Itu tekad presidennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling dan Pengerusi Tabung Haji. KP1M antara produk UMNO paling berjaya yang menggerakkan misi kemanusiaan di dalam dan luar negara tanpa mengira agama, bangsa dan sempadan warna politik.

Diberi gelaran yang pelbagai antaranya 'Azeez Putera’, 'Azeez Rempit’, 'Azeez Basikal’ dan 'Azeez Lombok’, beliau menyatakan kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan ZULQURNAIN OTHMAN, beliau tidak kisah pandangan orang kerana memang minat dengan kerja-kerja kebajikan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selalu menasihati saya jangan amalkan budaya pilih kasih dalam melakukan kebajikan dan saya pegang teguh amanah itu,” katanya dalam temubual di kediamannya di Petaling Jaya barubaru ini.
 

Mingguan: Apa yang telah membawa kepada kemunculan KP1M hari ini?

ABDUL AZEEZ: KP1M ditubuhkan pada 2005 dengan restu Majlis Tertinggi UMNO. Ia bermatlamat mendekati ahli-ahli Pemuda berumur 18 hingga 30 tahun di peringkat akar umbi. Semuanya bermula apabila saya menerima panggilan telefon daripada Datuk Akhbar Khan dan Datuk Rahman Dahlan menyampaikan hasrat Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mengetuai Briged Putera. Briged Putera adalah biro yang bertindak sebagai kilang kecil bagi membentuk anak-anak muda sebelum matang menjadi role model.

Saya buat perubahan sedikit dengan menukarkan nama Briged Putera kepada Biro Putera UMNO. Ketika itu bermula mandat saya mengetuai Biro Putera UMNO dengan perasmian di Melaka oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri ketika itu). Pada hari tersebut saya berjaya kumpulkan 40,000 pemuda yang mengegarkan Dewan Hang Tuah.

Setiap misi yang dilakukan KP1M bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi sebagai iktibar kepada golongan muda. Nilai-nilai kesukarelaan perlu menjadi mekanisme dalam mendidik golongan muda untuk merasai denyut nadi orang susah. Saya tak perlukan duit mereka tetapi saya perlukan tenaga mereka.

Saya datang dari keluarga miskin jadi pengalaman banyak mengajar saya. KP1M melambangkan inklusif atau keterangkuman sebagai kilang kecil melatih generasi muda berjuang tanpa prejudis perkauman, agama dan fahaman politik.

Apa yang dimaksudkan misi kesukarelaan KP1M melangkaui sempadan politik?

ABDUL AZEEZ: KP1M mendidik golongan pemuda untuk menjiwai, mendekati dan membantu anak muda. Seperti banjir besar yang berlaku di Kelantan. Tanpa mengira fahaman politik, KP1M pergi ke sana dengan misi bantuan mengurangkan beban penduduk yang terjejas.

Ketika itu paras air sangat tinggi sehingga saya perlu berpaut pada lampu jalan. Begitu juga kejadian tanah runtuh di Hulu Langat pada 2011. Ketika itu kebetulan saya dalam perjalanan pulang dari riadah bersama keluarga dan mendapati ada kejadian tanah runtuh melibatkan asrama anak-anak yatim. Saya tinggalkan isteri dan anak-anak dalam kereta dan memasuki kawasan tersebut. Saya minta mereka duduk dalam kereta dan mahu lihat apa yang berlaku.

Waktu itu pukul 4 petang dan saya hanya keluar dari situ pada pukul 1 pagi. Dalam kejadian itu, saya sendiri mengetuai urusan membawa keluar 16 jenazah sehinggalah selesai bedah siasat di hospital. Kalau diikutkan fahaman politik yang ketika itu kerajaan negeri Selangor di bawah PKR, buat apa saya tolong, tetapi UMNO lebih jauh melebihi sempadan warna politik.

Apa yang saya lakukan itulah lambang KP1M. Kita akan terus membantu di samping mendidik generasi muda kepentingan tolong menolong dalam budaya seharian. KP1M tidak hanya menunggu berlaku bencana tetapi KP1M turut menghulurkan bantuan berbentuk basikal kepada pelajar cemerlang dan majlis khatan perdana.

Mengapa Datuk Seri cenderung melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan ini?

ABDUL AZEEZ: Sejak kecil saya memang suka tolong orang. Barangkali sikap suka menolong orang ini didorong daripada pengalaman hidup miskin saya pada zaman kanak-kanak. Semasa kecil saya tinggal di rumah setinggan di Kampung Medan yang kerap banjir.

Kehidupan susah itu menjadikan saya supaya sentiasa beringat dan bersyukur. Titik penting yang membentuk iltizam saya ialah ketika menerima hadiah sebuah basikal chopper pada hari pertama persekolahan darjah enam kerana berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima.

Ketika menerima hadiah basikal itu saya berdoa kepada Tuhan supaya memberikan saya kejayaan dalam hidup supaya satu hari nanti saya pula dapat menghadiahkan basikal kepada generasi akan datang.

