Tetapi seeloknya pemahaman asas mengenai ungkapan lazim ekonomi mampu dihayati supaya masyarakat tidak terkeliru atau terpedaya ketika menghadapi situasi ekonomi tertentu.

Umpamanya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sering diungkapkan oleh pakar ekonomi untuk menggambarkan secara mudah senario ekonomi sesebuah negara adalah salah satu terma yang patut difahami.

Ini kerana sering timbul persepsi walaupun pertumbuhan KDNK dianggap baik tetapi ia tidak memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat umum di bawah.

Begitu juga dengan laporan terkini yang memberi tafsiran Malaysia mengalami situasi deflasi pada Januari lalu dan kali terakhir fenomena seperti ini melanda negara ialah pada November 2009.

Situasi deflasi ini dihitung daripada Indeks Harga Pengguna (CPI) yang memberi tafsiran harga barangan pada Januari 2019 turun sebanyak 0.7 peratus berbanding setahun sebelum itu.

Dari sudut pandangan masyarakat umum, situasi deflasi adalah baik untuk pengguna kerana harga barangan lebih rendah tetapi dari sudut pembuat dasar, situasi sebegini dalam jangka masa panjang akan merosakkan ekonomi negara.

Dalam hal ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi jaminan ia hanyalah bersifat sementara dan negara tidak akan melalui situasi kemelesetan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Bila dihujahkan, masyarakat umum perlu juga memahami secara asas beberapa terma ekonomi seperti KDNK atau deflasi.

Hujah tahap asas sebegini tidak terpakai kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam menggubal dasar ekonomi kerana setiap keputusan atau kenyataan dibuat akan memberi implikasi kepada negara.

Sebab itu dihujahkan juga bukan hanya Menteri Kewangan atau Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang perlu memahami secara mendalam mengenai hal ehwal ekonomi negara.

Malah seluruh Menteri Kabinet juga perlu mempunyai tahap pengetahuan ekonomi yang serupa.

Jika hendak dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan berlangsung Sabtu ini, keempat-empat calon yang berhasrat mewakili penduduk Semenyih di DUN Selangor juga perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai ekonomi kerana kemahiran sebegini penting untuk kemakmuran negeri.

Sebab itu amat membimbangkan apabila terdapat tuduhan atau persepsi pemimpin politik sesebuah kerajaan tidak memahami pengetahuan asas mengenai ekonomi global lebih-lebih lagi jika tuduhan sedemikian berpunca daripada individu yang pakar ekonomi.

Lebih merisaukan lagi apabila tuduhan tersebut membabitkan presiden kuasa besar dunia Amerika Syarikat (AS)! Beberapa hari lalu, pengerusi Bank Pusat AS (Federal Reserved), Janet Yellen mendakwa Presiden Donald Trump tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai dasar ekonomi AS.

Tidak menghairankan jika Trump tidak mempunyai pengalaman luas dalam diplomasi global dan kelihatan sering melaksanakan dasar luar mengejutkan seperti pertemuan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Tetapi agak berbahaya tuduhan dilempar terhadap Trump membabit isu ekonomi kerana asasnya banyak hal berkaitan dasar ekonomi berpunca dari White House.

Yellen juga mendakwa pemahaman terpesong Trump terhadap isu defisit dagang antara AS dan China antara penyebab utama perang dagang dua kuasa besar ini, adalah contoh nyata bagaimana pengetahuan cetek ekonomi memudaratkan bukan sahaja sebuah negara tetapi juga global.

Begitu juga dengan Trump yang sering mengkritik dasar fiskal digubal Pengerusi Bank Pusat ketika ini iaitu Jerome Powell, pada pendapat Yellen tidak memberi keyakinan rakyat dan pelabur di AS.

Secara anologinya jika perselisihan faham dasar ekonomi antara dua menteri Malaysia diluahkan secara umum, situasi ini tidak membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Sebab itu kritikal bermula daripada rakyat umum serta pemimpin tidak kira dari peringkat rendah hinggalah tertinggi iaitu menteri Kabinet dan tidak kira apa jua portfolio yang dipertanggungjawabkan, perlu memahami selok belok ekonomi.

Ini demi mengelak dasar yang digubal tidak menongkah arus kehendak pertumbuhan ekonomi asas.