Kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menunjukkan tekanan perasaan bakal menggantikan penyakit kardiovaskular sebagai faktor penentu utama sama ada seseorang itu masih mampu untuk terus bekerja atau tidak.

Pekerja di Malaysia tidak terkecuali daripada masalah ini kerana Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas, atau 29.2 peratus populasi negara, menghidapi pelbagai masalah mental. Ini adalah peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding 2006.

Pengarah Eksekutif Persekutan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan baru-baru ini turut dilaporkan berkata, memang terdapat peningkatan masalah berkaitan tekanan perasaan di tempat kerja.

Peningkatan itu disebabkan tekanan hidup yang semakin mencabar, terutamanya di kawasan bandar-bandar besar. Saya percaya setiap pekerja sewajarnya diberikan tempat kerja yang selamat serta bebas daripada penyakit dan kemalangan sebagai hak asasi manusia.

Tempat kerja yang selamat dan sihat sudah tentu akan mewujudkan persekitaran fizikal dan sosial yang baik. Ia juga berupaya menggalakkan kerjasama di antara pekerja serta meningkatkan potensi organisasi ke tahap maksimum.

Berdasarkan kajian, psikososial adalah satu daripada lima kategori masalah kesihatan di tempat kerja selain fizikal, ki­mia, biologikal dan ergonomik.

Jika masalah psikososial di tempat kerja ditangani de­ngan baik, akan menghasilkan persekitaran kerja yang sihat. Pekerja akan rasa lebih dihargai manakala budaya kerja lebih positif akan dapat diterapkan dalam kalangan mereka. Sebaliknya, jika soal ini diambil ringan akan memberi kesan kepada pekerja selain memperlahankan produktiviti dan kecekapan sesebuah organisasi.

Oleh itu, menangani tekanan kerja dan risiko psikososial sepatutnya dijadikan sebahagian daripada strategi keselamatan dan kesihatan untuk mengurangkan kemalangan dan kecederaan di tempat kerja.

Terdapat banyak faktor penyumbang kepada risiko psikososial di tempat kerja yang boleh menyebabkan tekanan, keletihan melampau dan kemurungan. Antara faktor tersebut adalah kelemahan organisasi; beban kerja melampau; tugasan yang mempunyai konflik; kurang keyakinan terhadap masa hadapan; masalah antara pekerja; penderaan fizikal, psikologi dan seksual; kurangnya sokongan daripada pihak atasan serta kelemah­an komunikasi.

Lebih memburukkan keadaan apabila pihak majikan dan pengurusan turut menafikan hak pekerja untuk mendapatkan keseimbangan di antara pekerjaan dan kehidup­an. Justeru, adalah penting bagi setiap organisasi untuk merangka pelan mengurangkan tekanan dengan menyediakan persekitaran kerja yang sihat.

Majikan juga patut menubuhkan Jawatankuasa Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk membantu menilai tahap kesihatan mental setiap pekerja dan menanganinya dengan berkesan. Mereka boleh memperkenalkan Program Bantuan Pekerja sebagai usaha pencegahan dan intervensi awal kakitangan yang berhadapan dengan tekanan mental dan emosi.

Pengurusan risiko juga perlu dilaksanakan di bawah pelan tindakan komprehensif tersebut. Ini dapat membantu JKKP mengenal pasti pekerja yang menghadapi tekanan untuk dirujuk kepada pihak yang berkenaan.

Kita perlu sedar bahawa sebarang pelaburan untuk menjaga kesihatan mental dan emosi pekerja pas­tinya akan memberi pulangan yang baik. Antara lain, ia akan meningkatkan produktiviti apabila kes-kes seperti kekerapan mendapatkan sijil sakit, ponteng dan kemurungan dapat dikurangkan.

Pada masa sama, kerajaan juga perlu memperkenalkan garis panduan kesihatan mental di tempat kerja dan menggalakkan penganjuran lebih banyak kempen pendidikan dan kesedaran mengenai isu tersebut.

Sesungguhnya fokus dan pelaburan untuk kesihatan mental dan emosi pekerja pasti memberikan pulangan positif pada masa akan datang kerana mampu mewujudkan tenaga kerja yang sihat mental dan fizikal serta produktif.

Perlu diingatkan, pekerja yang tertekan bukan sahaja akan memperlahankan produktiviti, tetapi juga menyum­bang kepada peningkatan kadar kemalangan dan kece­deraan di tempat kerja.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).