Pada tahun lalu, seramai 443, 883 calon menduduki peperiksaan tersebut. Beberapa fakta menarik tentang SPM 2017 termasuklah peningkatan pencapaian pelajar luar bandar sebanyak 0.14 berbanding 2016, sebanyak 66 peratus calon berjaya menguasai soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) manakala Gred Purata Nasional (GPN) bertambah 4.90 berbanding 5.05 pada tahun sebelumnya.

Tinjauan penulis di salah sebuah sekolah baru-baru ini ketika keputusan diumumkan mendapati rata-rata pelajar yang berjaya dalam peperiksaan tersebut mempunyai ramuan sendiri untuk memperoleh kejayaan. Sama juga seperti yang dilaporkan dalam media-media massa utama, rahsia kejayaan ialah berusaha bersungguh-sungguh, memanjatkan doa dan memberi tumpuan ketika guru mengajar.

Suka duka pelajar ketika menerima keputusan peperiksaan merupakan situasi biasa ketika keputusan diumumkan. Wajah riang, tenang dan muram adalah pemandangan biasa kerana tidak semua bernasib baik dalam perjuangan untuk menentu arah tuju hidup pada masa depan. Ada yang menjerit-jerit kegembiraan, ada yang menangis ke­gembiraan dan ada yang menangis kesedihan.

Bagi yang mencapai kejayaan cemerlang, penulis me­ngucapkan tahniah dan rancanglah pembelajaran seterus­nya berdasarkan keputusan dan cita-cita pada masa depan. Bagi yang gagal atau kurang bernasib baik, tidak bermakna mereka akan menempuh masa depan yang gelap kerana pelbagai peluang boleh diteroka memandangkan pelbagai institusi pendidikan terdapat di negara kita yang memberi jalan untuk memperoleh kejayaan dan pekerjaan kelak.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, keputusan cemerlang bukan hanya diperoleh oleh mereka yang bernasib baik, tetapi pelajar-pelajar kurang upaya, miskin dan daripada kalangan Orang Asli turut mencapai kejayaan. Ini memperlihatkan bahawa kejayaan akan menjadi milik sesiapa sahaja yang berusaha dan mencari jalan untuk memperoleh kejayaan.

Tidak kurang juga, sahsiah yang baik dan pelajar-pelajar yang disenangi ramai di sekolah akan memperoleh kejayaan kerana perkara-perkara tersebut merupakan asas kejayaan. Jika sahsiah tidak baik dan selalu mendatangkan pelbagai masalah di sekolah mahupun di luar sekolah, kejayaan sukar diperoleh.

Kita ambil contoh, jika pelajar itu bermasalah dalam disiplin dan terlibat dengan pelbagai gejala negatif, tidak wujud ke­selesaan untuk menimba ilmu pengetahuan dan ini merupakan satu petanda kejayaan sukar dicapai. Oleh hal demikian, usaha berterusan mesti dilakukan oleh pelbagai pihak terutama ibu bapa untuk memastikan sahsiah anak-anak mereka di sekolah terpelihara ke­rana ini merupakan satu jaminan kejayaan dalam akademik.

Pada tahun lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menasihati pihak sekolah agar tidak mengadakan sambutan secara besar-besaran bagi meraikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang di sekolah. Hal ini adalah untuk menjaga hati pelajar yang kurang bernasib kerana boleh dikatakan pelajar berusaha untuk memperoleh kejayaan tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Di pihak ibu bapa yang anak mereka mencapai kejayaan cemerlang, janganlah pula membanding-bandingkan kejayaan anak dengan anak-anak saudara, rakan dan jiran kerana hal ini mampu menggores perasaan pihak tertentu. Pelajar-pelajar yang berjaya pula janganlah lupa berterima kasih kepada guru-guru yang banyak berkorban, ibu bapa yang memberi restu dan rakan-rakan yang turut membantu serta saudara-mara yang mendoakan.

Sambutlah kejayaan itu dengan kesyukuran sebagai tanda bahawa kita sudah berusaha tetapi Tuhan yang menentukannya.