Inilah yang dialami oleh kedua-dua sahabat penulis yang menjalani kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU). Kedua-duanya bukanlah OKU sejak kecil. Menjadi OKU ketika sudah dewasa.

Sahabat pertama menjadi OKU kerana kemalangan jalan raya sehingga tidak mampu berjalan seperti orang normal. Sahabat kedua pula, penulis difahamkan menjadi OKU kerana diserang penyakit yang dikenali sebagai sindrom Stevens-Johnson. Sejenis penyakit yang jarang berlaku tetapi kesannya cukup kuat sehingga boleh menyebabkan mangsa tidak nampak. Meskipun kedua-dua sahabat penulis kini OKU, namun mereka cukup sabar dan tabah menghadapi dugaan.

Bukan calang-calang orang yang boleh menghadapi kehidupan dengan tenang selepas bergelar OKU. Kedua-duanya telah dan sedang dibantu oleh rakan-rakan lama yang cukup prihatin dengan kehidupan mereka. Dibantu untuk menghadapi kehidupan seharian.

Sahabat pertama kini bekerja dalam perniagaan insu­rans. Cukup ligat perniagaannya. Tidak langsung nampak kekurangan yang dihadapinya. Sahabat kedua pula memiliki kemahiran mengurut. Kemahiran yang dipelajari setelah di­serang penyakit yang jarang-jarang berlaku pada manusia biasa. Mereka berusaha untuk berdikari seperti orang lain. Begitulah kegigihan mereka. Penulis sendiri berasa amat kagum dengan kekuatan yang dimiliki oleh mereka.

Dalam masyarakat kita, ramai yang kurang bernasib baik. Mereka ini sebenarnya ingin berdikari dengan kekuatan sendiri. Setiap orang memiliki kekuatan tersendiri. Ini termasuklah mereka yang terdiri daripada OKU. Ramai antara mereka memiliki keupayaan misalnya menjadi usahawan. Cuma apa yang penting di sini mereka juga perlu dibantu sebagaimana usahawan golongan normal yang ingin memulakan perniagaan.

Sebab itulah satu perkara yang baik apabila kerajaan telah me­nyatakan bahawa nasib usahawan OKU akan sentiasa dibela. Dibe­la ini bermaksud membantu mereka untuk memenuhi keperluan sebagai usahawan. Mereka juga ingin menjadi usahawan terbilang dan berwibawa. Bukan setakat untuk diri sendiri, bahkan memberi manfaat kepada keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Sudah tentulah aspek paling penting melibatkan dana yang mencukupi untuk memulakan perniagaan. Dana ini digunakan sebagai modal permulaan selain daripada untuk membeli barangan keperluan perniagaan termasuklah untuk mendapatkan premis perniagaan.

Selain itu, mereka juga perlu diberikan latihan dalam perniagaan. Dibantu mengenai selok belok perniagaan yang ingin diceburi sebelum dan semasa menjalani perniagaan. Khidmat nasihat dan rundingan perlu diberikan kepada mereka agar sasaran perniagaan dapat dicapai. Terutamanya dalam aspek kewangan dan pemasaran serta kualiti produk yang ingin dijual agar satu hari nanti mereka berupaya menjadi usahawan yang berjaya. Tidak hanya dibantu ketika awal perniagaan tetapi juga dibantu sehingga mereka benar-benar mampu untuk menjalani perniagaan yang kukuh dan mampan. Dengan kata lain, mereka ini perlu benar-benar mahir dalam bidang perniagaan sehingga satu hari kelak boleh membantu orang lain dan menyumbang kembali untuk negara dan masyarakat secara keseluruhannya. Justeru, keusahawanan buat OKU perlu dirancakkan lagi kerana ini boleh melonjakkan potensi ekonomi negara, amnya dan ekonomi golongan OKU, khususnya pada tahap yang lebih baik.

PROF. MADYA ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).