Saya katakan padanya bahawa kuasa memberi hakmilik tanah kepada rakyat jelata di bawah Kanun Tanah Negara 1965 (KTN) dipegang oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN). PBN ada budibicara memberi “tanah kerajaan” (State land) kepada sesiapa sahaja yang ia kehendaki. Istilah “tanah kerajaan” diberi erti semua tanah dalam negeri itu (termasuk dasar sungai, tepian pantai dan tanah bawah laut, dalam wilayah negeri itu) selain tanah berimilik, tanah rizab, tanah lombong dan hutan simpan.

Di bawah seksyen 76 KTN, hakmilik tanah yang boleh diberi kepada rakyat boleh dalam bentuk hakmilik berkekalan (freehold) atau dalam bentuk bertempoh tidak melebihi 99 tahun (leasehold).

Pada satu ketika dulu, memang mungkin bagi rakyat biasa mendapatkan tanah freehold dari PBN, tetapi perkara ini kini sukar dilaksanakan kerana undang-undang berkaitan dengannya telah dipinda. Kini tanah freehold hanya boleh diberimilik kepada pihak-pihak tertentu sahaja seperti yang diperincikan dalam seksyen 76 (aa) manakala bagi rakyat biasa, tanah freehold hanya boleh diberimilik kepada mereka “dalam hal keadaan tertentu” (special circumstances).

Malangnya istilah special circumstances ini tidak ditakrif dan dihuraikan dalam mana-mana peruntukan lain dalam KTN. Dalam keadaan yang samar-samar begini, mana-mana pihak bebas mentafsirnya mengikut persepsi mereka masing-masing.

Baru-baru ini, ada pihak menyuarakan pandangan bahawa kerajaan negeri wajar memberi hakmilik tanah kepada rakyat dalam bentuk pajakan 999 tahun kerana itulah yang telah dijanjikan dalam manifesto parti mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Soalnya, apakah pemberian hakmilik tanah selama 999 tahun itu dibenarkan oleh KTN?

Pada masa ini pajakan 999 tahun boleh dikesan di beberapa negara common law seperti United Kingdom di mana ia disifatkan sebagai satu pajakan berkekalan. Beberapa bidang hartanah di negara itu adalah pajakan 999 tahun, misalnya Crystal Palace London (pajakan 1851-2850), Royal Albert Hall London (pajakan 1871-2870), Millennium Dome London (pajakan 2001-3000) dan Pusey House Oxford (pajakan 1981-2980). Di Singapura masih terdapat beberapa hartanah di bawah pajakan 999 tahun.

Walaupun pajakan 999 tahun ini amat lama tempohnya, hakikatnya ia adalah pajakan yang ada had masa dan tempohnya; apabila habis tempoh, ia akan tamat dan kembali kepada negara. Ia berbeza dengan freehold, yang terus kekal dengan pemilik asalnya, turun temurun ke anak cucu.

Di bawah KTN (yang dipakai di Semenanjung Malaysia sahaja), disebabkan seksyen 76 mengehadkan tempoh hakmilik tanah itu tidak melebihi 99 tahun, tindakan mana-mana PBN memberi hakmilik tanah melebihi tempoh itu adalah ultra vires (melampaui kuasa), dan oleh yang demikian adalah tidak sah dan batal. Mana-mana PBN yang berhasrat hendak berbudi kepada rakyatnya dengan memberi hakmilik yang lebih lama melebihi tempoh 99 tahun hanya ada satu pilihan sahaja, iaitu memberi hakmilik tanah dalam bentuk freehold kepada mereka, atas alasan ada “hal keadaan khas” (special circumstances).

Memandangkan istilah “special circumstances” itu tidak ditakrif dalam KTN, bolehkah kerajaan negeri membuat tafsirannya sendiri? Jika boleh, di mana dan bagaimana ia boleh dilakukan?

Memandangkan isu “tanah” adalah terletak dalam bidang kuasa negeri dan di setiap negeri kini sudah ada Peraturan Tanah (Land Rules) yang digubal sendiri dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu, tafsiran istilah special circumstances ini boleh dimasukkan sebagai pindaan kepada peraturan tersebut. Sebelum bertindak ke arah ini, adalah wajar cadangan pindaan ini dimaklumkan kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan supaya mendapat pandangan balas dari mereka, dan selari dengan itu, kerajaan juga perlu meminta dan mendengar pendapat pihak yang berkepentingan (stakeholders).

Apa pun, PBN perlu berwaspada apabila memberi hakmilik tanah freehold kepada rakyatnya sendiri atau pun pelabur. Tanah seperti itu, setelah diberi kepada pihak lain, tidak akan kembali kepada PBN kecuali pemiliknya membuat pelanggaran syarat atau gagal membayar cukai tanah, yang membolehkan PBN merampas tanah berkenaan. Jika tanah itu diambil secara paksa melalui Akta Pengambilan Tanah 1960, PBN menghadapi beban yang besar membayar pampasan. Hanya hakmilik tanah bertempoh yang akan kembali kepada PBN, kecuali PBN setuju memperbaharui tempoh tersebut di masa depan.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.