Isu 1MDB contohnya telah disensasikan habis-habisan. Pelbagai tuduhan dan tohmahan mereka lemparkan kepada kerajaan malah apabila 1MDB melunaskan sebahagian hutangnya kepada IPIC, ia turut dipersoalkan.

Jika sebelum ini mereka bertanya mampukah 1MDB membayar hutang tersebut, tetapi apabila sebahagian pembayaran dibuat mereka bertanya pula dari mana 1MDB mendapat sumber kewangan untuk berbuat demikian.

Ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan operasi pembersihan bagi menghapuskan amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Felda, tidak ada pujian yang dihamburkan oleh pembangkang kepada agensi tersebut.

Begitu juga apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan siasatan ke atas syarikat-syarikat besar yang memanipulasikan cukai, tiada pujian yang diterima daripada pakatan pembangkang, tetapi apabila ada pemimpin mereka ditahan SPRM dan ada anak pemimpin mereka disiasat oleh LHDN, maka mereka pun terlompat bagaikan 'kera kena belacan’.

Mereka mengaitkan apa yang dilakukan oleh SPRM dan LHDN ada kaitan dengan politik dan membuat andaian lebih banyak tekanan politik akan dilakukan oleh kerajaan melalui agensi-agensinya ke atas Pakatan Harapan.

Tidak cukup dengan itu serangan juga dilakukan ke atas projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan. Contoh terbaru ialah pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Mereka bukannya bercakap soal bagaimana projek itu bakal memberi ruang dan lonjakan kepada kemakmuran di Pantai Timur serta kekuatan ekonomi yang perlu digunakan oleh segenap lapisan masyarakat tetapi mereka lebih suka untuk bercakap soal nilai projek dan kononnya ia akan mengakibatkan kerajaan berhutang dengan negara China.

Persoalannya apakah kerana individu yang ditahan oleh SPRM dan disiasat oleh LHDN mempunyai kaitan dengan Pakatan Harapan maka mereka tidak boleh disentuh?

Begitu juga dengan projek-projek mega seperti ECRL, tidakkah suatu ketika dahulu projek-projek seumpama itu dianggap akan mendatangkan kesusahan kepada rakyat sedangkan ia bertujuan sebaliknya?

Lebih menarik untuk ditanya ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menerajui negara selama 22 tahun, adakah beliau pernah berusaha untuk membersihkan nama anak-anaknya daripada pelbagai tuduhan oleh musuh-musuh politiknya yang kini menjadi sahabat karib beliau?

Bukankah kalau berpegang kepada prinsip, "pemimpin bukan hanya kelihatan mesti bersih tetapi mesti benar-benar bersih", beliau sepatutnya mengarahkan siasatan dilakukan?

Tetapi kenapakah sekarang apabila siasatan dijalankan bersesuaian dengan jeritan pembangkang dalam memperjuangkan ketelusan, keadilan dan kesamarataan, mereka menuduh pula ia bermotifkan politik?

Kenapa perlu membakar entah sudah berapa ribu batang lilin kononnya untuk menunjukkan sokongan kepada pemimpin pembangkang yang ditahan sedangkan pihak berkuasa ada asas berbuat demikian?

Oleh itu pembangkang perlu menghentikan politik hipokrit mereka. Cukuplah dengan lakonan sanggup bersekongkol bersama-sama dalam satu pakatan kononnya bagi menyelamatkan Malaysia sedangkan semua orang tahu betapa dahsyatnya permusuhan politik sesama mereka sebelum ini.

Apa yang cuba dilakukan Pakatan Harapan ketika ini tidak ada tujuan lain, selain daripada mahu menutup pekung yang semakin membusuk dan menanti masa untuk bertebaran, sekali gus membuktikan pemimpin-pemimpin mereka tidaklah hebat mana atau tidaklah sebersih salji.

Sepatutnya mereka mengalu-alukan apa juga tindakan SPRM dan LHDN kerana setakat ini sudah terbukti kedua-dua agensi itu menjalankan tugas dengan profesional. Yang disiasat, ditahan dan didakwa bukan hanya melibatkan pemimpin Pakatan Harapan, pemimpin BN dan UMNO juga tidak terlepas.

Tidak adil

Apa yang berlaku di Melaka dan Johor sudah menjadi bukti, begitu juga apabila siasatan dijalankan ke atas Felda. Adakah tindakan SPRM itu boleh dianggap tidak adil dan bertujuan memburuk-burukkan imej kerajaan BN?

Kenapa tiada seorang pun pemimpin BN atau UMNO membidas tindakan SPRM itu seperti mana pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan melompat?

Kalau mahu menuduh kerajaan BN menggunakan agensi-agensi untuk memberi tekanan politik kepada pembangkang, apakah suatu ketika dahulu ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri tuduhan yang sama tidak dilemparkan?

Khususnya ketika Operasi Lalang pada tahun 1987 dan tindakan polis menyuraikan penunjuk perasaan ketika berlaku krisis politik pada 1998. Begitu juga apabila seorang pemimpinnya dihukum oleh mahkamah, tidakkah ketika itu institusi kehakiman telah dikecam oleh pemimpin-pemimpin pembangkang?

Justeru tidak perlulah pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan mahu menunjukkan kepada rakyat kononnya mereka dianiaya. Apa yang dilakukan oleh SPRM dan LHDN tiada kaitan dengan politik sebaliknya berasaskan kepada fakta dan bukti.

Sama ada pemimpin mereka yang ditahan dan anak-anak pemimpin mereka disiasat bersalah atau tidak, biarlah siasatan yang menentukannya. Kalau dibawa ke mahkamah, buktikan segala tuduhan yang dibuat tidak adil dan bermotif politik.

Pakatan Harapan yang kononnya mahu memberi harapan kepada rakyat sepatutnya mengamalkan politik matang, bukannya politik kebencian apatah lagi politik fitnah dan tohmahan.

Janganlah kerana mereka berada dalam barisan pembangkang maka apa juga tindakan yang diambil ke atas pemimpin mereka dianggap bermotif politik. Hentikanlah pendekatan dan pemikiran politik tahun 90-an. Janganlah terus mahu meracuni rakyat dengan politik tidak matang.

SPRM dan LHDN tidak ada masa mahu berpolitik atau bermain politik. Mereka bertindak berdasarkan maklumat dan fakta. Jika Pakatan Harapan benar-benar berjuang kononnya atas dasar keadilan dan mahu membanteras sebarang penyelewengan, izinkan kedua-dua agensi itu menjalankan tugas mereka.

Usah menjadi sekelompok manusia hipokrit yang 'cakap lain buat lain’ dan jangan sesekali mahu menyeret kedua-dua agensi itu ke dalam percaturan politik.

Selain itu, tiada salahnya untuk SPRM dan LHDN menjalankan siasatan kerana Dr. Mahathir sudah memberi 'lampu hijau’ dengan menegaskan, "mereka mempunyai hak tersebut dan boleh berbuat demikian’’.

Tetapi yang anehnya apabila SPRM dan LHDN bertindak, pemimpin-pemimpin pembangkang terpekik terlolong bagaikan 'kuntilanak tidak boleh jejak tanah’. Mereka mengecam kerajaan dengan pelbagai tuduhan.

Demikianlah politik hipokrit kelas tertinggi yang ditunjukkan oleh Pakatan Harapan.

Bagaimanapun tiada apa yang mahu dihairankan kerana dalam keadaan semakin 'muflis’ modal politik untuk memenangi PRU-14, segala-galanya terpaksa dipolitikkan sehingga terlupa pesanan orang tua-tua, berkokok sehebat manapun tidak berguna jika ekor penuh tahi.