Ramai percaya perbuatan itu dilakukan oleh pelancong asing dan pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membuat laporan untuk tindakan selanjutnya.

Inilah antara masalah industri pelancongan negara. Walaupun sesetengah pihak melihat kejadian seperti ini agak terpencil, sebenarnya kita mesti melihatnya sebagai satu ancaman industri pelancongan negara kerana ia membabitkan masalah kebersihan, adab sopan dan imej.

Apa kata orang kalau di mana-mana sahaja boleh buang air besar, apatah lagi di tempat terbuka. Malah, jika sampah pun dibuang di kawasan-kawasan pelancongan sudah menjadi satu kesalahan dan dipandang rendah, apatah lagi membuang kekotoran dari dalam usus kita.

Apa yang tidak boleh kita nafikan ialah sikap sesetengah pelancong asing apabila berada di negara orang adalah membawa tabiat yang menjadi budaya di negara mereka. Kedua, ada yang sengaja mahu menjatuhkan imej negara lain dengan melakukan tindakan negatif apabila berada di tempat orang dan ketiga, ada sikap-sikap positif mereka yang lebih baik daripada orang tempatan terutama dalam soal kebersihan.

Bagi menangani masalah ini, kawalan yang lebih serius mesti dilakukan untuk mengelak kejadian yang sama berulang. Malah, pelbagai insiden tidak diingini dan melanggar tatasusila negara ini dan penduduk tempatan mesti dipantau agar pelancong tidak melakukan perkara-perkara negatif di tempat-tempat terbuka.

Untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil, papan tanda amaran dalam pelbagai bahasa penting perlu diletakkan supaya pelancong tempatan dan luar negara memahami apa yang tidak boleh dilakukan di kawasan pelancongan. Satu tindakan undang-undang mesti dikenakan ke atas pesalah moral di kawasan pelancongan supaya kejadian-kejadian negatif dapat dielakkan.

Dalam pada itu, kerjasama orang ramai dalam menangani masalah ini amat diperlukan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan atas salah laku pelancong demi menjaga nama baik industri pelancongan negara.

Pelancong asing sudah semestinya menghormati budaya masyarakat di sesuatu tempat. Sebaiknya, sebelum mereka melancong ke sesebuah negara, mereka mesti memahami apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dilakukan di negara-negara yang ingin dilawati oleh mereka.

Kita sendiri pun, jika hendak ke negara orang, kita sepatutnya mengetahui sedikit-sebanyak budaya penduduk di negara destinasi kita itu. Samalah, di rumah kita pun, apa yang tidak kita buat, di rumah orang pun kita tidak buat.

Tetapi jika yang negatifnya kita buat di rumah dan kita tahu itu tidak baik, janganlah kita buat di rumah orang kerana ia dapat menggambarkan peribadi kita yang tidak baik.