Cuma, apa yang menjadi tanda tanya kepada kita adalah sejauh mana isu-isu yang kita bangkitkan ini menjadi daya tarikan kepada pengundi di Su­ngai Kandis terutama pengundi-pengundi Melayu yang majori­tinya mewakili lebih 70 peratus pengundi di situ.

Keputusan PRK ini yang me­nyaksikan majoriti 5,764 undi diperoleh calon PKR boleh diinterpretasikan dalam pelbagai sudut. Adakah masyarakat Melayu sudah tidak ambil peduli sama ada sesuatu kerajaan itu menepati janji-janji pilihan raya atau tidak? Ataupun pengundi-pengundi lebih berminat untuk melihat kerajaan yang mempu­nyai kredibiliti dan bebas daripada isu-isu yang melibatkan korupsi dan salah guna kuasa?

Mungkin juga berita-berita rampasan wang tunai dan barang barang kemas di kediaman bekas Perdana Menteri menguatkan lagi persepsi korupsi dan salah guna kuasa yang telah ditanam di dalam minda dan jiwa rakyat selama ini? Meskipun ada penjelasan diberi, persepsi korupsi dan salah guna kuasa ini mungkin masih tebal dan penjelasan yang diberi masih tidak cukup untuk meyakinkan pe­ngundi-pengundi untuk memberikan undi mereka kepada UMNO.

NAJIB TURUN BERKEMPEN

Di PRK Sungai Kandis baru-baru ini kita juga dapat melihat bekas Perdana Menteri dan Pre­siden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkempen de­ngan begitu aktif. Memandangkan kes mahkamah beliau masih belum dibicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih membelenggu beliau, apakah strategi UMNO dalam mengetengahkan Datuk Seri Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak? Perlukah UMNO merehatkan Datuk Seri Najib daripada menyertai kempen-kempen pilihan raya akan datang? Kita perlu ingat bahawa UMNO bukan berkempen untuk ahli-ahlinya sahaja tetapi kepada pengundi Sungai Kandis yang mana soal persepsi boleh menentukan kalah menang seseorang calon.

Barangkali akan ada yang mengatakan mengapa Datuk Seri Najib perlu direhatkan sedangkan Menteri Kewangan Pakatan Harapan DAP, Lim Guan Eng yang sedang didakwa di mahkamah pun tidak ambil peduli perkara ini. Pendirian saya kita tidak perlu mencontohi DAP.

UMNO mempunyai benchmark nya tersendiri dan kita perlu menjadikan ini sebagai suatu titik mula untuk mencipta suatu benchmark baharu yang mana UMNO mengutamakan integriti dan kredibiliti pemimpinnya sebagai agenda yang pen­ting dalam perjuangan. Kita perlu letakkan benchmark ini kepada setiap pemimpin bagi memulangkan keyakinan pengundi bahawa UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai benchmark yang tinggi mengatasi DAP.

PERSEPSI DAN INTEGRITI

UMNO perlu mengatasi ma­salah persepsi integriti dan kredibiliti ini jika mahu terus relevan. Kita perlu lupakan era terdahulu sebelum PRU-14. UMNO kini sudah pun ada Pre­siden dan kepemimpinan baharu. Era Presiden terdahulu sudahpun berlalu menjadi sejarah. Jika UMNO tidak berubah dan masih berterusan mempertahankan legasi dan isu-isu yang membawa kepada penolakannya di PRU-14, maka tidak mustahil jika UMNO juga akan menjadi sejarah.

Contohnya, ramai dalam kalangan kita tidak faham isu 1MDB dan SRC dan sebahagian daripada kita tidak faham isu ini secara total. Oleh itu, apabila kita berbahas isu-isu ini di dalam Parlimen, ia dibuat tanpa me­ngetahui maklumat yang lengkap dan tepat. Ia hanya akan menyebabkan pemimpin-pemimpin kita hilang kredibiliti.

PAKATAN UMNO-PAS

Dari se­gi gabu­ngan UMNO-Pas pula, PRK Su­ngai Kandis ini menggambarkan bahawa pakatan UMNO-Pas tidak langsung memberi se­barang ke­san terhadap kebolehan me­raih undi melebihi apa yang UMNO per­oleh pada PRU-14. Sewaktu UMNO, PKR dan Pas bertanding mengikut haluan masing-masing pada PRU-14, UMNO mampu mendapat 11,518 undi, tetapi hari ini selepas pakatan UMNO-Pas berlaku di PRK Sungai Kandis, kita cuma dapat 9,583 undi. Walau apa sahaja yang kita spin untuk ‘menyedapkan’ hati kita, pokok pangkalnya kita telah kalah. Kita kalah dengan jumlah undi yang jauh lebih rendah selepas kita berpakat dengan Pas.

Apakah pakatan UMNO-Pas ini adalah terlalu awal atau pakatan ini merupakan pakatan yang agak sukar untuk diterima sebahagian besar ahli-ahli Pas? Kempen Pas kepada ahli-ahlinya adalah Pas mesti memilih parti yang lebih kecil kemudaratannya daripada parti yang memudaratkan lebih besar.

Kalau inilah landasan prinsip Pas untuk berpakat de­ngan UMNO, adakah pakatan ini praktikal? Adakah kita bersedia untuk menolak pemimpin-pemimpin UMNO yang dari segi persepsi­nya telah kelihatan tidak amanah, korup dan hanya mementingkan sesuatu kaum sahaja dalam perjuangan?

