Pokoknya rendang dan berbunga lebat. Kalau petang atau malamnya hujan, esok paginya banyaklah bunga yang berkembang. Ada kelopaknya yang gugur ke tanah.

Bukan hanya murid yang mengutipnya, guru-guru pun ada yang mengambilnya. Guru kelas penulis, Cikgu Salmah selalu meletakkan bunga-bunga itu di atas mejanya. Wangi jadinya seluruh kelas.

Nakal-nakal kami pun pada masa itu, tidaklah sampai kami memanjat pokok bunga itu walaupun senang dipanjat. Seingat penulis, tukang kebun sekolah itu, Pak Cik Husin (sudah arwah) menyediakan galah untuk sesiapa sahaja yang ingin mengait bunga itu.

Sampai kini, selepas berpuluh-puluh tahun meninggalkan sekolah itu, bunga cempaka dan wanginya tetap menjadi nostalgia bukan hanya kepada penulis, tetapi rakan-rakan yang lain.

Pokok itu kini tiada lagi, samalah juga dengan sekolahnya yang sudah berpindah ke tapak baharu. Bangunannya lebih canggih. Bukan diperbuat daripada kayu seperti dahulu.

Tetapi, kalau kami berpeluang berjumpa semula di pekan Kodiang, pekan kecil tempat kami bersekolah dahulu, kami tidak lupa memperkatakan pokok bunga itu kerana masing-masing ada kisah tersendiri tentang pokok yang membawa banyak kenangan itu.

Paling kami ingati, seorang guru kami pernah berkata, wangi cempaka ini samalah dengan ilmu, ia akan harum sepanjang zaman. Inilah antara kata-kata azimat tentang ilmu yang kebanyakan kami pegang sampai kini.

Walaupun jauh kami meninggalkan pekan kecil tempat kami mula-mula mengenal guru, angka 1 sampai 10, A sampai Z dan lain-lain lagi, ilmu itulah yang menyuluh jalan hidup kami. Inilah antara ingatan kami sebagai anak-anak kecil yang bersekolah pada zaman susah.

Zaman berbasikal ke sekolah, meredah lumpur dan kebanyakan kami berkasut getah tetapi berjaya berkat ajaran dan didikan guru-guru yang tidak pernah mengenal jemu.

Jauh bezanya dengan anak-anak sekolah kini yang serba maju, bermotosikal ke sekolah atau dibawa dengan kereta.

Atau paling tidak pun bas ditunggu di depan pagar rumah. Jalan tidak becak lagi, tidak berkasut getah lagi. Tidak ada alasan hujan lebat untuk tidak ke sekolah, tidak ada alasan bas datang lambat kerana ibu bapa boleh menghantar anak-anak ke sekolah dengan kadar yang cepat.

Zaman berubah sekalipun tugas guru tetap sama. Mereka mendidik insan-insan supaya berjaya mengangkat diri, keluarga bangsa, agama dan negara dengan ilmu di dada.

Mereka mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk memandu arah anak-anak bangsa menjadi pemangkin negara maju, walaupun pelbagai cabaran alaf baharu dihadapi.

Apabila tibanya hari guru, murid-murid kini berlumba-lumba ingin memberi hadiah istimewa kepada guru-guru mereka.

Dengan kesenangan yang ada, ada yang sanggup membeli barang-barang berharga untuk guru sebagai tanda terima kasih dan penghargaan tidak terhingga atas jasa guru.

Berbeza dengan anak-anak murid zaman dahulu yang kadang-kadang lupa akan tarikh hari guru dan tidak tahu apa yang hendak dihadiahkan kepada guru mereka.

Tidak ada benda-benda mahal yang diberikan sebagai hadiah. Di pekan-pekan kecil seperti pekan kelahiran penulis, belum ada kedai-kedai menjual peralatan hadiah untuk guru.

Hadiah yang kami beri kepada guru adalah apa yang ada di persekitaran kami sahaja. Ini termasuklah bunga cempaka yang pokoknya hidup subur di antara kantin dan kelas kami.

Guru-guru kami tidak berkata apa-apa tetapi tetap mengingatkan kami bahawa wangi cempaka itu samalah dengan ilmu, ia akan harum sepanjang zaman.

Selamat Hari Guru.