Menurut kajian institut itu, golongan ini mengamalkan gaya hidup semi nomad. Ada kediaman kekal tetapi akan masuk ke hutan bersama keluarga dalam tempoh tiga sehingga enam bulan untuk mencari hasil hutan seperti rotan, buluh dan herba.

Lazimnya mereka akan kembali semula ke ‘kampung halaman’ masing-masing pada Oktober sehingga Januari kerana pada ketika itu musim tengkujuh.

Pengarah Inspek, Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, ini kerana setiap kali masuk ke hutan mereka akan mencari sungai dan sumber air untuk membina rumah sementara menggunakan kanvas yang dipanggil ‘haya’ dan ketika musim tengkujuh kawasan akan ditenggelami air.

“Kami melakukan kajian mengenai kehidupan masyarakat ini di Kuala Koh khususnya membabitkan ekonomi mereka pada tahun 2012. Saya tinggal di sana selama sebulan.

“Orang Asli suku kaum Batek boleh berkomunikasi dengan masyarakat biasa malah sudah biasa berjual beli dengan orang luar dan majoriti sudah Islam, cuma masih mempraktikkan amalan tradisional mereka.

“Orang Asli suku kaum Batek khususnya wanita terkenal dengan pengetahuan tradisi mereka dalam herba untuk penjagaan kesihatan tetapi mereka tidak ada masalah jumpa doktor.

“Kerajaan sendiri sudah sediakan klinik bergerak, tidak ada masalah isu kesihatan. Mungkin ada segelintir sahaja yang takut dengan doktor,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata, hutan Taman Negara Kuala Koh ibarat bank dan pasar raya untuk masyarakat itu, jika terjejas maka mereka akan mendapat impak yang besar.

Itu adalah latar untuk memahami dengan jelas masyarakat Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang tiba-tiba diserang kematian misteri sejak 4 Jun lalu.

Kematian itu dikatakan berpunca daripada jangkitan saluran pernafasan atau pneumonia namun punca sebenar wabak tersebut merebak masih belum diketahui.

Penduduk Orang Asli mendakwa mereka terkena jangkitan tersebut disebabkan menggunakan air yang tercemar, namun pneumonia adalah wabak yang disebarkan melalui pernafasan, dua perkara yang berbeza.

Banyak perkara yang harus dilihat di sini, bagaimana kontak di antara Orang Asli dengan sahabat-sahabat mereka di kawasan lain dan bagaimana juga kontak mereka dengan haiwan.

Begitu juga dengan perlombongan dan pembalakan. Sememangnya, kawasan tersebut terancam. Media tempatan telah acap kali melaporkannya sejak tahun 2013 tetapi senyap begitu sahaja.

Bagaimana kewujudan lombong terletak berhampiran Sungai Pertang sehingga menjejaskan sumber air. Dan bagaimana pula dengan pembalakan yang berlaku terlalu hampir dengan Taman Negara.

Perkara ini masih samar. Penjelasan harus diberikan.