Kalau dahulu nak mengumpat dengan jiran pasal laki ma­sing-masing, kena keluar menyembang kat sebelah pagar rumah. Kalau nak bergosip pasal artis bercerai ke pelakon buka tudung ke, kena jumpa kawan depan-depan.

Tetapi sekarang bila dah ada group WhatsApp jiran selorong la, setaman la, kerja ‘mengumpat’ semakin mudah. Kadang-kadang kau tak kenal pun siapa jiran sebelah. Tapi kau boleh menyembang di alam maya macam dah kenal bertahun-tahun.

Selalunya sikap suka jaga tepi kain orang ni dikaitkan de­ngan perempuan. Dilabel sebagai kaki gosip atau kaki mengumpat. Tetapi kalau cerita pasal keghairahan media sosial sekarang ini, semua dah terjebak. Dah tak kira kau tu spesies perempuan ke lelaki. Kalau nak cakap kaum lelaki pula yang lebih-lebih pun ya juga. Kalau diorang bersembang, lembu pun boleh terbang.

 

Lebih-lebih lagi yang taksub politik. Dia punya komen, “bukan biasher- biasher” tau! Cuba tengok mereka-mereka yang aktif beri komen atau like kat status seseorang. Tak padan badan sado bila kita stalk profile mereka. Tak tahulah pulak kalau guna fake account. Kadang-kadang kita tak sangka orang yang nampak ‘suci’ kat luar belum tentu beradab dalam media sosial.

Memang benar tiada siapa boleh halang hak menulis kat wall masing-masing. Bukan kena bayar pun. Cumanya gunalah platform itu dengan sebaiknya. Bukan sebagai tempat untuk korang sebar fitnah, burukkan peribadi orang semata-mata untuk menjatuhkan mereka.

Perbuatan itu bukan sahaja dikira biadab, malah boleh dianggap satu kesalahan jenayah! So korang yang acah-acah berani di sebalik keyboard tu, jangan main-main tau. Silap hari bulan tak pasal-pasal kena tidur lokap. Buktinya sudah ada.

Sebagai contoh, awal bulan lalu, polis telah menahan dua LELAKI kerana disyaki mengugut seorang peniaga LELAKI yang dikatakan memuat naik kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong baharu.

Sebelum itu, dua LELAKI dan seorang wanita ditahan polis kerana didakwa memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap bekas Yang di-Pertuan Agong.

Oktober tahun lalu pula seorang LELAKI ditahan kerana memuat naik komen jelik berhubung kejadian dua anggota polis maut kemalangan.

Dua tahun lalu pula, seorang LELAKI ditahan di Kedah ke­rana memuat naik kenyataan yang didakwa menghina institusi Diraja Johor.

Eh kenapa ramai pulak lelaki kena tahan ni kan. Kebetulan sahaja kot. Tak kesahlah, apa yang penting jangan salah guna kemudahan media sosial yang umpama pedang bermata dua; ia boleh membawa kebaikan jika digunakan dengan bijaksana, tetapi boleh menghancurkan diri, masyarakat dan negara jika disalahgunakan.