Strategi pembangkang untuk meruntuhkan ekonomi negara dan gembira melihat kerajaan tumbang adalah suatu perbuatan yang amat tidak patriotik. Ini menggambarkan ketirisan jati diri yang sangat nyata. Perbezaan yang tajam dalam perhitungan politik menyebabkan pe­nyakit dendam yang keterlaluan terjadi kerana kebencian yang sudah hilang rasionalnya.

Perbezaan pandangan dalam sebuah negara demokrasi adalah suatu hal yang lazim. Melakukan sabotaj terhadap peluang pertumbuhan dalam ekonomi negara supaya peluang pekerjaan terjadi, perpindahan teknologi berlaku dan ekonomi negara menjadi lebih stabil adalah suatu hal yang menyentuh gelagat politik di luar kawalan.

Proses demokrasi menyediakan parti politik saling bersaing dan rakyat bakal menentukan menang-kalah dalam pilihan raya. Bukannya strategi fitnah yang menyatakan negara akan muflis sedangkan gaji kakitangan kerajaan masih dibayar dan pembangunan di seluruh negara masih berjalan.

Pembangkang yang sihat adalah pembangkang yang rasional terhadap kepentingan negara sama ada dalam isu pertumbuhan ekonomi atau keselamatan negara. Perkara melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat menjadi tanggungjawab setiap parti politik dan setiap warganegara menyokongnya.

Jika pembangkang memerintah, soal pertumbuhan ekonomi, keselamatan dan kebajikan rakyat tentu menjadi keutamaan kerana ini adalah sebahagian daripada kelangsungan negara. Kalau dikhianati maka semangat patriotisme tidak ada lagi dan jati diri kenegaraan menjadi persoalan.

Patriotisme atau kewatanan adalah isu penting dalam proses bina negara. Rasa taat kepada proses bina negara dan rasa sayang untuk membangun negara dan kesejahteraan rakyat adalah suatu tuntutan. Sekiranya kecenderungan belot dan mengkhianati terjadi boleh menyebabkan musuh dari dalam dan luar mengambil kesempatan.

Sekiranya ini terjadi kestabilan negara boleh musnah dan kebajikan rakyat akan terjejas. Apakah ini caranya pembangkang menjatuhkan kerajaan atas kepentingan peribadi dan kelompok akibat kebencian melampau terhadap individu pemimpin dan kerajaan yang memerintah?

Terlalu banyak usaha yang telah dan sedang dibuat oleh kerajaan terhadap pembangunan negara dan meraikan kebajikan rakyat. Kelemahan dalam proses pembangunan tetap ada dan menjadi tanggungjawab setiap daripada kita membantu memperbaikinya bukan turut sama memfitnah dan menyebabkan pelabur luar menarik diri.

Kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu ada kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Setiap tahun ribuan graduan tamat pengajian dan memerlukan pekerjaan. Pekerja dalam industri memerlukan pemindahan teknologi supaya daya saing menjadi tinggi dan memacu kemajuan ekonomi negara.

Tanggungjawab ini tidak harus dipolitikkan di luar kawalan dan kewarasan kerana politik sebegini bukanlah gambaran semangat kewatanan yang tinggi sebaliknya boleh mengancam keselamatan dan kestabilan negara serta menjejaskan kebajikan rakyat.

Isu hilangnya semangat kewatanan dan jati diri dalam kebebasan memberi pendapat, membuat persepsi dan mengambil sikap dibantu oleh teknologi media menyebabkan sesetengah pihak mengambil jalan mudah menabur fitnah supaya rakyat jelata terpengaruh.

Politik matang seharusnya wujud di negara ini supaya yang baik dikatakan baik, yang bermanfaat katakan bermanfaat, yang lemah sama-sama diperbaiki dan ditegur secara membina supaya maslahah perbezaan pandang­an disantuni dan proses bina negara berjalan secara demokratik dan bertanggungjawab.