Insiden maut terbaharu di ma­na seorang pekerja pembinaan Indonesia terbunuh dan tiga pekerja asing lain cedera apabila sebuah kren tumbang di Shah Alam sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan di tapak pembinaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi Selasa 2 Janua­ri lalu, mangsa, dikenali sebagai Matrias, 38, meninggal dunia semasa menjalani rawatan di Hospital Shah Alam, manakala seorang lagi pekerja Indonesia serta dua pekerja Bangladesh yang cedera parah dirawat di hospital sama.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) menyokong penuh tindakan segera Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengeluarkan arahan berhenti kerja di tapak pembinaan di Seksyen 7 itu bagi membantu siasatan mereka.

Dilaporkan siasatan awal JKKP Selangor menunjukkan terdapat kegagalan dalam struktur jentera tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Seperti diperuntukkan undang-undang, semua pengendali peralatan pembinaan mestilah mendapat pentauliahan JKKP, manakala syarikat-syarikat yang mengendalikannya pula perlu berdaftar dengan JKKP.

Pihak berkuasa perlu memastikan hanya pengendali mesin bertauliah diambil bekerja oleh kontraktor, manakala pegawai tapak pembinaan pula perlu sentiasa memeriksa keadaan mesin dan peralatan terbabit.

Pihak berkuasa juga harus memantau dan menguatkuasakan undang-undang dengan ketat berdasarkan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

Saya juga berharap pihak polis, JKKP dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan menyiasat insiden terbaharu ini dan orang ramai harus dimaklumkan tentang penemuan mereka kerana ini adalah isu berkaitan kepentingan awam.

Tindakan tegas perlu diambil terhadap kontraktor yang tidak kompeten dan gagal melaksanakan kerja dengan selamat. Ke­selamatan di tapak pembinaan tidak boleh dikompromi kerana terlalu banyak nyawa akan dipertaruhkan.

Berdasarkan OSHA 1994, kontraktor utama sebagai majikan bertanggungjawab memastikan semua mesin dan peralatan ber­ada dalam keadaan selamat di tapak pembinaan.

Akta Kilang dan Jentera 1967 pula menetapkan mesin dan peralatan terbabit hanya boleh dipasang, diselenggarakan dan dibuka oleh sebuah syarikat yang kompeten dan berdaftar dengan JKKP.

Syarikat tersebut perlu dilantik kontraktor utama untuk menjalankan penyelenggaraan berkala bagi mesin dan peralatan terbabit untuk memastikan ia selamat digunakan.

Mereka yang didapati melanggar peraturan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 dan didenda tidak lebih daripada RM200,000, atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Insiden di Padang Merdeka, Kuching bulan lalu turut membuktikan betapa lemahnya aspek pencegahan kemalangan ini. Dalam insiden yang berlaku pada 26 Disember 2017, seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya terjunam ke dalam lubang sistem saliran dan perparitan yang sedang diselenggara.

Kontraktor terbabit sepatutnya meletakkan papan tanda amaran jelas di lokasi strategik, manakala penghadang sesuai perlu dile­takkan bagi mengelakkan kende­raan memasuki kawasan berisiko tinggi.

Penghadang konkrit perlu dipasang di kawasan kerja terbabit jika projek berkaitan memerlukan masa yang agak lama untuk diselesaikan.

Pihak berkuasa terbabit pu­la perlu melaksanakan audit keselamatan bagi memastikan kawasan kerja atau tapak pembinaan tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja dan orang ramai.

Pada permulaan tahun baharu ini, setiap rakyat perlu berazam untuk menjadikan Malaysia le­bih selamat, bukan sahaja daripada aktiviti jenayah tetapi juga tragedi yang kita sendiri menjadi penyebabnya termasuk di tapak pembinaan.

Setiap hari mendatang, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil iktibar bahawa kemalangan boleh berlaku jika kita tidak mahu belajar daripada pengalaman.

Hakikat bahawa masih ada kemalangan yang menyebabkan kecederaan dan kematian di tempat kerja menunjukkan kegagalan kita untuk menjadikan budaya penyelenggaraan dan ke­selamatan sebagai sebahagian cara hidup.  

Kita sebenarnya harus memikul tanggungjawab apabila berlaku kejadian bangunan atau struktur runtuh, kerosakan alam sekitar atau kemalangan dan kematian di tempat kerja.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan alam semula jadi atau peralatan kerja apabila kemalangan berlaku.

Kita perlu sedar bahawa jika kita tidak menguruskan aspek keselamatan dengan baik, kemalangan boleh berlaku di tempat kerja.    

Kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk pembangunan tetapi apa yang amat dikesali aspek keselamatan di tempat kerja termasuk di tapak pembinaan masih kurang diberi perhatian.

Sikap sebegini perlu diperbe­tulkan dan usaha perlu dilakukan untuk menyemai budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang baik dalam kalangan rakyat.

Mereka yang diberikan tanggungjawab untuk memantau pekerjaan dan menyelenggara kemudahan pula perlu melaksanakannya sebaik mungkin.

Pemaju dan kontraktor mesti melaksanakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) terbaik di tapak pembinaan dan kawasan kerja bagi mengelakkan kemalangan melibatkan pekerja dan orang awam.

Antara lain, mereka perlu mengguna pakai konsep pe­ngenalpastian bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC) yang dapat membantu pekerja dan penyelia mereka untuk mengenal pasti bahaya dan risiko dan mencari cara untuk mengelakkannya.

Kita perlu ingat setiap kali berlakunya kemalangan yang membawa kepada kecederaan atau kematian, tragedi tersebut akan turut memberi kesan kepada keluarga mangsa terlibat.

Mereka yang menghasilkan risiko dan bahaya berada dalam kedudukan lebih baik untuk menguruskan masalah tersebut.

Oleh itu, kontraktor mestilah bertanggungjawab untuk memastikan tempat kerja mereka sentiasa selamat dan sihat.

Walaupun pihak kerajaan me­nguatkuasakan undang-undang, tanggungjawab untuk melaksanakan sistem keselamatan di tapak pembinaan sebenarnya terletak di bahu kontraktor dan subkontraktor.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).