Soalan ini sukar dijawab dengan sempurna. Tiada perincian yang muktamad - khususnya apa yang berjalan dalam pemikiran PM tidak diketahui orang.

Tapi sedikit yang boleh dikongsi Tumpang lalu kepada yang bertanya: PM biasanya pandang pada kemampuan seseorang. Kebolehan berfikir dan bekerja secara produktif, dedikasi dan berkesan.

Kadangkala seseorang itu diambil menjadi anggota Kabinet atas kedudukannya dalam parti politik. Sesetengahnya dapat jadi Menteri tanpa melalui asuhan dari bawah. Dia dilantik terus jadi Menteri.

Tapi, berbanding menteri-menteri terdahulu, tidak ramai yang hari ini berjaya menempuhnya. Faham-faham sendirilah siapa.

Ini berbeza dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Daim Zainuddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayob. Waima yang agak tersohor dan hampir jadi PM, arwah Tun Ghazali Shafie, bekas Menteri Dalam Negeri dan Menteri Luar. Mereka ini waktu muda masuk kerja pentadbiran - ligat, pantas belajar.

Rata-rata menteri dalam Kabinet yang lepas-lepas kena melalui terlebih dahulu sistem apprenticeship atau latihan dari bawah. Mulai dari tahap Setiausaha Parlimen hinggalah ke tahap Menteri.

Cuma Tumpang lalu terfikir satu perkara ini. Kalau seseorang Menteri itu tak beberapa perform dalam enam bulan ini, agaknya apa sebabnya? Lama juga tempoh tu. Bukankah ramai otai dalam Pakatan Harapan yang boleh mereka timba pengetahuan dan pengalaman. Ada Daim, Muhyiddin, Anwar dan Rais.

Kalau pasal bab ekonomi, ada Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Merican dan Dr. Jomo Kwame Sundaram.

Mengapa malas nak belajar daripada mereka? Atau anda barangkali ‘liat’ tak bertempat? Hingga sampai dikritik dan diingatkan supaya letak jawatan pun, masih anggap diri ‘selamat’.

Kalau boleh Tumpang lalu bagi contoh individu untuk diteladani menteri-menteri baharu hari ini, Daim misalnya.

Daim, Tumpang lalu anggap sebagai the reluctant politician atau ahli politik yang tidak begitu ghairah jadi anggota Kabinet. Beliau tidak suka hadiri majlis-majlis rasmi. Tidak suka sampaikan ucapan politik. Juga sering menyisihkan diri dari limelight atau suluhan media. Banyak majlis yang beliau tidak hadiri.

Apabila PM atau TPM keluar negara misalnya, ramailah anggota Kabinet dan pegawai turut hantar beliau di lapangan terbang. Kepada Daim itu semua tidak penting. Namun hubungannya rapat dengan PM, lantaran keupayaannya dalam membimbing ekonomi negara.

Sebenarnya menteri-menteri muda dan masih ‘setahun jagung’ ini harus mengenali cara bekerja Dr. Mahathir.

Tiada perkara yang terlalu kecil bagi Dr. Mahathir. His attention to details is fantastic.

Pernah Rais Yatim berkongsi dengan Tumpang lalu satu kisah ini. Pada suatu pagi dalam bulan Julai 1983, Dr. Mahathir membawa anggota Kabinetnya melihat tandas contoh bagi orang Islam sebelum sesi mesyuarat bermula di pejabat lama JPM di Jalan Dato’ Onn.

Tandasnya biasa saja - jenis duduk yang mempunyai paip pancut untuk bersuci. Tangki air tandas pula dilengkapkan dengan sejenis bekas cembung yang diairi sejenis air yang mengalirkan air terus ke tangki. Ini membolehkan seseorang membasuh tangan dan air terpakai lantas masuk ke tangki tandas yang boleh flush najis ke salurnya.

Pada masa yang lain pula, Dr. Mahathir mengesyorkan supaya skim perumahan mempunyai cukup tangki penampung air hujan yang boleh digunakan oleh saliran air tandas.

Itu hal yang barangkali ‘remeh’, tapi impaknya besar.

Dr. Mahathir lekas bertindak dan cepat buat kerja. Pada 1982 beliau baru setahun jadi PM, waktu rasmi negara diawalkan setengah jam. Ertinya, jika sebelum itu waktu sampai ke pejabat ialah 8 pagi, dari segi sebenar, waktu tersebut disingkatkan setengah jam lebih awal iaitu pada 7.30 pagi.

Tetapi jam tetap 8 pagi. Singapura juga mengubah waktu jamnya ikut Malaysia. Penyelarasan waktu Sabah-Sarawak dan Semenanjung dilaksanakan. Dr. Mahathir benar-benar telah melakukan apa yang dibidalkan dalam bahasa Inggeris, He has turned back the clock.

Mulai 1981 hingga 1986, pembaharuan demi pembaharuan dibuatnya. Kakitangan awam, termasuk Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan anggota pentadbiran dikehendaki memakai lencana nama masing-masing.

Dr. Mahathir pantas berfikir, pantas bekerja dan pantas menyusul perkara-perkara yang didasarkan untuk dilaksanakan.

Sama seperti era pertama beliau, era kedua selaku PM pun, beliau seperti itu juga - kepadanya sesuatu perkara itu seolah-olah seperti harus dilaksanakan semalam.

Atas sebab itu, Tumpang lalu cukup, cukup, cukup (3x sebut) pelik, kenapalah menteri-menteri baharu, muda belia belaka ini tidak mahu belajar daripada otai-otai mereka dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Enam bulan ini sudah agak lama dah untuk belajar. Tapi ada yang masih tidak cerdik-cerdik.

Jangan sebutlah ‘saya masih selamat’ sebagai Menteri. Bersikap rendah dirilah sikit. Pergilah mengadap otai-otai ini. Mereka ini takkan kedekut ilmu. Masuk balik kelas.