Walaupun sejak kebelakangan ini, Najib dilabel sebagai `Raja Troll’, ramai bersetuju bahawa troll beliau bukan berbentuk `tembakan meriam buluh’, sebaliknya penuh fakta dan mengundang penyelidikan mendalam.

Ada kalanya dapat dijawab dengan baik oleh kerajaan, banyak masa juga gagal kerana hujah yang dikemukakan meleret-leret, kadang-kadang dilihat beremosi jauh daripada profesional.

Troll terbaharu yang diperlihatkan oleh Najib mengenengahkan nilai Ringgit adalah lengkap dengan graf, secara pantas memberitahu pembaca bahawa hujah Najib bukan `main petik’ tetapi sarat dengan fakta.

"Saya dah turun dan Guan Eng sudah naik. Tetapi Ringgit turun dengan lebih dashyat lagi. Apa alasan Guan Eng?,’’ tulis Najib yang jelas memulangkan paku buah keras kepada Menteri Kewangan.

Merrepak juga berhujah mengikut fakta tanpa menyebelahi Najib atau Guan Eng. Demi memastikan anda tidak terhenti membaca, saya memberi jaminan artikel mengenai nilai mata wang Ringgit ini akan dibentangkan secara `mesra Merrepak’ iaitu anda tidak muak tetapi mudah faham:

1. Rizab Emas

Mengikut standard global, nilai mata wang kertas `diikat’ rapat dengan nilai rizab emas yang dimiliki oleh sesebuah negara. Ini memberikan nilai `sebenar’ dan petunjuk kestabilan. Dasar kewangan ini dinamakan `standard emas’.

Namun, dasar ini semakin dipinggirkan dan Amerika Syarikat sendiri meninggalkannya, ketika era pentadbiran Presiden Richard Nixon pada 1971. Selain emas, nilai mata wang `diikat’ pula dengan rizab mata wang asing utama dunia seperti dolar AS, Euro, Yen dan Yuan.

2. Bekalan dan Permintaan

Rizab antarabangsa sesebuah negara biasanya mencukupi untuk menampan sebarang bentuk kejatuhan permintaan dan bekalan mata wang atau pengurangan nilai bagi tempoh singkat dengan membeli atau menjual lebih banyak mata wang tersebut.

Bagaimanapun, aspek yang menentukan nilai mata wang adalah bekalan dan permintaan Ringgit pada masa yang khusus, yang ditentukan oleh kuasa pasaran.

3. Kestabilan Kerajaan

Satu daripada banyak faktor mempengaruhi bekalan dan permintaan Ringgit negara ialah kestabilan kerajaan. Ini kerana perubahan mendadak dalam kerajaan atau apa saja bentuk masalah pasti memberi kesan buruk terhadap dasar ekonomi dan keupayaan ekonomi negara untuk berfungsi.

Kebimbangan dan ketidaktentuan boleh mengakibatkan para pelabur dan perniagaan menjadi panik dan menarik keluar modal mereka dari negara ini.

4. Potensi pasaran

Faktor ini memainkan peranan dalam pengukuhan Ringgit. Misalnya, sesebuah negara yang sedang membangun dengan penduduk yang dijangka bertambah, ekonominya dijangka tumbuh, tentunya ia menarik minat pelaburan asing. Ini diterjemahkan kepada `permintaan lebih tinggi’ untuk Ringgit.

5. Kedudukan ekonomi

Bila perniagaan dalam negara berjalan bagus, industri mencatat kadar import dan eksport yang baik, mata wang negara juga akan menjadi kukuh ketika bilangan besar dagangan dijana. Sebaliknya, bila tiada aktiviti ekonomi, pelabur akan memindahkan dana mereka ke negara lain.

6. Keyakinan pelabur

Dalam kebanyakan negara, aspek `menjaga sensitiviti’ pelabur ini sangat diutamakan. Pelabur hendaklah dikekalkan keyakinan mereka. Ini kerana jika mereka tidak yakin, mereka akan pindahkan wang ke luar negara. Ini sekali gus menjejaskan permintaan dan bekalan Ringgit.

Enam faktor di atas adalah faktor asas yang mempengaruhi turun naik Ringgit. Senang diingat, bukan? Jika ada kuiz di akhir artikel ini, tentu anda semua boleh jawab.

  • Apa berlaku selepas 
PRU-14?

Secara umumnya, penganalisis ekonomi bersependapat bahawa rata-rata pelabur asing `terperanjat’ dengan perubahan kerajaan Pakatan Harapan yang kemudiannya membatalkan beberapa keputusan yang telah diluluskan oleh Barisan Nasional sebelum itu.

Pemansuhan GST, pembatalan atau penyusunan semula projek-projek mega dan pengisytiharan hutang negara melebihi RM1 trilion, walaupun sedap diperdengarkan kepada penyokong PH, ia telah menakutkan para pelabur terhadap prospek pertumbuhan, kedudukan fiskal dan penarafan hutang negara.

Sejak 9 Mei 2018, nilai Ringgit telah menyusut sebanyak 1.67 peratus berbanding dolar AS. Untuk rekod, penurunannya sudah bermula lebih awal iaitu antara 2 April hingga 21 Jun, Ringgit susut 3.98 peratus.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2018, pengaliran keluar dana asing dari Bursa Malaysia dan Sekuriti Kerajaan Malaysia, masing-masingnya berjumlah RM8.4 bilion dan RM16.2 bilion, yang turut menjadi faktor penurunan nilai Ringgit tahun lalu.

Faktor lain yang tidak boleh diketepikan ialah faktor luaran iaitu pengukuhan nilai dolar AS itu sendiri, perang perdagangan AS-China.

  • Apa perlu dibuat sekarang?

Kita faham sesebuah kerajaan baharu terbentuk memerlukan masa untuk menetapkan hala tuju dasar kewangan, dan kerajaan sentiasa maklum bahawa setiap tingkah-laku dan keputusan mereka diperhatikan oleh para pelabur tempatan dan luar negara.

Kekalutan isu ECRL adalah contoh yang tidak akan menggembirakan pelabur baik dari segi cara ia diuruskan, keputusan ia dibuat dan sekarang semua tergantung tidak tahu siapa buat keputusan. Ramai mengharapkan Perdana Menteri akan menjadi pemutus muktamad.

Isu ECRL juga mendedahkan keanehan yang timbil akibat kewujudan dua kementerian yang hampir sama iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Lihatlah di luar kotak politik kepartian, isu ECRL ini menakutkan para pelabur dalam dan luar negara yang sama sekali tidak akan membantu menstabilkan nilai mata wang Ringgit. Rakyat memilih Pakatan Harapan untuk mengemudi Malaysia dengan cara baharu, maka laksanakanlah mandat rakyat ini. Berhentilah main politik kerana rakyat kian merasai kesan kos kehidupan yang semakin mahal di Malaysia sekarang.