Penjurusan khusus ditujukan kepada kalangan mereka yang bergelar Yang Berhormat (YB), yang memenangi pilihan raya atas tiket UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Mustahil pemergian mereka tanpa tersirat hasrat dan matlamat. Dan sudah tentu perkara mengenai memelihara kedudukan Islam dan mengukuh kedaulatan Melayu tidak ‘tercicir’ dalam perjalanan mereka?

Namun, tidak nampak pula penampilan mereka menyuara pendirian dan pandangan apabila terbangkit hal-hal berkaitan kepentingan Islam dan Melayu yang cuba digugat oleh sesetengan pihak?

Rakyat menyaksikan ‘pemergian’ kalangan YB ini sudah melebihi enam bulan. Rakyat ada sebab atau asas untuk bertanya, “di manakah kalangan pemimpin itu kini berada? Tidak ada pun yang muncul dalam mana-mana institusi mahu pun menganggotai Kabinet kerajaan...?”

Cuma terdengar kononnya ada kalangan mereka ini berperanan membantu sesetengah menteri Kabinet dalam tadbir urus kerajaan.

Terasa janggal dan ’murahnya’ kredibiliti seseorang yang sebelum ini pernah menjadi menteri kanan dalam kerajaan apabila misalnya sekadar diminta membantu Menteri Kewangan menyediakan Bajet untuk dibentangkan di Parlimen sekitar penghujung tahun ini.

Kalangan yang ‘melompat’ tidak banyak bersuara. Baik di Parlimen mahupun di hadapan khalayak. Sayanglah! Mereka ini kalangan yang boleh dianggap ‘berpengalaman’, tetapi nampak seperti sangat ‘terbatas’ untuk menyumbang.

Sama ada mereka tidak berminat untuk menyumbang kepada kerajaan yang ada atau sememangnya mereka sengaja ‘disekat’ dari bergerak aktif. Mungkin kerana bimbang ‘episod cerita’ politik dalam PH akan berubah.

Sesetengah pihak berpendapat, sukar bagi parti yang menerajui pakatan bertindak sesuka hati selagi jumlah kerusi dimenangi masih kecil berbanding rakan kongsi lain yang jauh lebih besar dalam Parlimen.

Lagi pun pernah terkeluar suara-suara yang bertanya “Buat apa melayan serpihan dari parti yang memang kita tidak sukai?” Barangkali kalangan YB yang melompat parti masih diselubungi dilema atau dihantui pertanyaan terhadap diri sendiri tentang apa tujuan sebenar mereka melompat parti, meninggalkan tapak asal ke padang baharu yang permukaannya belum rata dan menghijau?

Umum melihat moral pelompat parti terjejas. Kehadiran mereka di dalam PH ‘sekadar di pinggiran’. Jika kehadiran mereka dialu-alu atau dihargai, tentu ‘tuan rumah’ tidak membiarkan mereka sekadar bersila di serambi atau bersandar beranda!.

Pada masa sama, dalam kalangan pelompat ini tentu turut melihat gelombang politik negara sedang pesat berubah. Semakin jelas rakyat membangkitkan rasa tidak berpuas hati dengan pilihan mereka pada PRU-14 lalu.

Malah suara-suara demi menegakkan agama dan bangsa semakin lantang. Mereka terjemahkan buktinya melalui tiga Pilihan Raya Kecil (PRK), kecuali yang satunya bermirip sentimen kaum.

Dipetik laporan dan kajian dari pelbagai sumber sempena genap setahun pemerintahan kerajaan PH, rata-rata membawa kenyataan bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan kerajaan bagi membuktikan tiada berlaku kegagalan, kelemahan dan prestasi yang kurang meyakinkan rakyat. Apa pandangan para pelompat parti dalam hubungan ini?

Sebelum ini, rakyat yang berada di kawasan-kawasan yang terpaksa menjadi pembangkang kepada kerajaan, sedia memahami dan menerima kenyataan bahawa penyaluran pembangunan dan kemudahan ke kawasan mereka terencat atau mungkin terhad.

Namun, harapan mereka berubah apabila YB mereka sudah melompat parti. Dengan menganggotai parti kerajaan, harapan mereka tentu keadaan akan berubah. Namun impian tidak jua menjadi kenyataan.

Masih ramai pengundi tidak dapat menerima sikap YB yang melompat parti ini, dengan mengibaratkan mereka sebagai “tolak tangga menghayun kaki”. Ada yang masih mengungkit bahawa kemenangan YB mereka dulu atas tiket parti yang berbeza. Jadi, mereka turut mempersoalkan tentang moral dan sikap bertanggungjawab.

Hakikatnya, rakyat bawahan mahu tahu sejauh mana bermanfaatnya pemergian kalangan YB ini menganggotai parti baharu? Sejauh mana, kalau pun dikatakan kononnya mahu mengukuh kerajaan yang ada?

Kata rakyat, “Kalau setakat untuk menyelamat undi tidak percaya terhadap mana-mana pemimpin, berada dalam parti yang lama pun mereka boleh menyumbang”.

Perjuangan... jangan berhenti sekadar penat, tapi berhentilah setelah segalanya sudah tercapai!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.