Antara yang banyak dilihat ia­lah bongkah dan kepingan kayu yang dipercayai jatuh atau tercicir daripada kenderaan berat, serpihan besi, kepingan zink, sisa-sisa aksesori kereta, kotak ikan polisterin, kanvas penutup lori, bangkai binatang dan serpihan tayar celup.

Dalam banyak-banyak sampah, serpihan tayar celup yang ber­taburan di atas lebuh raya PLUS adalah pemandangan paling bia­sa dapat dilihat. Ada serpihan yang besar dan ada yang kecil. Terdapat juga tayar-tayar lori dan kenderaan berat yang sudah rosak, dibiarkan bergelimpangan di tepi jalan atau sekadar disandarkan kepada pembahagi jalan di bahagian tengah.

Ada kalanya berbulan-bulan di situ, tidak diendahkan kerana ‘tidak disedari’ oleh pihak yang menguruskan lebuh raya itu sendiri. Sampah sarap itu akan ‘hi­lang atau berlalu’ secara semu­la jadi sama ada ditiup angin, dibawa arus hujan atau ‘disapu’ ke tepi oleh tayar-tayar kende­ra­an berat lain.

Isu ini menarik perhatian penulis sehingga mendorong penulis ‘menjejaki’ laluan yang disebut dalam surat pembaca itu. Semua jenis ‘sampah’ yang disenaraikan itu, penulis dapat lihat sepanjang seminggu memandu menggunakan laluan yang sama. Yang menariknya, sebahagiannya masih ada dan tidak beralih tempat.

Lima hari lalu sewaktu memandu bersama beberapa rakan menuju ke sebuah negeri di utara menggunakan lebuh raya yang sama, penulis sekali lagi me­ngambil peluang membuat ‘tinjauan’ dan ‘pemerhatian’ sen­diri berhubung isu yang sama. Penulis memulakan perjalanan dari Tol Jalan Duta dan berakhir di Tol Juru. Keadaan cuaca baik kecuali hujan sekejap-sekejap ketika memasuki jajaran Slim River.

Sepanjang dalam perjalanan itu, penulis ada membuat sedikit catatan jenis-jenis objek yang dilihat serta lokasi berdasarkan label catatan ki­lometer di lebuh raya itu. Seperti dijangka ‘sampah’ yang pa­ling banyak masih lagi sisa dan serpihan tayar celup. Pemanda­ngan ini boleh dikatakan dapat dilihat di hampir kebanyakan lokasi.

Selain itu di sektor-sektor tertentu, ada juga bahagian jalan rosak dan tidak rata di bahagian tepi serta lubang-lubang kecil di lorong tengah. Sekadar menye­but beberapa lokasi sahaja, antaranya di Kilometer (KM) 358 hi­ngga 359, jajaran dari KM367.7 hi­ngga 369.4, KM372.2, KM374.7 hi­ngga KM375, KM387.4 hingga KM388 dan KM 393.4. Keadaan ini mungkin disebabkan kualiti tampalan atau turapan tidak sempurna manakala kewujudan lubang-lubang kecil pula mungkin tidak ‘disedari’ pihak pengurusan lebuh raya tersebut. (Ketika rencana ini ditulis barangkali sebahagiannya sudah dibersihkan atau jalan-jalan yang rosak sudah diperbaiki.)

Walaupun hanya sisa tayar celup dan lubang kecil, keadaan ini tetap berbahaya dan mengganggu pemanduan para pengguna lebuh raya itu terutama pengguna kenderaan kecil dan motosikal. Mereka terpaksa mengelak serpihan tayar dan lubang dalam keadaan lebuh raya yang sesak dan hampir semua kenderaan dipandu laju. Walaupun kelihatan kecil tetapi tidak mustahil boleh menjadi punca kemalangan besar.

Pihak pengurusan le­buh raya terlibat tidak bo­leh meman­dang mu­dah kewujudan ‘sam­pah sa­rap’ di dalam kawasan lebuh raya. Walaupun objek-objek ini ha­­nya berada di tepi atau di te­ngah pembahagi jalan, keadaan itu te­tap membahayakan pengguna. Objek-objek ini bila-bila masa sahaja boleh berpindah tempat dan menjadi punca nahas. Ja­nganlah sekadar mengharapkan panggilan daripada pengguna sahaja baru mahu bertindak. Rutin rondaan berkala mesti diperhebatkan. Juga janganlah langkah penjimatan kos menjadi alasan kerana lebuh raya ini mengutip jutaan ringgit setiap hari wang pengguna jalan raya.

Para pengguna menggunakan lebuh raya berbayar kerana mahu memandu dalam keadaan selesa dan selamat. Bagaimanapun, jika pemanduan mereka sudah menjadi tidak ubah seperti dalam permainan video yang sentiasa cemas kerana mengelak di sini dan mengelak di sana, makan timbul satu pertanyaan, selamatkah lagi lebuh raya ini?