Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PENDERITAAN ditanggung etnik Rohingya bukan cerita dongeng atau
PENDERITAAN ditanggung etnik Rohingya bukan cerita dongeng atau rekaan semata-mata untuk menagih simpati dunia. UTUSAN/HAFIZ JOHARI

PADA saat ini ketika kita sedang nyenyak tidur, di tebing Sungai Naf sempadan Myanmar-Bangladesh ratusan ribu etnik Rohingya menggadaikan nyawa melarikan diri dari pembantaian dan kekejaman tentera Myanmar di Rakhine, Myanmar.

Sejak 1982, etnik Rohingya menjadi manusia tanpa warganegara setelah kerajaan Myanmar menafikan hak kerakyatan etnik tersebut yang berterusan dizalimi sehingga sekarang.

Penderitaan yang ditanggung etnik Rohingya ini bukan cerita dongeng atau rekaan semata-mata untuk menagih simpati dunia.

Jika difikirkan secara logik siapa yang mahu meninggalkan kampung halaman memperjudikan nasib di lokasi asing tanpa ada sebarang harta yang dibawa kecuali harapan untuk hidup dengan bebas.

Sukarelawan misi Food Flotilla for Myanmar yang meredah Selat Melaka, Laut Andaman dan Teluk Bengal bermula 3 hingga 23 Februari lalu menyaksikan sendiri penderitaan yang dihadapi etnik ini di tiga buah kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Ketika misi itu berlangsung, 500 tan barangan bantuan dise­rahkan kepada kerajaan Myanmar manakala 2,000 tan lagi diserahkan kepada Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) Bangladesh untuk diagihkan kepada pelarian Rohingya di kem-kem pelarian di negara berkenaan.

Laluan untuk barangan bantuan misi itu diserahkan juga bukan mudah kerana ketika sampai di perairan Cox’s Bazar, kapal utama misi berkenaan, Nautical Aliya terpaksa berlabuh lebih lima jam sementara menunggu pelepasan daripada kerajaan Bangladesh untuk berlabuh di pelabuhan Chittagong.

Situasi tegang itu beransur reda apabila Ketua Misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for Myanmar, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bersama Presiden Majlis Pertubuhan Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abd. Hamid mengambil inisiatif berunding di atas kapal tentera laut Bangladesh selama tiga jam untuk memperoleh kebenaran memasuki pelabuhan.

Kesukaran sebegitu tidak menjadikan alasan untuk barangan bantuan tersebut tidak diserahkan kepada etnik Rohingya yang memerlukan.

Ketika itu, kerajaan Myanmar ‘menerima’ dengan terbuka barangan yang disalurkan itu malah membenarkan Duta Malaysia ke Myanmar, Mohd. Haniff Abd. Rahman dan wakil daripada KP1M dan Mapim untuk meninjau proses pengagihan makanan tersebut kepada etnik Rohingya.

Namun, ‘kedamaian’ yang dinikmati oleh etnik Rohingya di wilayah Rakhine hanya sementara kerana kali ini tentera Myanmar makin menggila seolah-olah mereka mahu melenyapkan terus etnik Rohingya dari bumi Myanmar.

Lantas Malaysia tanpa berlengah terus menghantar Tim Tinjauan Misi Kemanusiaan Pela­rian Rohingya ke Chittagong yang membawa bantuan makanan seberat 12 tan khusus untuk pela­rian etnik Rohingya yang kini berada dalam situasi kecemasan di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan adakah barangan bantuan yang merupakan amanah rakyat Malaysia itu dapat disalurkan terus kepada pelarian etnik Rohingya?

Menurut Mohd. Azmi, kebimbangan tersebut ada asasnya memandangkan audit barangan bantuan daripada misi Food Flotilla For Myanmar yang diserahkan untuk diselia daripada IOM di Bangladesh masih belum diperoleh oleh sekretariat misi ber­kenaan.

Menurutnya, bagi memastikan tidak timbul sebarang fitnah terhadap kerajaan Bangladesh dan Malaysia, proses pengedaran barangan bantuan itu kepada etnik Rohingya di Bangladesh mesti dilakukan sendiri oleh pasukan dari Malaysia.

“Kita tidak katakan bahawa barangan ini tidak disalurkan sepenuhnya kepada etnik Rohingya namun kerajaan Bangladesh mesti memberi jaminan dan membenarkan pihak kerajaan Malaysia mengedarkan sendiri bantuan ini.

“Kita sangat hargai kerjasama yang diberikan oleh kerajaan Bangladesh selama ini untuk membantu etnik Rohingya di negara mereka.

“Kerajaan Bangladesh boleh menjadi pemudah cara dengan mengawasi keselamatan sukarelawan Malaysia ketika mengedarkan bantuan. Ini terutama memaklumkan lokasi yang sesuai untuk bantuan diagihkan,” katanya.

Selain pengedaran bantuan makanan dan keperluan asas, beliau berkata, Malaysia perlu memainkan peranan penting dalam menyelesaikan konflik di Rakhine dengan meneruskan desakan di peringkat antarabangsa, ter­utama kepada negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China agar kerajaan Myanmar dikenakan tindakan atas perbuatan zalim mereka.

“Suara Malaysia ternyata dihormati masyarakat dunia dan Malaysia perlu diberikan mandat sebagai orang tengah untuk mengendalikan isu ini mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, kekejaman terhadap etnik Rohingya mesti dihentikan segera dan pergolakan di bumi Rakhine mesti ditamatkan dengan Myanmar mengembalikan hak warganegara terhadap etnik Rohingya.

Hanya dengan cara itu etnik Rohingya dapat menghirup udara kebebasan di tanah air mereka sendiri tanpa dibayangi kekejaman.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain