Kerajaan juga tidak menunggu lama apabila mengerahkan ratusan orang tentera melaksanakan operasi memburu ‘penyerang’ di kampung-kampung etnik Rohingya. Tindakan itu bagaikan satu justifikasi kepada kerajaan untuk memasuki kampung, menyerang dan menangkap penduduk awam yang kononnya terlibat membunuh polis sempadan Myanmar.

Media-media pro-Myanmar turut melaporkan artikel berat sebelah menuduh kumpulan penduduk itu bersalah. Oleh sebab kawalan ketat tentera, wartawan asing tidak dapat memasuki kampung untuk melaporkan kejadian sebenar.

Media tempatan melaporkan, 30 ‘penyerang’ terbunuh dalam operasi tentera sejak insiden pembunuhan polis sempadan itu, termasuk dua wanita bersenjatakan pedang.

Namun, keadaan sebenarnya jauh lebih buruk apabila jumlah kematian melebihi 100 orang penduduk Rohingya termasuk melibatkan warga emas, wanita dan kanak-kanak.

Realiti itu didedahkan Pro­jek Arakan, sebuah ba­dan pemantau kumpulan Ro­hingya menerusi pengarah­nya, Chris Lewa yang mem­­peroleh maklumat dari­pada penduduk di bandar Maungdaw sendiri.

Menurut Lewa, tentera meng­gunakan tindakan keke­ra­san terhadap penduduk awam termasuk melepaskan tembakan peluru hidup, mem­bakar rumah-rumah Ro­hingya, menyamun dan me­­­nahan lelaki-lelaki etnik itu dengan sengaja.

Contoh berikut jelas me­nunjukkan percanggahan la­poran keganasan di Rakhine. Akhbar kerajaan, Myanma Alinn melaporkan, sebanyak 30 lelaki Islam menyerang tentera pada 11 Oktober lalu berhampiran Kampung Kyetyoepyin.

Dalam satu kejadian berasingan pula, akhbar itu menyatakan 10 penduduk Rohingya terbunuh selepas bertempur. Selepas pertempuran, kumpulan penduduk itu membakar rumah dan melarikan diri.

Bagaimanapun, beberapa penduduk Rohingya mendedahkan, laporan itu palsu kerana sekurang-kurangnya 19 etnik tersebut termasuk lapan wanita mati dibunuh tentera Myanmar. Tentera turut membakar berpuluh-puluh buah rumah penduduk Rohingya.

Apa yang lebih memburukkan keadaan, etnik Rohingya kini menjadi sasaran semua lapisan masyarakat di Myanmar. Apabila ada sahaja insiden tercetus di kawasan-kawasan diduduki golongan itu, mereka segera dipersalahkan oleh masyarakat majoriti lain dan kerajaan.

Bukan setakat itu, kerajaan turut ‘mempergunakan’ etnik Rohingya untuk menutup isu-isu nasional dengan membangkitkan semula konflik berkaitan etnik tersebut.

Propaganda berdekad-dekad yang diterapkan kerajaan nampaknya berjaya mengambinghitamkan Rohingya dalam apa juga insiden yang berlaku.

Musuh paling nyata dan dekat terhadap golongan itu juga adalah penduduk Buddha, majoriti yang menetap di Rakhine. Ketegangan agama di negeri itu yang dihuni kira-kira 41 peratus etnik Rohingya mengulangi sengketa pada 2012 yang membunuh ratusan nyawa penduduk minoriti berkenaan.

Sama seperti tragedi sebelum ini yang mencetuskan krisis pelarian di Asia Tenggara, insiden kali ini juga boleh menjurus ke arah itu apabila ramai penduduk dari Rakhine mula keluar dari negeri tersebut untuk menyelamatkan diri.