MyIPO merupakan agensi tunggal yang menyediakan perkhidmatan pendaftaran paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta, petunjuk geografi dan reka bentuk susun atur litar bersepadu di negara ini.

Meletakkan visi untuk menjadi organisasi harta intelek terbaik dan misi menyediakan infrastruktur perundangan yang kukuh serta sistem pentadbiran yang cekap ke arah meningkatkan kreativiti dan eksploitasi harta intelek, MyIPO turut menjalankan kerjasama strategik dengan agensi-agensi lain bagi memenuhi agenda tersebut.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, NUR FATIEHAH ABDUL RASHID bersama Ketua Pengarah MyIPO, DATUK SHAMSIAH KAMARUDDIN bagi mengetahui lebih lanjut hala tuju MYIPO memperkasakan harta intelek di Malaysia dalam tempoh 15 tahun akan datang. Beliau turut berkongsi pencapaian MyIPO sejak dikorporatkan.

 

 

UTUSAN: Pada 3 Mac lalu, MyIPO mencecah usia 15 tahun sejak dikorporatkan. Boleh Datuk ceritakan sebab di sebalik pengkorporatan MyIPO pada tahun 2003?

SHAMSIAH: Pengkorporatan MyIPO pada 2003 dilakukan atas hasrat kerajaan untuk memperkasakan harta intelek di negara ini. Langkah pengkorporatan ini memberi lebih kebebasan kepada MyIPO untuk bergerak dengan pengurusan kewangan dan sumber manusia sendiri, seterusnya memudahkan perbadanan menjalankan program-program dan kempen bagi menggalakkan pertumbuhan harta inte­lek di negara ini.

Apakah antara pencapaian besar yang telah dikecapi MyIPO?

Sejak 15 tahun lalu sehingga hari ini, dapat dilihat peningkatan yang amat ketara terutama dari segi permohonan bagi mendaftarkan harta intelek iaitu pertambahan sebanyak 125 peratus. Selain itu, bagi menghargai inovasi tempatan, MyIPO telah menganjurkan majlis Anugerah Harta Intelek Negara yang diadakan setiap tahun sejak 2006. Menerusi anugerah ini, negara telah melahirkan lebih ramai inovator tempatan termasuk yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Bukan itu sahaja, dengan usa­ha berterusan dijalankan kerajaan dalam mengukuhkan sistem harta intelek, Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai USTR Prio­rity Watchlist pada 2012. Selain itu, perbadanan ini turut menjalinkan kerjasama dengan negara-negara ASEAN di dalam mesyuarat ASEAN Working Group on Intellectual Property Co-operation (AWGIPC) bagi memodenisasikan sistem harta intelek di kalangan negara-negara ASEAN.

Selain itu, banyak lagi penca­paian lain yang telah dikecapi MyIPO se­perti mengadakan memoran­dum persefahaman (MoU) de­­ngan agensi-agensi dan badan-badan dalam negara bagi menggalakkan pertumbuhan harta intelek.

Boleh Datuk jelaskan serba ringkas mengenai peranan ­MyIPO sebagai ‘penjaga’ harta intelek di negara ini.

Sebagai penjaga harta intelek di Malaysia, kerajaan melalui ­MyIPO sentiasa memastikan struktur perundangan harta intelek adalah setaraf dengan perundangan harta intelek di peringkat antarabangsa bagi melindungi hak-hak pemunya harta intelek. Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diberi tanggungjawab untuk me­nguatkuasakan undang-undang harta intelek bagi kes-kes pelanggaran harta intelek umpamanya cetak rompak dan pengeluaran barang-barang tiruan.

Dalam masa yang sama, MyIPO juga telah menandatangani perjanjian antarabangsa berkaitan harta intelek bagi memperkukuh­kan lagi perlindungan harta intelek di negara ini, antaranya ialah Paris Convention, Patent Cooperation Treaty, WIPO Copyright Treaty, dan WIPO Performances and Phonograms Treaty.

Sebagai sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasa harta intelek di Malaysia, apakah antara usaha yang telah dijalankan oleh MyIPO?

Antara usaha yang telah dijalankan MyIPO sepanjang 15 tahun ini adalah mewujudkan Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC) yang menyediakan akses kepada institusi pengajian tinggi dan penyelidikan serta kolej politeknik (Host Institutions) bagi berkongsi maklumat-maklumat teknologi harta intelek atau data paten yang berkualiti tinggi, dan usaha jangka panjang adalah untuk melahirkan pakar-pakar harta intelek di kala­ngan host institutions.

Selain itu, MyIPO turut menjalankan kajian daripada sudut perundangan supaya selari dengan keperluan semasa dan mempercepatkan proses pendaftaran harta intelek menggunakan teknologi dan kepakaran yang ada.

Apakah hala tuju MyIPO bagi tempoh 15 tahun akan datang? Apakah ada tanda aras baharu hendak dicapai dalam memperkasakan harta intelek di negara ini?

MyIPO berazam untuk mela­kukan penambahbaikan dalam polisi harta intelek Negara yang dilancarkan pada 2007, dan dalam masa yang sama turut menjalinkan kerjasama di peringkat antarabangsa bagi harmonisasi prosedur dan peraturan pendaftaran harta intelek bagi memudahkan syarikat-syarikat dari luar negara mendapatkan perlindungan harta intelek di negara ini.

Apakah perancangan MyIPO untuk menca­pai hala tuju tersebut?

Bagi penambahbaikan pencapaian dan kaedah operasi, MyIPO ­akan memperkukuhkan lagi sistem pengurusan harta intelek melalui pendigitalan untuk memudahkan pemfailan dan mempercepatkan pendaftaran harta intelek serta akses kepada maklumat-maklumat harta intelek yang lebih efisien.

Selain itu juga, MyIPO akan memperluaskan lagi jaringan ker­jasama dengan institusi-institusi dalam negara termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) bagi menanam budaya menghormati hak-hak harta intelek di kalangan generasi muda.