Golongan ini adalah di bawah pengawasan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), yang di bawahnya terdapat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang sentiasa peka terhadap pembangunan masyarakat orang asli di Malaysia. Secara geografinya orang asli Malaysia boleh diklafikasikan kepada tiga bangsa atau kaum utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto.

Baru-baru ini penulis berkesempatan menyantuni golongan anak-anak orang asli di Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan Petaling Jaya Selangor. Pelbagai perasaan terhidang selepas sahaja program tersebut selesai.

Penulis banyak mengelamun dan merenung jauh dalam kenderaan sepanjang jalan pulang. Mungkin kerana hiba memikirkan akan nasib mereka dan mungkin juga terkedu melihat cara pemikiran mereka.

Kata-kata yang kerap dimomokkan ke telinga sepanjang program motivasi dan kepimpinan anjuran IPDM, UUM ialah; “Setinggi mana pun orang asli belajar akhirnya ke hutan juga mereka kembali.” Pada pandangan penulis, kata-kata itu, sedikit-sebanyak memakan diri mereka sendiri.

Sifat menyerah diri, semata-mata terhadap nasib dan takdir seolah-olah telah sebati dalam jiwa sebahagian daripada mereka.

Ramai tidak menyedari hakikat sebaliknya.

Tidak dinafikan bukan semua daripada mereka berfikiran sempit sebegitu. Kalau dilihat pada perangkaan yang ada, dari tahun 2010 sehingga 2016, terdapat seramai 72 pelajar orang asli yang belajar di luar negara, manakala 767 pelajar orang asli kini menuntut di peringkat IPT awam mahupun swasta. Dan terdapat tidak kurang daripada 17 orang daripada mereka telah berjaya bergelar pensyarah dan ada juga antaranya yang telah menjadi profesor.

Yang menjadi persoalannya ialah nisbah mereka yang berjaya ini tidak seimbang dengan kegagalan yang ada.

Memikirkan akan hak mereka sebagai penduduk asal negara ini pelbagai kemudahan telah diwujudkan khusus untuk mereka. Untuk rekod, bagi mereka yang menyambung pelajaran ke peringkat tinggi, kerajaan memberikan bantuan sebanyak RM3,800 untuk satu semester bagi setiap pelajar orang asli yang mengikuti program diploma dan RM4,600 satu semester untuk pelajar orang asli yang melanjutkan pengajian dalam program ijazah.

Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin akan sentiasa memastikan bahawa masyarakat orang asli tidak ketinggalan dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan, malah akan melibatkan golongan mereka dalam arus pembangunan perdana.

Justeru, saranan penulis apa sahaja pembangunan yang kerajaan lakukan mestilah bersifat inklusif dalam erti kata semua orang asli juga mesti terangkum dalam program-program yang ingin dilaksanakan.

Sepanjang penulis bersama golongan ini, ada di antara mereka menyedari akan kekurangan yang membelenggu kehidupan masyarakat mereka namun itu tidak bermakna mereka tidak mahukan perubahan.

Malahan sikap inginkan kemajuan menjadi salah satu motivasi untuk mencapai kejayaan dan meneruskan hidup pada hari mendatang untuk menjadi lebih baik.

Penulis juga merasakan Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) yang kini hanya berada di Rompin perlu dibuka di setiap kawasan penempatan orang asli untuk memastikan segala keperluan dan bantuan pendidikan pelajar cemerlang orang asli dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

Kerajaan juga tidak harus memfokus ke arah pendidikan semata-mata, malah bidang seperti kemahiran dan keusahawanan boleh diserapkan kepada mereka yang tercicir. Jangan abaikan mereka, bimbing mereka agar mereka dapat membantu bangsa mereka sendiri.

Pencarian bakat-bakat sukan juga harus meliputi golongan ini, kerana saya lihat ramai di antara mereka yang berbakat tetapi tiada pendedahan yang akhirnya membunuh kelebihan yang ada.

Mari kita sama-sama memperjuangkan konsep sebenar satu Malaysia, tiada siapa yang dipinggirkan, tiada batas agama atau halangan budaya, setiap warga punya hak dan siapa sahaja boleh berjaya di bumi bertuah ini.

Asli atau asal bukan penghalang, yang menjadi penghalang ialah minda yang sempit serta semangat yang longlai. Ayuh bangkit, kita bina negara ini bersama-sama, negara ini milik kita, rakyat Malaysia.

PENULIS ialah Pengarah IPDM, UUM.