Semenjak tewas kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada April 1987, beliau tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan meskipun tidak pernah kalah di Parlimen Gua Musang.

Ketika ditanya apa rahsia beliau disayangi pengundi di Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh menjawab: “Tidak ada pengaruh. Semua orang ada pengaruh (ketawa). Saya rasa kita kena kenal rapat pengundi. Kita beri perkhidmatan betul-betul bukan main-main.”

“Umur saya baru 18 tahun (ketawa) dan itu hanya angka. Alhamdulillah,” katanya berseloroh ketika memberikan wawancara eksklusif kepada Mingguan Malaysia. Beliau yang kini sudah berusia 81 tahun tetapi kelihatan sihat dan ceria ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, SAHIDAN JAAFAR, SUFFIAN ABU BAKAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI selepas selesai majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena genap 12 tahun pemergian Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Kemendor, Jasin, Melaka, pada Khamis lalu.

Menerusi wawancara itu Tengku Razaleigh ditanya pelbagai soalan menyentuh perkara berkaitan sokongan tidak berbelah bahagi Dr. Mahathir kepada DAP, layanan beliau terhadap parti Semangat 46, bahaya percaya fitnah di media sosial oleh pembangkang serta kelicikan DAP memperdaya orang Melayu menjelang tarikh pengundian pada 9 Mei ini.


MINGGUAN: Bagaimana perasaan Tengku apabila diumumkan bertanding sekali lagi dalam PRU-14 ini?

TENGKU RAZALEIGH: Saya sebenar sudah beritahu tak nak bertanding lagi. Pilihan raya lepas (PRU-13) saya sudah tidak mahu bertanding. Kawan-kawan saya semua sudah bersara. Saya ingat penggal ini saya tidak diambil kira lagilah sebagai calon tapi akhirnya UMNO mahukan saya tawar diri (bertanding) semula.

Saya rasa, sudah melebihi had umur pun (ketawa) dan saya pun tak boleh buat apa-apa. Saya tidak hendak apa-apa jawatan, menteri ke atau lain-lain, dan saya tidak pernah pegang apa-apa jawatan semenjak lawan Dr. Mahathir. Bila saya berhenti, saya tolak semua jawatan. Bila dipujuk masuk Kabinet pun saya tidak terima. Begitu juga jawatan-jawatan untuk jadi pengarah dan sebagainya, semua saya tak terima sampai sekarang.

Apa pandangan Tengku tentang Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam usia 93 tahun masih galak berpolitik dan bertanding malah telah diumum akan menjadi Perdana Menteri oleh pihak pembangkang?

TENGKU RAZALEIGH: Dia (Dr. Mahathir) istimewa. Saya tidak istimewa (ketawa). Kita ada berbincang tadi dengan calon Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah macam mana saya ini selalu bertembung dengan Dr. Mahathir.

Semasa dalam UMNO dahulu bertemu Dr. Mahathir, semasa saya tubuh parti Semangat 46 pun, saya bertemu dengan Dr. Mahathir, di dalam parti, di luar parti, menentang kerajaan zaman dialah (Dr. Mahathir), ketika dia pimpin kerajaan. Ini kali pun masih, dia bersara, dia keluar UMNO, saya ada dalam UMNO, masih bertembung, barangkali ini petanda baik, tidak tahulah.

Bagaimana Tengku melihat perbezaan sikap Dr. Mahathir terhadap DAP sekarang, berbanding dahulu?

TENGKU RAZALEIGH: Dahulu, asas perjuangan dia untuk membela nasib bangsa Melayu, menjaga kepentingan Melayu. Lebih-lebih lagi maruah orang Melayu. Malah dia juga yang membuat pelbagai tuduhan terhadap DAP. Bagaimana ekstremnya DAP, sikap chauvinis DAP, dan tidak boleh terima hakikat Malaysian Malaysia. Bagi dia, orang Melayu tidak mahu terima Malaysian Malaysia kerana dasar meritokrasi yang dibawa DAP tidak boleh diterima UMNO kerana orang Melayu masih ketinggalan jauh.