Ada maklumat yang di­sampaikan kepada saya bahawa Pas sememangnya suka UMNO lemah. Dalam erti kata lain, di mana sahaja UMNO lemah, Pas akan mendapat keuntungan. Bila UMNO lemah di Kelantan, Pas terus berkuasa selama enam penggal; bila UMNO lemah di Terengganu, Pas berjaya menguasai kerajaan negeri dan bila UMNO lemah di Kedah, Pas mendapat lebih ba­nyak kerusi pada PRU.

Di kawasan-kawa­san bandar pula, apabila UMNO lemah, parti-parti PKR dan DAP mendapat keuntungan. Jadi, UMNO dan BN tidak boleh lemah.

UMNO pernah ber­sama-sama Pas mempertahankan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bi­dang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, membela nasib etnik Rohingya, pernah bersama Pas dalam isu-isu persoalan agama tetapi ini sahaja belum dapat meyakinkan orang Pas di Sungai Kandis untuk melihat ia sebagai faktor utama untuk mereka memberi undi kepada UMNO/BN.

Pas tidak pernah me­nun­jukkan bahawa mereka sang­gup duduk di atas pentas yang sama dengan UMNO untuk berkempen seperti mana dilakukan oleh PH - parti DAP, Bersatu, PKR dan Amanah yang bersama-sama di atas pentas semasa berkempen. Ini secara tidak langsung memperlihatkan belum ada lagi persefahaman atau penerimaan kedua-dua parti dari segi mempraktikkan Pakatan UMNO-Pas ini secara jujur dan ikhlas.

KEKALKAN CARA UMNO

Sehubungan itu, saya berpandangan UMNO sepatutnya mengekalkan kedudukannya se­bagai sebuah parti nasional de­ngan tidak sepatutnya bergantung atau terikut dengan rentak parti yang lebih kecil daripada UMNO. Sebagai sebuah parti nasional kita mestilah mengambil kira bukan sahaja kepentingan orang Melayu sahaja tetapi juga kepentingan kaum-kaum lain di negara ini.

Kalau diperhatikan, ada dalam kalangan pemimpin UMNO kita berucap sehingga mengguris hati perasaan orang-orang bukan Me­layu. Mereka ini barangkali boleh berbangga dengan menang di kawasan masing-masing tetapi apa gunanya kita menang di kawasan kita sahaja sedangkan ucapan-ucapan sen­­sitif ini yang me­nyentuh perasaan orang bukan Melayu menyebabkan ramai rakan se­perjuangan UMNO/BN ‘terkorban’ di kawasan bandar dalam pilihan raya lepas.

Ada juga dalam kala­ngan UMNO yang menggunakan isu keagamaan bagi meraih soko­ngan. Apakah benar orang Me­layu yang menyokong PKR, orang Melayu yang menyokong Bersatu atau orang Melayu yang menyokong Amanah akan membiarkan sahaja Islam ini diperkotak-katikkan atau UMNO hanya takut pada ba­yang-bayang sendiri?

Perkara-perkara inilah yang perlu dilihat semula oleh pemimpin-pe­mimpin UMNO dan fokus semula kepada asas pe­­nubuhan UMNO itu iaitu di sam­ping menjaga kepen­tingan Me­­layu yang se­memang­nya ter­maktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, kita tidak me­nge­cil­kan kepentingan dan hak kaum lain. Inilah hakikat yang perlu di terima oleh UMNO dan ini jugalah resipi yang digunapakai oleh pejuang-pejuang UMNO terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara ini dan ia merupakan resipi yang terbukti berjaya selama 61 tahun.

Kejayaan BN selama 61 tahun ini adalah kerana orang Cina, India dan kaum-kaum lain me­rasakan bahawa mereka boleh meletakkan kepercayaan dan kepentingan mereka kepada BN. Sebab itu Pas selama berpuluh-puluh tahun tidak dapat membentuk

Kerajaan Persekutuan kerana mereka tidak dapat me­yakinkan masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain untuk bersetuju dengan ideologi Pas yang tidak bersifat nasional. Kalau kita menurunkan taraf kita sebagai parti nasional kepada tahap Pas, maka kita telah mengecilkan perjuangan UMNO ini.

Kalau boleh saya ungkapkan kata-kata seorang ketua bahagian UMNO iaitu “Syarat kalah bukan semestinya lemah dan syarat menang, bukan semestinya kuat”. Walau apapun, yang pasti untuk menang, kita mestilah kelihatan sebagai parti yang sentiasa menjadi harapan kepada setiap pengundi, tidak kiralah sama ada orang Me­layu, Cina, India dan lain-lain. Kalau ada dalam kalangan paparti komponen dalam BN yang lemah, maka UMNO perlu mencari stra­tegi baru untuk me­nguatkan mereka kembali.

Saya memohon maaf se­kiranya ada rakan-rakan se­perjuangan, ketua-ketua bahagian, ahli-ahli Majlis Tertinggi atau para pejuang UMNO yang merasakan bahawa pandangan saya ini mengguris hati dan pe­rasaan mana-mana pihak.

Saya hanya mahu UMNO bangkit semula menjadi sebuah parti nasional yang kuat, inklusif, penuh kredibiliti dan berwibawa. Saya yakin, apabila parti kita kuat, orang akan mencari kita. Proses memperbaiki parti perlu diteruskan, yang lainnya kita berserah kepada ­Allah.

Salam Perjuangan