Tetapi akak cun rasa pelik sungguh. Buka laman sosial tak kiralah Facebook, Twitter atau Instagram tengok orang lelaki tak habis-habis lagi hendak up status pasal politik. Bertenaga betul mereka ini. Agaknya, waktu bersahur mesti makan banyak ni. Sudah lama kot Pilihan Raya Umum Ke-14 berlalu. Tetapi hari-hari, asyik mengulas perkara yang sama. Move onlah. Orang sudah hendak raya ni, korang masih dok cerita pasal pilihan raya lagi.

Bukan sekali. Dalam setiap 10 minit ada saja status baru naik pasal politik. Agaknya, suasana ini akan membawa hinggalah ke PRU-15. Dah tiada kerja sangat ke encik-encik semua? Sambil tunggu waktu berbuka main telefon pintar saja, bukannya mahu menolong isteri di dapur.

Sebenarnya, bukan isu ini yang akak cun hendak sentuh pada kali ini. Biarlah orang lelaki hendak tunjuk pandai dalam politik. Dalam media sosial sajalah mereka boleh buat begitu. Tapi janganlah guna bahasa kesat dan biadab. Malulah dekat budak-budak.

Isu kali ini akak cun hendak cerita pasal membeli-belah membuat persiapan hendak berhari raya. Sepanjang Ramadan ini, pusat beli-belah penuh. Mana-mana pergi pun sesak. Hendak cari tempat letak kereta pun susah. Berpusing-pusing. Itu yang buat akak cun tambah letih.

Dalam bab shopping ini, ramai betul yang mengaitkannya de­ngan orang perempuan. Betulkah orang perempuan ini cerewet? Sudah round 10 buah kedai pun, tak jumpa-jumpa baju yang mereka hendak beli?

Akak cun tertarik dengan status Twitter seorang lelaki, katanya: Selain kat planet Bumi kat planet mana lagi yang ada jual baju raya yer? Wife saya tak jumpa baju raya dia kat planet Marikh gamaknya...puas dah pusing-pusing. Satu pun dia tak jumpa lagi.#sayamestirajin.

Lagi satu: Sebanyak-banyak stamina seorang lelaki, akhirnya rasa penat juga kalau ikut orang perempuan pergi shopping!

Amboi bukan lagi dia ‘membahan’ orang perempuan. Hakikatnya, orang lelaki pun sama juga. Masuk 10 buah kedai kasut, tak jumpa-jumpa apa yang hendak dibeli. Di kedai yang terakhir, adalah yang berkenan, tapi harga mahal sikit, dia kata membazir pula. Akhirnya tak beli. Sudahnya, masuk lepak kedai mamak saja. Sebenarnya, lagi letih, ikut orang lelaki shopping.

Ayat yang selalu keluar daripada mulut orang lelaki adalah ‘jangan membazir’. Ini ayat lazim. Tetapi kalau orang perempuan yang belikan untuk dia, dia ambil juga, sambil tersenyum-senyum kambing. Tak pula kata membazir, walaupun barang yang dibelikan itu, dia tahu mahal harganya.

Akak cun bukan biasa sangat ikut orang lelaki shopping. Akak cun kalau shopping pun suka pergi seorang diri saja. Lagi senang, tenang dan tak payah hendak layan kerenah orang yang ikut kita shopping. Kita hendak terjatuh ke, tergolek ke bawa barang banyak, kita bangun sendirilah. Tak menyusahkan orang lain.

Pernahlah juga akak cun ditemani orang lelaki. Akak cun baru pegang sehelai baju, dia cakap mahal. Selepas itu, akak cun sudah nampak baju yang berkenan, dia cakap mahal juga. Kesudahannya, akak cun tak beli apa-apa pun dan dia boleh pula tanya akak cun; “Eh, tak beli apa-apa ke?” Masa itu, akak cun rasa kosong saja nampak dunia ini.

Ya, bukan orang lelaki saja kena sabar dengar perangai orang perempuan ketika membeli-belah. Orang perem­puan pun kena banyak bersabar dan menahan diri daripada marah ketika shopping dengan pasangan. Jadi kalau boleh elak, elaklah bawa pasangan bersama apabila shopping. Lainlah kalau jenis yang tak banyak mulut atau suka melepak tempat lain bila isteri tengah membeli barang-barang.

Sebab itu, langkah pusat beli-belah menyediakan ba­nyak kerusi dan sofa untuk pelanggan menunggu sangat dialu-alukan. Bukan sahaja untuk warga emas yang letih berjalan tetapi boleh menenangkan hati orang lelaki yang menemani isteri. Biarlah mereka melayan telefon pintar di situ. Jangan si isteri sedang sibuk membeli-belah, si suami pula sibuk bersembang di media sosial, ‘mengayat’ ­perempuan lain sambil tersengih-sengih, sudahlah.

Sebenarnya, orang perempuanlah banyak memeriahkan suasana berhari-raya. Kalau mereka tidak membeli-belah sampai mengelilingi satu planet Bumi, banyaklah persiapan yang tidak dibuat. Dari baju sendiri, baju untuk anak-anak, suami, kuih muih dan kelengkapan rumah, semua ini selalunya orang perempuan yang uruskan. Kalau hendak harapkan lelaki, semuanya membazir. Hari raya, hidang air sirap dengan biskut kering pun dia cakap okey.