Roslan, Sungai Buloh.

UKE: “Solat jemaah lebih utama daripada solat sendirian sebanyak 27 darjat”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sudah pasti solat di masjid banyak fadilat dan kelebihannya daripada mana-mana tempat. Banyak hadis menerangkan kelebihannya daripada berwuduk dan berjalan ke masjid sehinggalah beriktikaf di masjid.

Lagi banyak jemaah lagi bagus dan baik. Cuma banyak pendapat yang anda dengar sehingga anda pun naik susah hati sampai anda faham pahala solat jemaah di rumah hanya dapat seperti yang anda sebut.

Di Malaysia, kita mengikut mazhab Syafie dan saya rasa anda pegang itu sudahlah.

Imam al-Syafie Rahimahullah mengatakan dalam Al-Mukhtashor wal Ashhaab, “Mengerjakan solat jemaah bagi laki-laki di masjid lebih utama daripada mengerjakannya di rumah, pasar dan selainnya.

Hal ini berdasarkan hadis yang telah kami sebutkan dalam keutamaan orang yang berjalan menuju ke masjid. Juga kerana mengerjakannya di masjid lebih mulia dan menampakkan syiar jemaah.

Imam al-Syafie dan ulama mazhab Syafie berpendapat bahawa boleh bagi laki-laki mengerjakan solat fardu berjemaah di rumahnya bersama isteri dan anak-anaknya. Namun, perlu diingat bahawa mereka tidak lupa untuk mengerjakannya di masjid.

Pahala berjemaah memang dapat walau dengan isteri dan anak-anak di rumah namun janganlah sampai tidak ke masjid. Didiklah anak-anak ke masjid supaya menjadi kebiasaan.


Hukum jirus air bacaan Yasin 
 di atas kubur

Soalan saya:

1. Adakah boleh ibu saya setiap malam membaca surah Yasin dan airnya dijiruskan di atas pusara arwah ayah setiap hari semasa ziarah ke kubur?

2. Bolehkah surah al-Mulk dibacakan di pusara arwah setiap kali ziarah kubur?

3. Adakah menjadi kesalahan sekiranya setiap malam ibu saya menyalakan gaharu di dalam rumah sehingga hari ke-100 pemergian arwah?

Usop, Kuching.

UKE: 1. Membaca surah Yasin dan diniatkan pahala bacaan kepada si mati adalah harus. Sampai atau tidak pahala biarlah Allah SWT yang menentukan. Masalah menjirus air ke kubur tujuannya untuk apa? Adakah dengan air Yasin itu untuk si mati di dalam kubur? Maka kalau itulah tujuannya, maka dibimbangi jatuh kepada bidaah pula.

Kalau sekadar menjirus air ke atas kubur untuk mengemaskan tanah kubur sebab baru dikebumikan, maka hukumnya harus.

Seperti juga untuk mengelakkan daripada berdebu. Tidak perlulah sampai kena baca surah Yasin untuk tujuan tersebut, air biasa pun boleh.

Maka tidak perlulah mengikut orang. Orang buat, kita pun buat tapi tidak mengetahui sebabnya maka ia sia-sia.

2. Harus dibaca sebenarnya al-Quran ini. Baca di mana-mana pun boleh dan bukan di kubur sahaja melainkan di tempat yang haram dibaca.

3. Sama juga seperti jawapan yang di atas. Tujuan apa dibakar gaharu tersebut? Ada sebab apa? Orang dahulu bakar kemenyan semasa mayat masih ada di rumah mungkin untuk mengelakkan sesuatu bau yang kurang menyenangkan akibat daripada sesuatu perkara yang datang daripada jenazah. Sebab ada jenazah yang berpenyakit, yang lambat ditemukan atau lambat dikebumikan maka bau yang kurang enak boleh keluar. Sebab itu orang dahulu pasang kemenyan. Bukan ada tujuan lain pun.

Kalau mayat itu elok, maka tak payah pun pasang kemenyan. Maka perlu apa lagi pasang gaharu kalau mayat sudah dikebumikan? Beritahu emak, tak payah susah-susah nak pasang gaharu, sebaliknya duit untuk beli gaharu itu lebih baik wakafkan atas nama si mati lagi bagus.