Contohnya, kita biasa mendengar ada orang yang berkata, “Jangan menjadi kaya nanti kita lupa diri, sombong dan menjadi jahat.” Biasa juga kita mendengar para isteri berkata, “Saya takut kalau suami saya kaya, nanti dia menjadikan alasan untuk berkahwin lagi, sebab dia berkemampuan. Biarlah hidup sederhana, tidak kaya pun tidak mengapa asalkan hati kita bahagia”.

Benarkah dengan tidak menjadi kaya kita akan bahagia dan rumah tangga tidak porak-peranda? Memanglah wang bukan segala-galanya, tetapi ingatlah bahawa segala-galanya memerlukan wang. Sebenarnya bukan wang yang mengubah kehidupan dan sikap manusia, tetapi wang itu yang membuka ‘topeng’ siapa sebenarnya manusia itu?

Kalau kita seorang manusia yang beriman, wang boleh menjadikan kita lebih bertakwa. Sebab orang yang paradigmanya baik, dengan adanya wang dia akan menjadi lebih baik. Apabila kita ada wang, kita boleh bersedekah, kita boleh menaja orang mengerjakan umrah atau haji, boleh belanja orang makan dan seumpamanya. Malah, dengan wang kita boleh gunakan untuk manfaat diri sendiri dalam mempertingkatkan nikmat beribadah, menyediakan bilik yang berhawa dingin, misalnya. Dengan wang kita boleh mempertingkatkan ibadah kita, mengerjakan umrah, bersedakah dan mewakafkan harta yang semuanya itu untuk menjadi ‘pencen kubur’ kita.

Sesungguhnya wang sebagai ‘alat’ untuk kita mendapat manfaat dan memberikan manfaat kepada orang lain, serta menyambungkan silaturahim. Dengan wang kita boleh bahagia membahagiakan. Apa yang kita telah beri kepada ‘dunia’ dan apa yang ‘dunia’ telah berikan kepada kita – bergantung kepada emosi kita. Emosi orang yang tertekan atau stres hidupnya kerana terpaksa terkejar-kejar mencari wang bagi menafkahi diri dan keluarganya, berkemungkinan besar sukar mengecapi bahagia. Ingatlah, hanya orang yang bahagia sahaja yang berupaya membahagiakan orang lain.

Sebab itulah Saidina Umar al-Khatab pernah berkata, “Ada tiga perkara yang menyebabkan kalau boleh, aku hendak kekal hidup di dunia ini. Iaitu pertama, kerana di dunia aku dapat berjihad ke jalan Allah. Kedua, kerana di dunia aku dapat berqiamullail. Ketiga, kerana di dunia aku dapat menghadiri majlis ilmu.”

Jom audit diri kita adakah kita melakukan ketiga-tiga perkara itu, yang membolehkan kita mengecapi kebahagiaan dan memberikan kebahagiaan kepada orang lain? Hakikatnya kini ada orang yang kuat berjihad tetapi tidak mempunyai waktu untuk berqiamullail dan tidak bersedia menuntut ilmu. Ada orang yang suka belajar mendalami ilmu, tetapi tidak berqiamullail dan tidak berjihad. Ada orang pula suka melakukan qiamullail, tetapi dia enggan belajar mendalami ilmu dan tidak mahu berjihad.

Jihad dalam konteks zaman kini, termasuklah usaha kita membantu orang ke jalan Allah dengan menggunakan wang ringgit kita. Kalau boleh kita hendak didik hati kita agar mahu melakukan ketiga-tiga perkara tersebut, dan membelanjakan wang kita untuk ke arah mendekati Allah. Kita mahukan kekayaan dengan niat untuk lebih bertakwa kepada Allah.

Maka kerana itu kita kena berusaha dan berdoa untuk menjadi kaya. Dalam al-Quran banyak ayat yang boleh dijadikan amalan untuk dilimpahkan rezeki. Antaranya surah Sad ayat 54 yang bermaksud, “Sesungguhnya inilah rezeki daripada Kami kepada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis”.