Ini bukan soal perkauman, ini soal standard. Jadi kita lewat dapat kesedaran, dapat exposure (pendedahan). Itulah dia, itu sikap Dr. Mahathir dahulu terhadap DAP. Tapi sekarang, nampaknya itu semua tidak diambil kira. Seolah-olah dia ini tak ada prinsip. Jadi dia utamakan, kata dialah, 'demi negara'.

Jadi dia rela ketepikan prinsip perjuangan kerana hendak tukar kepimpinan kerajaan. Dia sanggup keluar UMNO kerana hendak menukar kepimpinan sedia ada sekarang. Katanya UMNO diguna sebagai alat untuk pemimpin semata-mata.

Saya lain pendapat. Seperti saya kata tadi, saya sendiri pun hairan, bagaimana dia seorang yang sangat berprinsip tiba-tiba boleh "memeluk" DAP dan kepimpinan DAP yang pernah dituduh macam-macam termasuk ada hubungan dengan komunis. Saya memang hairan kerana Dr. Mahathir ini orang yang berprinsip.

Segala masalah politik hari ini adalah berpunca daripada gaya politik Dr. Mahathir. Dia tak bersetuju dengan Tengku sendiri, Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Datuk Seri Najib Razak. Ulasan Tengku?

TENGKU RAZALEIGH: Dr. Mahathir ini dengan Tunku Abdul Rahman pun dia hendak buang. Hussein Onn pun dia pasang Sulaiman Palestin suruh lawan. Saudara kena interview Anwar, betulkah Anwar terima permohonan maaf Dr. Mahathir? Anwar kena penjara dan dimalukan dengan berbagai-bagai fitnah.

Bagi saya orang yang puja dia (Dr. Mahathir) orang yang tak kenal siapa Dr. Mahathir. Kesan dasar-dasar yang telah dilaksanakan itu menjadi-jadi sekarang dan membawa keadaan yang buruk. Itu mereka tak sedar. Dasar bukanlah hari ini laksana, esok sudah boleh rasa.

Tapi kebanyakannya memakan masa 10 atau 15 tahun baru ada kesan. Yang muda-muda ini merasakan yang buruk semua Najib. Semua yang baik barangkali zaman Dr. Mahathir. Itulah nampaknya. Saya tak tahulah tapi saya rasa cara ini tak boleh mendidik orang kita membawa ke arah perpaduan. Cara yang dicorakkan sekarang ini tidak boleh membawa keamanan dan kita berpecah belah terutama sekali orang Melayu. Bilangan kita kecil hanya ada di Tanah Melayu. Kalau kita berpecah-belah, mana ada kekuatan sedangkan kita ketinggalan jauh dalam banyak lapangan.

Dr. Mahathir mempersoalkan dasar pelaburan China yang besar di Malaysia kerana dikatakan boleh menyebabkan negara dijajah sekali lagi. Pendapat Tengku?

TENGKU RAZALEIGH: Saya bukan menyokong dasar ini tetapi saya tak fikir negara China hendak ambil negara ini. Saya masih ingat, pernah pergi ke negara China pada tahun 1973. Ketika itu saya pernah berunding dengan Perdana Menteri China, Chou Eng Lai supaya menghentikan keganasan komunis di Tanah Melayu.

Beliau (Chou Eng Lai) kata itu bukan komunis China, itu komunis Marxis Rusia. Itu tak ada kena mengena dengan China. Saya tuduh Chin Peng ada melawat China. Dia kata Chin Peng ada datang sebagai pelawat bukan atas urusan politik. Dia kata kita boleh berbaik-baik. Dahulu kita ada hubungan perdagangan dengan China, dan Laksamana Cheng Ho pernah jalin hubungan budaya dengan Melaka.

