‘Suatu cara hidup’ menyatakan faktor Pencipta atau ketuhanan mengatur dan menyusun alam ini dengan tertib dan teratur supaya tidak wujud perlanggaran dan konflik. Sebuah lebuh raya dibangunkan manusia, sehebat mana binaan dan susunannya boleh menyebabkan perlanggaran dan kesesakan terjadi. Manusia ada upaya tertentu dalam mengurus sesuatu tetapi tidak mampu mengurus alam ini. Ia adalah kudrat Pencipta yang mencipta alam ini iaitu Allah.

Bayangkan lebuh angkasa yang diatur oleh Allah selaju mana pergerakannya cakerawala dan bintang-bintang termasuk galaksi yang berbilion jumlahnya tetap berada di landasannya melainkan takdir Allah menjadikan sebaliknya. Ia mencetuskan fikrah Islami bahawa Allah mencipta sesuatu dalam alam ini dan di bawah kuasa-Nyalah diatur dan ditertibkan.

Oleh itu Islam agama yang diturunkan oleh Allah mahukan penganutnya menjadi orang tertib, teratur, mempunyai disiplin dan adab tinggi supaya kesejahteraan hidup terjadi. Pola fitrah ini memang dimiliki oleh manusia dan alam supaya natijah akhirnya ialah keteraturan dan ketertiban.

Menjadi Islam dalam erti kata sebenarnya ialah menjadi orang baik, amanah, adil, bertimbang rasa, telus dan tulus. Ajaran al-Quran dan sunah nabi mendidik manusia menjadi makruf dan menjauhi kemungkaran. Sempadan amal manusia ialah mengamalkan yang soleh dan bukannya yang toleh (terlarang).

Sifat ubudiyyah (ketaatan) kepada suruhan dan larangan Allah menyebabkan diri terhindar daripada perlakuan berdosa menyebabkan jiwa jadi tenang dan tenteram kerana jalan sakinah yang dituruti.

Perjalanan langit dan di bumi yang menuruti perintah Allah berada dalam keadaan yang tertib. Kehidupan manusia yang patuh dan taat dengan suruhan dan larangan Allah akan mengekalkan manusia berada dalam fitrah.

Berada dalam fitrah bermakna berada dalam Islam. Berada di luar fitrah bukan ajaran Islam. Bercakap jujur dan benar, bersifat amanah dan adil, membantu manusia dengan ikhlas adalah sifat fitrah yang mulia.

Bila sandaran amalan ini ikhlas kerana Allah, faedah­nya tidak sahaja pada diri tetapi juga kepada yang lain. Ia bakal mencetuskan asas kedamaian dan kebahagiaan yang amat diperlukan oleh manusia dan kehidupan.

Menjadi Islam dalam batasan syahadah semata-mata belum memungkinkan akhlak dan amalnya menjadi baik. Syahadah dikuti dengan amal soleh menjadikan seseorang Islam manusia contoh yang boleh dijadikan sumber teladan dan peribadi ikutan.

Ia menuntut kefahaman dan penghayatan yang tinggi. Menjadi penganut tanpa kefahaman dan penghayatan ilmu menyebabkan wajah Islam tidak terserlah. Lazim­nya, manusia mudah terpengaruh dengan perkara-perkara negatif dalam hidup dan menyebabkan fikirannya bercelaru, cakap tak serupa bikin, ego di luar kawalan dan kenafsuan melonjak.

Umat Islam adalah umat yang mampu mengawal diri. Keyakinan tinggi terhadap adanya Pencipta menyebabkan ketertiban diri berlaku. Ketundukan dalam solat menjadi pedoman ketundukan dalam melakukan amal harian dan memahami batas dosa-pahala. Mereka yang takut akan balasan Allah menjadi orang yang patuh dan taat kerana itulah kekuatan yang patut ada bagi orang Is­lam.

Dengan demikian orang Islam menjadi baik. Berdisip­lin dalam tingkah laku, jujur dalam perlakuan, amanah dalam amal perbuatan dan bijaksana dalam mengatur strategi. Contoh seperti ini sukar ditemui kini. Pega­ngan agama orang Islam terhadap prinsip sebahagiannya tidak kuat. Agama dilihat sebagai tradisi diwarisi, bukannya sebagai pedoman amalan yang diikuti.

Sekiranya Islam dijadikan pedoman, amalan tidak sahaja menjadikan seseorang itu Muslim tetapi juga mukmin. Menjadi mukmin adalah cita-cita murni orang yang yakin kepada agama ini.

Inilah sebenarnya makna menjadi seorang Islam. Orang Islam tidak mensyirikkan Allah. Kesatuan hubungan dengan Allah menjadikan manusia memiliki sifat taabudi (ketaatan) kepada-Nya. Ketaatan ini penting kerana musibah akan berlaku bila keingkaran terjadi.

Ketaatan ialah asas kepada disiplin dan adab. Adab dalam bahasa ilmu membawa maksud disiplin akal, disip­lin hati dan disiplin amal. Bila ini terjadi kepada manusia ia bakal menjadi seorang Islam yang baik. Ia sentiasa terhubung dengan Allah dalam pemikiran, terkait dengan Allah dalam niat dan mengambil pertimbangan Allah dalam amal. Ia menjadikan seorang Islam terkawal akhlak dan tingkah lakunya.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).