Dalam tempoh tersebut, beliau berjaya meningkatkan imej Jabatan Imigresen Malaysia (JI M) termasuk melakukan tindakan operasi hampir setiap hari, di samping pelbagai pembaharuan bagi memudahkan orang ramai termasuk permohonan pembantu rumah secara dalam talian.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, SAHIDAN JAAFAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI di pejabat beliau di Putrajaya pada Khamis lalu, Mustafar berkongsi perancangan beliau untuk meningkatkan kolaborasi dalam kalangan jabatan imigresen di rantau AS EAN bersempena Mesyuarat Ketua-Ketua Pengarah Jabatan Imigresen ASEAN (DGI CM) ke-22 yang diadakan di Kuala Lumpur dari 5 hingga 9 Ogos ini.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, beliau turut bercerita Op Mega 3.0 dan fokus JI M untuk mengambil tindakan ke atas para peniaga warga asing yang menimbulkan rasa tidak selesa rakyat tempatan.
 

MINGGUAN: Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-Ketua Pengarah Jabatan Imigresen ASEAN (DGICM) ke-22 dari 5 hingga 9 Ogos ini. Apakah perkara yang akan Datuk Seri ketengahkan?

MUSTAFAR: Apa yang saya hendak tekankan, dalam semangat kesepaduan ASEAN, kita mahu mencari satu titik pertemuan, bukan titik perbezaan. Kalau kita katakan bagaimana mengawal sempadan negara kita supaya negara kita dihormati oleh negara lain, itu telah kita cari dan temui.

Misalnya, apabila pekerja Indonesia datang ke Malaysia, kita berbincang dengan Direktorat Jenderal Imigrasi Indonesia. Saya berbincang dengan Direktur Jenderal Imgirasi Indonesia, Pak Ronny (Dr. Ronny F. Sompie). Kita melawat ke tempat mereka dan mereka melawat ke tempat kita. Kita mengadakan perbincangan tertentu.

Kita berbincang dengan rakan-rakan sejawat kita di ASEAN. Saya ada inisiatifkan buat kali pertama dalam mesyuarat yang saya pengerusikan nanti, saya cari satu tema tertentu. Tema yang saya letakkan iaitu “Kedaulatan dan Keselamatan Misi Kita”.

Sebagai keluarga besar ASEAN, dengan mentadbir 10 negara ini, kita ada satu semangat kemuafakatan atau kesepakatan. Kita tidak boleh bekerja secara solo (bersendirian). Saya ambil contoh negara yang dekat, Singapura. Bagi mentadbir orang yang masuk, JIM bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).

Kertas kerja tentang apa yang akan dibentangkan dan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut?

MUSTAFAR: Saya merencanakan bersama-sama dengan warga kerja Imigresen dan menentukan kertas-kertas kerja untuk dibentangkan.

Kita ada pengalaman negara-negara lain yang boleh kita kongsikan. Misalnya, Malaysia akan membentangkan analisis data besar. Bagaimana data besar ini akan dapat membantu dalam soal perlindungan sempadan.

Tadi pun saya bermesyuarat bagaimana data besar ini boleh membantu dalam membuat kepu­tusan. Kita akan menjemput Singapura untuk membentangkan tentang kemajuan teknologi mereka.

Kita tahu keupayaan mereka yang telah membuat beberapa aspek automasi. Kita telah berbincang bagaimana aspek ini boleh dikongsikan dengan negara-negara lain.

Dengan Indonesia, kita tahu berlaku penyeludupan migran atau pemerdagangan orang, maka kita menjemput Pak Ronny untuk membentangkan aspek itu. Filipina dan Thailand begitu juga.

Selain itu, kita ada juga ASEAN+ Australia. Oleh sebab Australia rakan strategik negara-negara ASEAN, mereka akan bersama kita dalam satu sesi nanti bagi memberikan sudut pandang mereka dan beberapa kerjasama mereka dalam soal pembinaan kapasiti, latihan, dan kepakaran forensik tertentu.

Kita tahu mereka ada teknologi canggih. Kita akan minta mereka kongsikan teknologi canggih yang boleh dikongsikan.

Dalam semangat kesepakatan inilah, DGICM kali ini merupakan satu forum terbaik bagi negara-negara ASEAN tapi saya hendak pertingkatkan lagi.

Sebelum ini Datuk Seri pernah membangkitkan cadangan tentang penubuhan satu entiti seperti Aseanapol untuk Imigresen di ASEAN. Apakah perkara itu akan dibincangkan secara serius dalam mesyuarat kali ini?

MUSTAFAR: Polis di ASEAN ada Aseanapol atau Polis ASEAN. Kalau peringkat negara dunia ada Polis Antarabangsa (Interpol) iaitu gabungan polis dunia.

Setakat ini, di ASEAN kita ada DGICM, iaitu mesyuarat tetapi bagaimana kolaborasi itu diangkat sebagai seperti Aseanapol baik dalam aktiviti pemantauan, gerak kerja dan malahan sukan. Sebab sukan adalah satu aktiviti semi rasmi tetapi dapat memperkukuh semangat kerjasama. Satu lagi multilateral dan bilateral dalam kalangan negara ASEAN.

Saya pernah sebutkan perkara ini kali pertama dalam mesyuarat DGICM di Laos pada tahun lalu. Ini kali kedua saya akan ulangkan dan kita akan berikan perspektif menyeluruh bagaimana perkara ini wajar dilakukan. Jika disepakati semua, maka akan ada nanti seperti Aseanapol dalam entiti imigresen.

