Sejarah menunjukkan Tanah Melayu telah melalui hikayat tawarikh yang panjang bermula dengan penjajahan Portugis sehingga kepada Belanda, Jepun dan British. Tanah Melayu kemudiannya menjadi Persekutuan Tanah Melayu dan hari ini Malaysia yang gah berdiri sebagai bumi pertiwi, merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak; bumi rujukan persada antarabangsa.

Kebangkitan tokoh pejuang tempatan termasuk Mat Kilau, Tok Janggut, Dol Said, Dato’ Bahaman, Mat Saleh, Rosli Dhobi, Dato’ Sagor, Rentap dan Dato’ Maharajalela adalah atas pengertian maksud dan makna kebebasan berdaulat bagi bumi ini.

Negaraku, Malaysia unik de­ngan sendirinya. Indah dengan kerencaman dan kaya dengan sumber aslinya. Diselaputi perwatakan yang pelbagai, pasti yang mahu diwarisi adalah rakyat yang hidup bersatu maju, dirahmati di bawah naungan institusi raja-raja Melayu dan kepimpinan kerajaan. Penghayatan ke atas lagu Negaraku akan membolehkan masing-masing memahami apa Malaysia sebenarnya bagi diri kita.

Ketika berhadapan dengan gerakan Malayan Union pada 1946, pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948, Communities Liaisons Committee (CLC) 1949, Pilihan Raya Majlis Tempatan 1952, Laporan Razak 1956, Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Malaysia 1963, Rukun Negara, Wawasan 2020, 1Malaysia dan TN50, kesemuanya membina negara ini ke arah sifat ‘kepunyaan’ dan ‘perkongsian’.

Sifat kepunyaan dan perkongsian ini banyak bergantung kepada sejauh mana wujud ikatan dalaman dan luaran ke atas tanah air khususnya nilai patriotisme sendiri. Sama ada generasi prakolonial, kolonial mahupun pascakolonial, masing-masing sifatnya sama walaupun memberi tafsiran berbeza mengikut persekitaran kehidupan masing-masing sedang­kan menjunjung nilai kedaulatan negara, bangga menjadi penghuninya, menghormati dan iktiraf Perlembagaan dan Rukun Negara, sentiasa bersedia untuk ke baris hadapan mempertahankan maruah dan berkorban untuk negara adalah tradisi norma patrio­tisme.

Bumi Malaysia telah melihat rentetan peristiwa yang diwarisi; ada sifat watannya hari ini dan ada wawasan untuk kemudian hari. Segalanya adalah milik bersama di bawah tanggungjawab mereka yang menamakan diri warga Malaysia. Dari sekecil kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas serta pekerja am mahupun swasta, staf sokongan, separa profesional dan profesional, masing-masing ada tanggungjawab ke atas membina masa depan bersama kerana ini adalah Malaysia, negara kita. Saling lengkap-melengkapi dan perlu-memerlukan, kita bina Malaysia dan membela negara daripada apa sahaja desakan, cabaran, herdikan dan tekanan kerana kalau bukan kita siapa lagi yang akan lakukan untuk ‘Malaysia, Negaraku’ ini.

Kesepaduan masyarakat berbilang agama, etnik, kaum, upacara, ritual, gender dan beza fahaman politik sekalipun; penting dalam merealisasikan usaha mempertahankan kedaulatan, kewibawaan dan kegemilangan negara ini. Ia bukan hanya tanggungjawab pemimpin dan pembesar tanah air kerana jika kita sama-sama memastikan tidak berkompromi ke atas agenda songsang yang boleh meroboh atau meruntuhkan apa yang terbina selama ini, tidak ada sesiapa boleh mencabar maruah negara. Malaysia memberi identiti kepada kita; Malaysia memberi nilai kenegaraan dan lebih penting memberi sebuah pengiktirafan kepada jiwa Malaysia diri kita.

Dari sebuah negara yang mundur, Malaysia bergerak menjadi sebuah negara membangun, pesat membangun dan tetapan sebagai negara maju. Ini dapat dilakukan kerana adanya warisan kepimpinan bermula dari zaman Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Moha­mad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Setiap pemimpin ada pasang-surutnya; zaman kecemerlangan dan zaman mencabar namun nilai kenegaraan Malaysia tidak pernah dikompromi.

Yang dilakukan masing-ma­sing adalah komitmen, tanggungjawab, amanah dan mempamer kewibawaan mentadbir-urus sebuah negara pelbagai etnik ini. Bukan mudah untuk meningkatkan tahap pendidikan, ekonomi, kesihatan, kesejahteraan, kemudahan dan prasarana tetapi ia dilakukan oleh pemimpin besar negara. Pemodenan, urbanisasi dan proses industrialisasi membolehkan Malaysia berkembang dan menerokai ruang untuk terus maju dan bersaing dengan dunia lain di pentas global.

Kejayaan Malaysia dicemburui oleh ramai kerana walaupun demografi dan geografinya mencabar, ia kekal stabil dan harmoni. Walaupun berhadapan dengan konflik dan krisis ia kekal sebagai khazanah unggul milik semua. Walau ada menzahirkan kebencian, penghinaan, ketakutan dan kesangsian ke atas Malaysia, ia kekal seadanya. Ini kerana masing-ma­sing bersepadu dan bersama.

Media juga bertanggungjawab agar semangat kenegaraan tidak tersisih daripada amalan kehidupan. Walau wujud permainan persepsi politik namun tidak boleh sama sekali menolak atau meminggirkan nilai-nilai kenegaraan kerana bumi ini memerlukan kesemua warga dalam mana-mana kelas masyarakat sekalipun untuk saling membantu.

Namun, apakah Malaysia bagi kita? Adakah Malaysia sekadar nasi lemak, roti canai dan teh tarik, P Ramlee, Sudirman, Alleycats, Yuna, Stacy, atau Lee Chong Wei, Nicol David serta Azizulhasni Awang dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi?

Malaysia rencam dan penuh warna-warni. Banyak kejayaan boleh dikongsi oleh warga. Jangan hanya memberi tumpuan kepada perbezaan politik.

Tunjang kepada negara ini adalah kesepaduan sosial masyarakatnya. Perlembagaan dan Rukun Negara adalah kitab yang sentiasa perlu dijadikan nota kaki dan rujukan.

Keampuhan nilai politik, eko­nomi dan sosial negara bergantung kepada kedaulatan negara ini yang perlu terus dipertahankan demi membina masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas satu; negara yang bukan sahaja kemudahan dan prasarananya bersifat dunia maju tetapi dihuni oleh masyarakat kelas satu bermenta­liti dunia pertama.

Memang akan ada liku-likunya tetapi ini semua adalah satu perjalanan yang mampu ditempuh dengan kemuafakatan, kesepaduan dan keserasian diadun dengan semangat cintakan negara tanpa mengira etnik, kaum, agama, kepercayaan, gender dan fahaman politik; demi mempertahankan bumi pertiwi – Negaraku, Malaysia.

PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAM berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.