Adakah Tengku rasa Dr. Mahathir hanya diperkuda oleh DAP?

TENGKU RAZALEIGH: Mungkin begitu, saya tak tahu. Kerana ada ungkapan dalam bahasa Inggeris: The end justifies the means. Maksudnya, apa juga yang boleh diguna untuk menghasilkan tujuan utama dia (Dr. Mahathir) atau cita-cita dia, okeylah bagi dia. Nampaknya begitu.

Sejauh mana Dr. Mahathir dikatakan mampu menghasilkan tsunami Melayu dalam PRU-14?

TENGKU RAZALEIGH: Saya rasa tidak ada. Kawasan saya di Gua Musang ada tujuh atau lapan buah rancangan Felda. Tak ada perasaan itu (tsunami Melayu). Golongan yang kuat menyokong Dr. Mahathir dan team dia ialah orang muda di bandar-bandar. Di mana-mana tak kira, di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Lembah Kinta, Johor Bahru atau Pulau Pinang.

Golongan muda inilah yang menghadapi situasi baharu dengan akal fikiran yang diasuh sebegitu rupa. Tetapi, mereka tidak merasai pimpinan Dr. Mahathir selama 22 tahun. Golongan muda ini, orang baharu kerana mereka tak tahu apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir di zamannya selama 22 tahun. Kerana era itu sudah lepas.

Generasi sekarang adakah tahu apa itu kronisme, Dasar Penswastaan Negara, Persyarikatan Malaysia dan sebagainya? Kos-kos yang naik sekarang ini adalah kesan daripada dasar penswastaan.

Sejauh mana perbezaan dasar Dr. Mahathir dan Najib sekarang dari segi ekonomi dan sosial?

TENGKU RAZALEIGH: Saya rasa tak banyak perbezaan. Itu sebab, Saya sebutlah nama sahabat lama Tun Musa Hitam, katanya: Najib is a good student of Dr. Mahathir! (ketawa). Sebab apa yang diasaskan oleh Dr. Mahathir itulah yang menjadi asas perkembangan ekonomi, sosial sekarang di zaman Najib. Itu sebab ditafsirkan sedemikian rupa.

Sejauh mana kesan media sosial sekarang dalam berkempen. Fitnah dan pembohongan semakin melata termasuk Dr. Mahathir sendiri?

TENGKU RAZALEIGH: Saya rasa betul juga. Ada juga dari segi propaganda, itu tak boleh dinafikan, kesan itu memang ada. Tetapi saya sendiri, barangkali berbeza dengan orang lain. Banyak perkara karut dalam media sosial ini. Banyak cerita dongeng yang dibuat-buat, ditambah-tambah, banyak photoshopped, jadi mana satu yang benar?

Kita hendak yang benar. Kalau ada media yang beri kita pelajaran dan ilmu, alangkah baiknya. Tetapi tidak begitu. Jadi media sosial ini diguna semata-mata untuk propaganda. Jadi tak boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Lebih merosak daripada memperbaiki.

Boleh Tengku ulas mengenai video kempen Dr. Mahathir yang tular di media sosial sekarang?

TENGKU RAZALEIGH: Ya. Dia menangis. Saya tengok! (Ketawa). Tak taulah saya, dia selalu menangis.

Bagaimana pula pandangan Tengku terhadap Pas dalam pilihan raya kali ini?

TENGKU RAZALEIGH: Kalau ditengok kepada reaksi ahli-ahli Pas terutama sekali di Kelantan, kerana di situlah letaknya benteng kekuatan Pas. Kekuatan Pas sekarang kurang kerana dituduh sesetengah pihak dalam Pas yang saya dapat tahu... bersubahat dengan UMNO yang ditolak Pas dari segi perjuangan, dari segi prinsip dan sebagainya.