 

Setakat ini bagaimana kerjasama dalam kalangan negara ASEAN terutama dalam kes rentas sempadan?

MUSTAFAR: Berhubung jenayah rentas sempadan, kita sudah lama ada ketetapan dalam pelbagai jabatan baik dalam polis atau Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM). Tetapi dalam semangat kita bersama-sama bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat kita sekat, banteras atau halang, itu bukan hanya melibatkan Imigresen.

Kalau perbatasan sempadan yang ditadbir oleh Imigresen,di pintu masuk itu kita tadbir dengan bagus. Saya sebutkan tadi, pesisir pantai kita yang panjang dan luas memudahkan orang masuk. Jadi, kita melakukan perkongsian maklumat risikan.

Sebelum orang masuk ke negara ini, jabatan imigresen negara lain akan maklumkan kepada kita. Sama juga dengan kita, ada maklumat yang kita kongsikan dengan rakan sejawat kita di negara lain. Jadi, tidak boleh secara solo.

Satu lagi, kita juga bekerjasama dengan Interpol. Contohnya dalam soal pasport yang hilang dan dicuri. Kita ada pangkalan data yang dipegang oleh Interpol. Apabila kita scan (imbas) pasport dan kalau pasport itu antara pasport yang diisytiharkan hilang dan digunakan oleh pengguna baharu, peranan bersama kita dan Interpol akan dapat digunakan.

Ringkasnya, kita berkolaborasi dan jenayah rentas sempadan ini antara ketetapan kita. Dalam negara kita, ada jawatankuasa peringkat tertinggi. Sekarang kita ada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) di mana Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku pengerusinya dan tindakan agensi di bawah seliaan yang bekerjasama baik.

Datuk Seri ada menyebutkan bahawa pesisiran pantai negara kita luas dan terdapat banyak lorong tikus yang menjadi laluan orang menyusup masuk ke Malaysia. Berapa anggaran jumlah lorong tikus yang ada?

MUSTAFAR: Memang tidak boleh dikira jumlah lorong tikus. Contoh di pantai, mereka tidak gunakan jeti pun. Kalau pantai itu sepanjang tiga batu, mereka (bot) boleh berhenti di mana-mana lokasi di sepanjang pantai itu. Macam mana kita hendak kira lorong tikus?

Tapi, baru-baru ini dipaparkan dalam media, ada satu terowong digunakan untuk menyusup masuk ke dalam terowong itu. Kalau itu lorong tikus, itu satu. Kalau banyak terowong, banyak lorong tikusnya.

Kalau lorong tikus itu sudah dibesarkan, maksudnya sudah dibesarkan. Kalau orang buat penyeludupan, dahulu mungkin naik basikal atau motosikal. Selain itu, tempat yang sama sudah ada kenderaan yang lalu. Mungkin laluan tanah merah atau berbatu. Apa yang saya maksudkan, lorong-lorong tikus itu tidak dapat dikira.

Kalau pantai Sabah dengan Filipina sepanjang 1,700 kilometer, setiap inci tempat itu boleh menjadi lorong tikus, kecuali tempat itu sukar mendarat seperti paya. Tetapi tempat berpaya pun orang masuk. Saya beri contoh di Kuala Selangor, pegawai Imigresen bertindak selepas kita dapat tahu orang Somalia akan berhijrah pergi ke Australia menggunakan pintu masuk itu. Mereka redah lumpur hampir paras lutut untuk pergi ke tepi pantai dan menaiki bot.

Orang Bangladesh dari Dhaka hendak pergi ke Indonesia masuk jalan itu juga. Ada sistem pertukaran di tengah-tengah pula. Kalau di Sungai Golok, bayangkan jeti-jeti haram yang dibina di tepi sungai itu. Setiap jeti itu adalah lorong tikus. Tak ada jeti pun lorong tikus, apatah lagi ada jeti.

Tidak boleh diturunkan orang antarabangsa ke negara kita kalau tidak melalui jalan sah. Kalau keluar tanpa pintu yang sah pun menjadi satu kesalahan. Cuma yang boleh kita kira kalau laluan itu kita nampak orang selalu keluar masuk.

Bercakap tentang Op Mega 3.0, setakat ini berapa ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) dan majikan telah ditangkap?

MUSTAFAR: Op Mega 3.0 dilakukan selepas Program Penempatan Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Rehiring) tutup pada 30 Jun lalu. Bermula 1 Julai lalu sehingga sekarang, kita telah melakukan 1,761 operasi. Daripada 19,874 orang yang kita periksa, seramai 5,101 orang telah kita tangkap.

Itu belum campur tangkapan malam tadi. Kalau dicampur, jumlahnya mungkin mencecah 5,500 orang di seluruh negara. Kita juga menangkap 133 orang majikan yang masih berdegil menggajikan PATI. Saya juga suka menyatakan tentang angka dari awal 1 Januari hingga 1 Ogos, kita telah melakukan 8,649 operasi dan kita telah membuat pemeriksaan ke atas 106,000 orang. Kita telah menangkap hampir 26,000 orang PATI. Berapa ramai di luar sana yang belum ditangkap?

Kita telah menangkap seramai 698 orang majikan. Kita telah berbincang dengan penasihat undang-undang dan pendakwa raya, tindakan mahkamah dilakukan supaya tindakan pencegahan boleh berlaku. Jangan gajikan atau lindungi PATI. Tindakan tegas akan diambil.