LAPAN sektor peneraju utama bagi memacu pencapaian koperasi dalam bidang perniagaan. IHSAN ANGKASA

UTUSAN: Boleh Datuk terangkan mengenai pencapaian Angkasa sehingga kini?

ABDUL FATTAH: Alhamdulillah sejak 46 tahun ditubuhkan, Angkasa telah melalui liku-liku perjalanan yang mencabar dalam memberi perkhidmatan kepada koperasi di seluruh negara.

Angkasa ditubuhkan hasil Kongres Kerjasama Pertama pada 1966 dan diikuti Kongres Kerjasama Kedua pada 1971 yang a­khirnya mewujudkan satu-satunya badan mewakili Gerakan Koperasi Malaysia yang didaftarkan pada 12 Mei 1971 di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

Sehingga kini Angkasa menaungi kira-kira 13,500 koperasi yang mewakili pelbagai sektor. Sepanjang tempoh tersebut sudah banyak pencapaian diraih Angkasa dan kini institusi koperasi sudah menjadi pilihan masyarakat untuk menjalankan aktiviti ekonomi.

Keyakinan masyarakat terhadap koperasi terus meningkat dan sokongan daripada pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah dapat memacu pencapaian koperasi.

Apakah misi dan visi Angkasa?

Angkasa merangka pelan strategik sehingga 2050 bagi memberi pelbagai perkhidmatan kepada koperasi. Terdapat juga pelan tindakan jangka pendek (2017-2020), jangka sederhana (2021-2030) dan jangka panjang (2031-2050).

Penggubalan pelan yang mendapat inspirasi daripada program Transformasi Nasional 2050 (TN50) turut mengambil kira polisi kerajaan sebelum ini termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Visi Angkasa adalah untuk menjadi badan koperasi terunggul di peringkat ASEAN menjelang 2020. Kini banyak kerjasama perniagaan dan budaya telah diwujudkan dengan badan-badan koperasi di negara ASEAN. Misi Angkasa pula adalah untuk menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi serta melindungi kepentingan dan memperjuangkan hak gerakan koperasi melalui pengurusan yang profesional dengan menerapkan nilai-nilai demokrasi, perpaduan, kesetiaan dan bersatu hati.

Bagaimana Angka­sa bo­leh­ me­ning­katkan lagi pen­capaian koperasi?

Saya melihat sektor koperasi Malaysia berpotensi besar untuk me­nyumbang kepada pemba­ngunan masyarakat dan ekonomi negara. Statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga 31 Disember 2016 menunjukkan keanggotaan koperasi melebihi 7.06 juta orang.

Jumlah saham/yuran adalah sebanyak RM13.99 bilion, aset RM130.74 bilion dan perolehan RM39.66 bilion. Melihat perangkaan ini, aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh koperasi ternyata boleh digerakkan dengan lebih hebat lagi supaya boleh memba­ngunkan sosioekonomi rakyat.

Bagi saya koperasi mesti memberi fokus kepada bidang perniagaan berimpak tinggi. Pemimpin koperasi perlu mencari jalan supaya keupayaan strategik yang ada di peringkat badan itu berupaya menjalankan jenis perniagaan yang dipilih.

Untuk itu, Angkasa membangunkan lima teras strategik yang berupaya membantu me­ningkatkan pencapaian koperasi. Teras pertama adalah merangsang penglibatan koperasi dalam sektor ekonomi berimpak tinggi; kedua, memantapkan keupayaan dan kebolehan koperasi; ketiga, mewujud dan meningkatkan keupayaan modal insan koperasi; keempat, meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap gerakan koperasi dan kelima, memperkukuhkan koperasi melalui seliaan dan penguatkuasaan.

Angkasa juga telah mewujudkan lapan sektor peneraju utama yang boleh dijadikan wadah bagi memacu pencapaian koperasi dalam bidang perniagaan iaitu komuniti; perkhidmatan kewangan; pemborongan dan peruncitan; pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan; pertanian dan industri asas tani; perladangan; inovasi, teknologi dan telekomunikasi serta hartanah dan industri binaan.

Bagaimana untuk meningkatkan pasaran produk dan per­khidmatan koperasi?

Di Angkasa, kami semua amat mengambil berat mengenai pemasaran produk dan per­khidmatan koperasi. Bagi saya pemasaran adalah nadi bagi me­ningkatkan pendapatan koperasi. Angkasa membantu meluaskan pasaran produk koperasi bukan saja dalam negara malah sehingga ke luar negara melalui rangkaian perniagaan dengan koperasi-koperasi di rantau ASEAN.

Angkasa menganjurkan Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (Maccops) kali ketiga pada tahun ini bersempena dengan Persidangan Global Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICAKL) 2017 pada akhir tahun ini yang akan dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan daripada 104 negara.

Bagi saya koperasi di Malaysia sewajarnya memanfaatkan peluang ini supaya produk dan per­khidmatan mereka boleh dipasarkan ke seluruh dunia.