Jadi nampak orang bawah Pas tidak boleh terima apa yang dilakukan kepimpinan Pas sekarang. Ini tanggapan mereka dalam Pas.Oleh sebab itu ceramah-ceramah sekarang ini tidak ramai, jadi boleh dikatakan ceramah anjuran Pas gagal sama sekali. Di Kelantan, saya dibisikkan, 15 orang atau 20 orang yang hadir.

Dulu, kalau Pas mengadakan ceramah, sekurang-kurangnya 15,000 hingga 20,000 orang datang beri sokongan. Semasa dalam Semangat 46, ceramah saya bersama dengan arwah Ustaz Fadzil Noor dihadiri 50,000 hingga 60,000 orang yang datang dengar. Situasi ini, begitu berbeza sekarang.

Apa pandangan Tengku tentang politik memfitnah, menyebar pembohongan, mencaci dan tuduh-menuduh yang berleluasa sekarang?

TENGKU RAZALEIGH: Saya dukacita, politik dan alam demokrasi yang mengizinkan berpolitik sekarang ini telah diguna untuk mencaci, maki. Jadi budaya Islam, budaya Melayu rosak diguna buat tuduhan melulu dan sebagainya. Kecuali, kalaulah ada bukti, ada asas untuk membuat tuduhan, saya terima.

Tetapi janganlah bangun-bangun terus kata dia ni jahat, dia ni hippi. Saya rasa itu bukannya budaya kita. Rosak. Dari kaca mata orang yang memerhatikan kita, orang Melayu nampak tidak manis.

Tengku pernah memimpin Parti Semangat 46 dulu, boleh ceritakan sedikit bagaimana layanan Dr. Mahathir terhadap Tengku ketika itu?

TENGKU RAZALEIGH: Oh, teruk zaman saya dengan Semangat 46 dahulu. Kita hendak adakan mesyuarat agung dan hendak sewa dewan, tapi hotel diberi amaran supaya jangan sewakan kepada kami. Ini hotel yang kita sudah bayar deposit tetapi pihak hotel panggil suruh ambil balik deposit.

Tak tahulah apa hendak dikata. Itu pengalaman kita. Semenjak zaman Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) terbuka sedikit. Ada kelonggaran. Akhbar-akhbar pun ada ruang dapatkan berita daripada orang bukan kerajaan. Adalah ruang.

Tapi dahulu tidak ada. Saya diharamkan pergi ke pejabat UMNO. Dulu ada gambar saya dengan Tun Razak. Saya rapat dengan beliau dan selalu ada di sebelah Tun Razak. Bila pergi ke Memorial Tun Razak, gambar Tun Razak duduk di tepi, kerana dipotong gambar saya. Mereka tak nak gambar saya, jadi gambar Tun Razak ke tepi (ketawa).

Di pejabat UMNO tak ada langsung (gambar). Cuma ada gambar saya yang dilukis atas dinding. Adalah gambar saya. Kalau hendak padam terus, gambar dia (Dr. Mahathir) pun hilang (ketawa).

Nasihat Tengku kepada mereka yang kecewa dalam arena politik?

TENGKU RAZALEIGH: Kalau orang yang tak ada iman, mereka cepat kecewa. Orang yang ada iman, sanggup bersabar, insaf dan takkan melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Kita sudah terima peraturan. Pemilihan calon misalnya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti. Kita sudah setuju.

Tiba-tiba apabila diputus ambil calon lain, bukan kita, kita rasa marah. Kita rasa diri kita lebih baik dan hebat daripada orang lain. Kita perlu terima hakikat bahawa ini adalah dengan restu Tuhan. Kalau tidak, mungkin tidak terdorong ambil orang itu. Kalau dia sudah naik ke atas, itu adalah kerana dengan restu Tuhan. Terimalah hakikat itu.

Saya nasihat jangan terima bulat-bulat cakap orang politik. Baca dan terus membaca. Dia orang (golongan muda) sudah terpelajar. Namun masih perlu membaca dan terus membaca. Jangan cepat buat keputusan. Nanti kita sesal kemudian.