Sejauh mana pencapaian KP1M dalam misi bantuan peringkat tempatan dan antarabangsa?

ABDUL AZEEZ: Sehingga kini, KP1M telah menganjurkan lebih 60 misi di dalam dan luar negara. Jumlah misi ini termasuk ke 40 buah negara. Semua misi bantuan kemanusiaan ini termasuklah cabaran yang ditempuh dan detik-detik getirnya kekal utuh dalam ingatan saya, antaranya:


Kelantan

Perdana Menteri sentiasa berpesan kepada saya supaya berikan bantuan kepada semua, jangan pilih kasih. Beberapa tahun lalu, Kelantan dan Terengganu dilanda banjir besar.

Ketika itu KP1M membawa lebih 100 treler yang digunakan untuk membawa bekalan makanan asas. Kerana air naik ke paras bahaya, ada pemandu treler lari meninggalkan kenderaan kerana tenggelam dalam banjir.


Jepun

Ketika itu Jepun dilanda tsunami yang turut melibatkan reaktor nuklearnya. KP1M turut berada di sana menghulurkan bantuan. Di sebuah tempat bernama Ishinomaki, semua makanan terpaksa dibuang kerana terkena radiasi. Jadi, kami bagi roti kepada mangsa-mangsa.

Dalam barisan orang beratur, setiap orang akan diberi sebungkus roti. Pada suatu ketika, setelah mendapat roti, tiga orang keluar dari barisan. Saya nyatakan bahawa setiap orang akan dapat satu tetapi mereka kata tidak mengapa, mereka boleh berkongsi kerana ramai lagi orang menanti makanan tersebut. Pengalaman sharing is caring ini perlu diterapkan semasa bencana.


Mesir

Dalam operasi menyelamatkan pelajar Malaysia di Mesir yang dikenali sebagai Ops Piramid 1, KP1M berjaya membawa keluar 7,241 pelajar dengan kerjasama Wisma Putra dan Majlis Keselamatan Negara. Namun keadaan di sana sangat sukar kerana negara sudah hancur tiada kerajaan. Terdapat tiga sekatan jalan semasa konflik dalaman negara itu.

Pertama oleh pihak tentera, kedua, pihak polis dan yang ketiga sekatan oleh rakyat Mesir. Terdapat peserta misi bantuan kami yang cedera akibat dihentak dengan AK-47, ada yang ditahan dan didenda, pasport kami diludah kerana ada cop Gaza dan makanan kami dirampas. Tetapi kami berjaya bawa balik kesemua pelajar Malaysia di sana.

Perdana Menteri berpesan kepada saya “jangan satu bulu roma pun pelajar Malaysia diusik”. Atas keakraban persahabatan Perdana Menteri dengan Raja Abdullah, semua pelajar dipindahkan ke bangunan Tabung Haji di Jeddah. Perdana Menteri sentiasa menghubungi saya untuk mendapatkan perkembangan terkini. Inilah peluang saya untuk bercakap dengan beliau enam kali sehari.

Di Mesir, 85 peratus pelajar kita dikatakan tidak menyokong kerajaan namun kami tetap memberikan pertolongan. Malah kami diherdik pula kerana dikatakan lambat memberikan pas pelepasan. Tetapi kami tetap bersabar. Apabila pelajar ini tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, Perdana Menteri yang menyambut kepulangan mereka. Kalau di negara lain, hanya menteri yang berbuat demikian.


Somalia

Dalam misi inilah sahabat saya, jurukamera Bernama, Noramfaizul Mohd meninggal dunia. Sepatutnya jurukamera lain yang ditugas mengikuti misi tersebut namun Noramfaizul tetap berkeras hendak pergi. Kami ke Somalia menaiki pesawat Charlie. Dalam pesawat itu, arwah berseloroh pada saya, wah! penuh sesak barang bantuan misi ini, selesai misi saya akan tidur baring dalam pesawat ini.

Ditakdirkan selepas misi tamat, betul-betul dia ‘baring’ dalam perjalanan pulang ke tanah air. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak media yang memainkan peranan penting dalam membantu misi-misi bantuan KP1M.

Apakah harapan KP1M kepada generasi muda?

ABDUL AZEEZ: KP1M akan terus melakarkan gerak kerja dalam mewujudkan generasi yang suka membantu. Sebenarnya KP1M suka lahirkan banyak sukarelawan. Kita nak semangat kesukarelaan ini dirasai anak muda. Yang saya belajar dari hasil pengalaman misi KP1M antaranya, kalau berlaku bencana di Malaysia, semua universiti perlu ditutup. Kalau ada peperiksaan penting, tidak mengapalah.

Namun, kita perlu gerakkan pelajar-pelajar universiti bantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela. Saya nak gerakkan NGO-NGO universiti. KP1M sudah masuk ke universiti tanpa mengira fahaman politik. Saya wujudkan satu pasukan untuk pergi ke universiti. Bukan sekadar universiti, kolej-kolej komuniti dan IPTS. Kita nak bawa mereka bergerak.