Jika kita mengamalkan membaca al-Ma`thurat ada doa yang kita akan baca yang bermaksud, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kekafiran dan kefakiran.” Maknanya Allah mahukan kita berdoa untuk mengelakan diri daripada menjadi fakir. Demikian jugalah amalan doa ini yang bererti, “Ya Allah sesungguhnya aku lemah, maka kuatkanlah aku. Sesungguhnya aku hina, maka muliakanlah aku. Sesungguhnya aku miskin, maka kayakanlah aku, wahai Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah”.

Dari segi konsep pemikiran ‘Reset Minda’ pula, kalau kita ingin mendapatkan sesuatu, kita programkan hasrat kita itu dalam minda bawah sedar. Sebab dalam hidup ini setiap hari kita kena menjaga tiga perkara. Pertama, apa yang kita cakap kepada diri kita akan menjadi kenyataan kehidupan kita. Kalau kita kata kita tidak mampu, maka selamanyalah kita tidak akan mampu.

Kedua, tahap tindakan kita bergantung kepada fikiran dan emosi kita. Kalau fikiran kita positif, emosi kita juga akan positif, dan tindakan kita juga positif. Maknanya kita akan bertindak dan berusaha selari dengan niat dan hasrat kita. Maka positifkan fikiran dan emosi kita.

Ketiga, sentiasa fikirkan apakah perkhidmatan yang kita mahu atau sasarkan dalam hidup ini? Contohnya, kalau kita ingin rumah banglo, pada waktu itu kita berasa tidak mampu untuk memilikinya, jangan cakap kita tidak mampu. Tetapi, katakan kepada diri kita bagaimana kita hendak dapatkan rumah banglo itu? Iaitu kita buat perancangan dan berusaha untuk mendapatkannya.

Sebab itu ahli psikologi mengatakan untuk melihat kejayaan seseorang itu, lihat sekelilingnya dan lihat apa yang dia ada. Apa yang dia ada hari ini, itulah kemahuannya yang kuat pada suatu masa dahulu, yang dia berusaha kuat untuk ke arah itu dan menggenggam matlamat untuk mendapatkannya!

Maka dengan menggunakan konsep pemikiran tersebut dan sistem kepercayaan dan nilai yang positif, tidak salah kalau kita menyimpan impian untuk menjadi kaya. Dengan kekayaan itu nanti kita berniat hendak membantu keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling kita. Contohnya bantu kawan-kawan kita berniaga, dengan membeli barang jualannya sebagai tanda kita menyokong perniagaan dan suka melihat kawan kita berjaya dalam perniagaan.

Bersihkan hati kerana semuanya bergantung kepada niat. Kita beli dengan niat untuk menyampaikan hajat orang yang berniaga. Seandainya kita tidak memerlukan barang tersebut, sedekah kepada orang. Maka kita dapat tiga perkara, iaitu sampaikan hajat orang, sedekah kepada orang dan menyambung silaturahim. Setiap nilai yang kita beri kepada orang itulah nilai yang kita akan terima.

Hidup ini mesti ada ‘sasaran’ dan tempoh ‘sasaran’ itu akan tercapai, dengan syarat gigih berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah. Jika gagal mencapai ‘sasaran’ terima sebagai takdir, dan ia bukan kegagalan tetapi kejayaan yang tertangguh. Sebab Allah Yang Maha Mengatahui, menggenggam rahsia-Nya mengapa Dia tidak capaikan hasrat kita pada waktu yang kita harapkan itu. Berbaik sangkalah kepada Allah. Jika kita diizinkan Allah menjadi kaya, jadikan kekayaan itu laluan meningkatkan ketakwaan kepada-Nya dan jambatan menghubungkan silaturahim sesama insan tanpa mengira darjat. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.