Norita, Arau.

UKE: Bapa merupakan wali mujbir. Kenapa perlu wali hakim jika bapa masih hidup, boleh bertemu dan berurusan?

Peranan wali dalam pernikahan amat penting kerana ia merupakan satu daripada rukun nikah. Sekiranya pernikahan dilaksanakan tanpa wali, ia tidak sah dari segi hukum syarak.

Wali hendaklah terdiri daripada orang yang berkelayakan. Wali turut terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu wali mujbir, aqrab, ab’ad dan wali raja atau hakim.

Jika bapa enggan menjadi wali maka si anak boleh membuat permohonan untuk menggunakan wali hakim. Berbincanglah secara baik dengan bapa dan ahli keluarga agar perkahwinan dapat dijalankan.

Namun apa yang penting, elakkan mudarat yang lebih besar. Si anak hendaklah menghormati bapa dan jangan sampai menderhaka.

Sila kaji mengapa bapa enggan menjadi wali. Mesti ada sebab. Perbaiki apa yang bapa tidak berpuas hati dan si bapa pula hendaklah bertimbang rasa.

Jika pilihan anak tidak menepati cita rasa agama maka usahakanlah yang terbaik untuk anak anda. Kalau tidak puas hati pun hanya kepada perkara yang dibenarkan syarak sahaja. Jika tidak boleh diselesaikan juga maka ke mahkamahlah perginya.

Seperti tertulis dalam Seksyen 13 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, jika wali enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak maka hak wali itu berpindah kepada hakim.

Sengaja gugur kandungan

Isteri anak saudara saya mengandungkan anak kelapan. Dia menggugurkan kandungan di klinik swasta ketika kandungan berusia antara satu hingga dua bulan. Isterinya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan. Anak saudara saya bersumpah tidak memaafkan perbuatan isterinya hingga akhirat. Apa pandangan ustaz?

Pak Ngah, Pahang.

UKE: Kalau sihat dan tiada sebab darurat untuk melakukan pengguguran, kenapa dilakukan perkara itu? Allah yang memberi rezeki kepada ibu bapa dan anak-anaknya.

Yakinlah bahawa Allah tidak akan mensia-siakan hamba-hamba-Nya. Bertaubatlah bagi si isteri dan bagi suami banyakkan bersabar serta didiklah isteri agar meredai ketentuan Allah. Jiwa yang kuat ialah orang yang memberi kemaafan kepada orang lain.

Bila perlu bayar zakat

Jika saya menjual tanah dan bila dapat cek terus masukkan ke dalam bank. Bilakah masanya saya perlu membayar zakat?

Haji Hamid, Balik Pulau.

UKE: Di antara syarat wajib zakat ialah cukup haul. Haul ialah tempoh setahun atau 12 bulan qamariyah pemilikan kekal harta zakat oleh seseorang selain daripada harta zakat biji-bijian, buah-buahan, galian dan harta karun.

Syarat zakat ditetapkan berdasarkan hadis daripada Nabi Muhammad SAW yang bersabda: “Tidak diwajibkan zakat atas sesuatu kekayaan sehingga berlalu masa setahun.” (Hadis riwayat Darul Qutni).

Hukum pakai pendakap gigi

Apakah hukum memakai pendakap gigi supaya giginya lebih tersusun rapi untuk keyakinan diri dan mudah menjaga kebersihan gigi?

* Ilia Adnan, Sungai Nibong.

UKE: Imam Yusuf al-Qaradawi mengatakan: “Seandainya orang tersebut mempunyai kecacatan yang menjijikkan pandangan, misalnya terdapat daging tambahan yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, tidaklah berdosa untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya.

Ini kerana Allah tidak menjadikan agama untuk kita dengan penuh kesukaran.” (Al-Halal wal Haram Fil Islam).

Maka di sini hendaklah dilihat tujuan apa dipakai pendakap gigi tersebut. Jika bertujuan memperbaiki gigi yang rosak atau merawat giginya yang jongang kerana susah mengunyah makanan misalnya, maka harus baginya memakai pendakap gigi tersebut.

Mahu berdakwah melalui 
 muzik

Saya telah berkecimpung dalam dunia muzik sejak 30 tahun lalu sehingga digelar sebagai “Maharaja Rock”. Beberapa tahun lalu saya tidak lagi aktif kerana sudah berumah tangga. Kini saya ingin kembali ke dunia muzik dengan tujuan untuk berdakwah kepada rockers seluruh negara. Apa pandangan ustaz?

Lokman Junit JJR, Pekan Nenas.

UKE: Nasihat saya yang pertama, adakah anda yakin cukup kuat untuk menahan cabaran, dugaan, ujian dan 1001 fitnah yang akan menguji iman anda?

Adakah anda yakin boleh menjaga batasan aurat, solat dan sebagainya? Kalau anda rasa tidak mampu maka adalah lebih baik anda melakukan pekerjaan yang lebih memudahkan anda berbakti kepada Allah SWT.

Kedua, jika anda memilih untuk kembali aktif dan menjadikan bidang seni sebagai medium dakwah maka silakan tetapi dengan segala syaratnya hendaklah dipatuhi.

Pelajari betul-betul mana yang halal dan mana haram. Kena menjaga hukum berkaitan cara mempersembahkan hiburan, menjaga tata laku anda dan peminat jangan sampai lalai kepada Allah SWT.

Ketiga, pastikan lagu dan lirik mengajak ke arah kebaikan. Pemilihan alat muzik juga penting supaya tidak tersasar.

Keempat, pastikan niat tidak lari dan jangan campurkan muzik dan diri anda dalam perkara-perkara yang dilarang agama walaupun ditawar dengan harga lumayan.