Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini menegaskan bahawa penekanan akan diberikan kepada usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan melalui penubuhan Institut Penyelidikan Sosioekonomi (SERI).
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan KAMIL MASLIH serta jurugambar, ZAKI AMIRUDDIN berkongsi pandangan tentang pelaksanaan Agenda Sosial Negara yang diyakini berupaya menangani masalah sosial untuk jangka masa panjang di negara ini.

 

UTUSAN: Apa pandangan Yang Berhormat tentang penubuhan SERI?

KHAIRY: Penubuhan SERI untuk melihat isu sosioekonomi terutamanya de­ngan penglibatan Institut Kajian Etnik (Kita) di UKM adalah permulaan yang baik. Sebelum kita melihat kepada penyelesaian agenda sosial, perlu dibuat kajian yang besar melibatkan pakar-pakar untuk melihat permasalahan yang dihadapi pada masa ini.

Terdapat banyak statistik me­nunjukkan gejala dadah, jenayah juvana, ponteng sekolah, buli, anak luar nikah, penceraian dan sebagainya. Perlu ada metodologi untuk melihat apakah punca masalah-masalah sosial ini serta penyelesaiannya. Saya harap SERI dapat membuat kajian dalam masa terdekat dan melakukan audit terhadap program sedia ada.

Kita kena berani untuk me­ngakui bahawa ada program yang kita lakukan tidak berjaya. Sebab itu kita masih dibelenggu dengan masalah sosial yang begitu banyak.

Kita perlu kepada pendekatan dan pemikiran yang segar dan ja­ngan berpegang pada program-program yang mungkin sudah lapuk keberkesanannya. Saya rasa tidak ada sacred cow atau ‘lembu suci’ dari segi program dan pendekatan yang tidak boleh dihentikan atau ditamatkan untuk mengambil pendekatan yang baharu.

Siapakah yang sewajarnya menerajui pelaksanaan Agenda Sosial Negara?

Saya masih lagi bercadang supaya Timbalan Perdana Menteri menjadi pengerusi kepada jawatankuasa pemandu Agenda Sosial Negara. SERI boleh berperanan se­­­bagai sekretariatnya manakala menteri-menteri yang berkaitan boleh menjadi ahli-ahli jawatan­kuasa.

Inisiatif yang boleh diambil bagi memberi nafas baharu terhadap usaha menangani masalah sosial?

Kita perlu merangka banyak program yang mempunyai intervensi berterusan. Banyak program sekarang ini saya lihat tidak bertahan lama dan hanya melihat permasalahan itu pada paras kulit sahaja. Kita kena buat keputusan untuk melihat bagaimana kerajaan boleh menambah sumber dari segi kaunselor, pakar-pakar dalam bidang psikologi belia.

Saya gembira juga ada beberapa perkara yang diumumkan Perdana Menteri yang boleh membantu menangani isu sosial serta memperkukuhkan institusi kekeluargaan. Antaranya penambahan cuti bersalin dan diwajibkan setiap ba­ngunan mempunyai pusat ja­gaan kanak-kanak. Agenda sosial ini bukan hanya masalah juvana atau dadah tetapi juga soal bagaimana untuk memperkukuhkan institusi keluarga.

Kenapa agenda sosial ini begitu dekat di hati Yang Berhormat?

Saya hampir lima tahun di Kementerian Belia dan Sukan dan saya melihat komitmen kita untuk memupuk belia yang cemerlang, menunjukkan ciri kepemimpinan yang tinggi melalui Parlimen Belia, persatuan, kepemimpinan belia, program-program, Felo Perdana dan sebagainya.

Bukan berjaya sepenuhnya tetapi kita sudah melihat hasilnya. Cuma saya rasa kesal sedikit sebab kita mungkin, bukan terlepas pandang, tetapi saya rasa kalau saya tinggalkan kementerian ini tanpa melihat kepada golongan yang di­pinggirkan, tidak lengkap kerja kita. Jadi, kita perlu memulakan sesuatu sebab kalau Kementerian Belia dan Sukan sahaja tidak mencukupi sebab banyak kuasa dan undang-undang berada di bawah kementerian-kementerian lain.

Semasa menjelajah seluruh negara untuk sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50), saya juga melihat kebimbangan gene­rasi muda yang banyak menyentuh soal sosial, akhlak dan gejala sosial. Mereka ini mungkin tidak terlibat tetapi mereka bercakap mewakili rakan-rakan sebaya.

Yang saya paling bimbang, masalah ini semakin susah untuk kita bendung kerana teknologi. Dahulu memang wujud gejala sosial, tetapi hari ini, gangguan dan juga tekanan serta mungkin um­panan yang datang daripada mereka yang terlibat dalam media sosial ini terhadap belia-belia lain, sangat bahaya. Sebab boleh sampai terus kepada telefon mereka. Penjualan dadah melalui WhatsApp atau WeChat. Ini bahaya, sebab yang menjadi sasaran adalah pelajar-pelajar sekolah dan remaja.

Saya difahamkan, di peringkat sekolah rendah, sudah mula jual gula-gula yang ada sedikit bahan dadah supaya ketagih. Ini melibatkan remaja dan kanak-kanak yang seusia dengan anak saya sendiri. Kalau kita tidak serius dalam perkara ini, sampai TN50 mungkin kita ada sebahagian yang berjaya tetapi sebahagian lagi jauh ketinggalan.

Saya tidak mahu ambil pendekatan yang melihat kepada pecahan kaum sebab ini isu sejagat. Tetapi dalam hati saya sendiri, saya tahulah siapa mangsa utama agenda sosial ini, kaum mana yang menjadi mangsa utama, kita semua tahu. Kalau tidak ditangani isu ini, anak-anak Melayu yang paling ke depan dari segi gejala sosial.

Masalah golongan tercicir ini adalah masalah tersembunyi yang menunggu masa untuk meletup. Komen Yang Berhormat?

Ya, sebab itulah saya istilahkan sebagai bom jangka. Kalau kita tidak buat sesuatu hari ini, kita kena bayar kosnya pada kemudian hari. Dari segi kos pemulihan, dari segi kos keruntuhan keluarga, ra­watan penagih dadah dan penjara.

Bagi saya, ukuran negara maju bukan hanya dari segi ekonomi atau prasarana tetapi juga dari segi sejauh mana kita boleh menjadi negara dan bangsa yang bertamadun.

Kita ambil contoh kes kebakaran pusat tahfiz di Keramat baru-baru ini. Yang ditangkap adalah remaja. Sudah pasti respon pertama kita adalah kemarahan tetapi mungkin kita bertanya kepada diri kita, sejauh mana kita melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mereka daripada memilih jalan tersebut. Mereka tidak bersekolah, menagih dadah, dari keluarga bermasalah.

Masalah ini sangat tersebar luas, bukan hanya di kawasan bandar malah di kawasan luar bandar pun agak teruk juga. Mungkin masalah ini jauh dari pandangan, kita tak nampak.

Bagaimana menggerakkan ke­sedaran di peringkat akar umbi?

Saya harap semua pihak boleh membincangkan isu ini dan beri cadangan untuk penyelesaian. Kita perlu belajar amalan terbaik dari luar negara juga. Yang pasti, kita kena keluar dari kepompong lama. Kita perlu tengok minda orang muda hari ini kerana bukan pendekatan spiritual sahaja yang boleh digunakan untuk membantu mereka.