengan penyediaan ruang dan peluang semata-mata. Ia perlu dilengkapi dengan penyediaan sistem sokongan sosial bagi memudahkan wanita melaksanakan kedua-dua tanggungjawab mereka di dalam dan di luar rumah.

PENULIS ialah Felo Kanan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).