Disebabkan mentaliti orang sekeliling itulah ramai wanita mahu cantik. Mana-mana wanita yang merasakan dirinya tidak berapa cantik akan berusaha keras untuk menjadi cantik. Mereka yang mempunyai masalah berat badan pula akan mula mencari pelbagai ubat untuk kurus.

Selalunya mereka ini tidak sabar untuk kurus. Kalau boleh makan ubat hari ini, mereka mahu bangun pagi esok badan sudah langsing. Ajaib sungguh!

Sikap sebeginilah memberi peluang kepada peniaga-peniaga untuk mencipta ‘ubat kurus’ demi memenuhi cita-cita segera golongan wanita ini. Pelbagai kaedah pengiklanan diguna pakai untuk memperdayakan pengguna seperti “set kurus cepat dalam 3 hari”, “turun berat badan tanpa diet dan senaman” dan macam-macam lagi. Demi meyakinkan pengguna, ditampilkan pula testimoni rekaan.

Walaupun banyak pihak termasuk pakar perubatan telah mendedahkan bahayanya penggunaan produk-produk se­perti itu, tetapi ia seolah-olah tidak diendahkan. Sanggup berhabis duit semata-mata untuk membeli produk segera ini. Para penjual pula semakin galak. Maka jadilah penjual-penjual ini jutawan segera. Mereka bukannya peduli sekiranya produk tersebut tidak berkesan.

Memetik tulisan seorang pe­ngamal perubatan, Dr. Rushdan Noor menerusi Facebook, Medical Mythbusters Malaysia, beliau memberitahu, kaedah terbaik dan paling selamat mengurangkan berat badan adalah melalui kawalan makanan yang betul dan senaman yang tetap.

Namun, apa yang menjadi masalah pada hari ini katanya, adalah lambakan suplemen atau produk-produk herba untuk tujuan menurunkan berat badan yang direka cipta sendiri.

“Ramai yang ingin kurus cepat dan tidak mengikuti program yang betul. Orang ramai terpengaruh dengan individu yang tidak bertauliah. Peniaga-peniaga pula mengambil kesempatan mencipta produk dengan mencampurkan pelbagai bahan kononnya boleh memecahkan lemak dan menurunkan selera makan,” jelasnya.

Menurut beliau, sebenarnya tidak ada suplemen yang boleh memecahkan lemak serta mengurangkan selera makan. Tidak ada kajian kukuh membuktikan keberkesanannya. Malah, dikhuatiri terdapat ubat-ubat terkawal atau racun berjadual dimasukkan ke dalamnya secara diam-diam sehingga boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan se­perti tekanan darah tinggi, gangguan fungsi usus, sakit perut dan lain-lain lagi.

“Pengambilan ubat-ubatan ini tanpa nasihat doktor boleh memudaratkan badan. Memasukkan ubatan ini ke dalam produk perlu dikategorikan sebagai ubat terkawal dan sukar untuk diluluskan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna supaya berhati-hati apabila disyorkan produk-produk menurunkan berat badan. Kaji latar belakang kelayakan individu yang mendakwa pakar menurunkan berat badan.

Dapatkan khidmat nasihat daripada pakar pemakanan atau doktor supaya program diet dan senaman yang diamalkan adalah selamat. Jadi, jangan terpedaya dengan sebarang produk di luar sana. Nak jadi cantik, perlulah bijak. Sesungguhnya tiada jalan pintas untuk kurus!