TAN SRI NOH OMAR yang mengetuai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan kedudukan isu itu selain beberapa isu lain yang dikongsinya dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL semalam.

 

UTUSAN: Mohamed Azmin salahkan Tan Sri kerana tak hubungi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hentikan kerja merobohkan rumah berkenaan. Bahkan, dia mendakwa pula tanah itu hak milik Kerajaan Persekutuan dan Tan Sri ada kuasa?

NOH: Kerja meroboh dilakukan oleh penguatkuasa MBSA yang jelas di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Apa yang perlu kita fokus bukannya siapa yang patut hubungi siapa, tapi ba­gaimana Menteri Besar ini selesaikan masalah bantu rakyat.

Kalau kerajaan Selangor be­tul-betul peduli rakyat, bantulah dahulu mereka yang rumah akan dirobohkan. Bukannya robohkan dahulu, kemudian bantu beri rumah. Adakah perlu penghuni duduk dalam khemah sementara menunggu rumah yang akan di­terima daripada KPKT. Akhirnya Barisan Nasional yang membantu.

Jika penguat kuasa (PBT) di bawah KPKT, apa yang Tan Sri buat?

Saya akan telefon mereka ja­ngan robohkan, selesai dahulu masalah rumah penghuni. Walaupun ada arahan dari mahkamah untuk robohkan, tetapi kita tolonglah rakyat untuk selesaikan masalah, bukannya terus roboh lepas itu baru fikir bagaimana hendak beri rumah kepada peng­huni.

Baru-baru ini, Exco Perumahan Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad mendakwa Tan Sri terpaksa menggunakan kepakaran kerajaan Selangor untuk menyelesaikan masalah pengurusan kediaman berstrata. Katanya, Tan Sri jemput Pegawai Pesuruhjaya Bangunan (COB) daripada Majlis Perbandaran Klang untuk beri penerangan semasa konvensyen JMB/MC sebab KPKT nak belajar urus tadbir strata daripada kerajaan Selangor.

‘Standard’ Exco Perumahan dengan Mohamed Azmin tak jauh bezanya. Pegawai COB yang dipanggil adalah kakitangan KPKT yang dibayar gaji oleh KPKT. Pegawai dipinjamkan kepada kerajaan negeri Selangor untuk pastikan urusan strata mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh kementerian. Kalau nak kata, tanpa urus tadbir kerajaan negeri yang baik tak mungkin pegawai akan cemerlang. Adalah lebih baik Exco Perumahan Se­langor rujuk kepada kegagalan kerajaan negeri beri pembelaan kepada penduduk perumahan kos rendah sehingga menteri turun padang dan membantu selesaikan masalah penduduk. Mana satu urus tadbir yang baik?

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Daroyah Alwi pula menguar-uarkan antara sebab penyakit denggi tinggi di Selangor ke­rana KPKT gagal selenggara Sistem Penuaian Air Hujan atau SPAH. Benar­kah?

Fakta daripada Kementerian Ke­­sihatan menyebut 140 kes de­nggi secara puratanya berlaku di Selangor setiap hari. Baca betul-betul, bukan 14 kes tapi 140 kes. Itu Kementerian Kesihatan kata, bukan Tan Sri Noh yang kata. Ke­rajaan cacamarba Selangor dah lupa mereka kerajaan memerintah dan bukannya pembangkang di Selangor. Jangan nak salahkan pihak lain atas kegagalan sendiri. Sistem Penuaian Air Hujan bukan di bawah bidang kuasa KPKT tapi di bawah KETTHA. Ini fakta bukan auta.

Tak hairanlah apabila pentadbiran negeri pun hidup tunggang terbalik bila anggota pentadbir kerajaan negeri pun tak tahu fungsi agensi kerajaan. Kalau Men­teri Besar pun tahap pemi­kiran macam ini, exconya pula nak letak cap apa?

Mungkin mereka ini nak calar imej KPKT yang membongkar ke­lemahan kerajaan negeri demi kebajikan rakyat.

Tapi akhirnya meludah ke la­ngit jatuh ke batang hidung sendiri.

Kerajaan negeri Selangor ma­sih enggan tandatangani Ikrar Be­bas Rasuah (IBR)?

Dia (Mohamed Az­min) jangan ingat pembangkang ini malaikat? Macam maksum sangat hingga tidak ada salah. Sepatutnya perlu ada pihak ketiga yang melakukan proses semakan dan yang terbaik dalam isu rasuah ini adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Jadi, janganlah nak menga­buri mata rakyat de­ngan sikap ego, se­olah-oleh mereka ini te­lus sehingga tidak perlu me­nandatangani IBR. Jika telus da­lam soal integriti mengapa sejak akhir-akhir ini ada beberapa kes yang telah dilaporkan kepada SPRM?