Jelas bahawa pertama, Bajet 2018 membawa pendekatan yang lebih futuristik kerana mengambil kira hala tuju negara dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50). Kedua, penerapan aspek insaniah dalam setiap inisiatif yang telah dirancang berlandaskan pemeliharaan lima aspek dalam Maqasid Syariah iaitu agama, akal, nyawa, harta dan keturunan dapat dilihat dengan ketara dalam pembentangan tersebut.

Kali ini, Bajet 2018 yang dianggap ‘ibu segala bajet’ sebagaimana yang dikatakan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar, begitu seimbang dari segi perencanaan kewangan dan pengisiannya.

 

Realiti kini adalah kita sudahpun berada di dalam satu era ketika teknologi sudah pun menjadi sebahagian daripada cara hidup, dan perkataan seperti robotik, teknologi nano, bioteknologi dan artificial intelligence (AI) menjadi bualan dalam kalangan masyarakat. Dengan dunia di hujung jari melalui pelbagai aplikasi dalam telefon pintar, kebergantungan masyarakat terhadap internet sudah berada pada tahap sama seperti keperluan asas yang lain.

Menurut Professor Klaus Schwab, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif World Economic Forum, impak revolusi ini terlalu pantas dan memberi kesan kepada pelbagai industri, ekonomi dan negara di dunia; justeru kita perlu merombak sistem dan proses sedia ada.

Namun begitu impak Revolusi Industri Keempat yang lebih besar adalah kepada nilai kemanusiaan itu sendiri dalam menjalani kehidupan sebagai masyarakat global. Sebagaimana Revolusi Industri terdahulu mengubah landskap kehidupan masyarakat kita hinggakan berlaku ketirisan dalam budaya ketimuran yang diamalkan, Revolusi Industri Keempat ini mempunyai impak yang lebih mendalam dan pastinya akan mempengaruhi paradigma dan world view masyarakat di negara ini, terutama generasi muda yang kini menjadi digital natives atau masyarakat asli digital.

Jangankan anak-anak, ibu bapa mereka sendiri akan merasa sesuatu yang kurang sekiranya telefon pintar tidak mempunyai akses internet ketika pulang ke kampung contohnya. Tidak berhubung melalui Facebook, Wechat, WhatsApp atau Instagram seolah-olah tidak lengkap kehidupan seorang individu kini. Kalau pada era 80an teguran “Lama tak nampak?” merujuk kepada kewujudan seseorang secara fizikal, kini teguran yang sama mungkin merujuk kepada kemunculan di media sosial dalam bentuk digital.

Tidak dapat disangkal kepesatan teknologi digital ini mempunyai impak yang positif dalam hubungan manusia. Ibu bapa yang anak-anak belajar jauh di luar negara tidak perlu risau lagi menunggu khabar berita kerana dalam masa sesaat, mereka akan tahu apa yang dilakukan oleh anak masing-masing melalui pelbagai aplikasi dalam telefon pintar.

Sekiranya ibu bapa tersebut mahu melawat anak di luar negara, urusan tempahan tiket penerbangan, hotel dan pengangkutan sudah boleh diuruskan di hujung jari. Malah tidak berfikir panjang, mereka akan menerima saja nasihat daripada Trivago untuk memilih di mana mereka tinggal sepanjang lawatan tersebut.

Jelas sekali kebergantungan manusia terhadap maklumat yang dibekalkan melalui gajet sekecil tapak tangan ini mempengaruhi corak kehidupan masyarakat kita sekarang. Persoalannya adalah – adakah masyarakat kita bersedia untuk mendepani perubahan pesat yang berlaku ini dari aspek pengisian rohani, emosi dan nilai yang menjadi identiti kita sebagai satu bangsa Malaysia?

Baru-baru ini, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, telah menyuarakan kebimbangan beliau mengenai kesediaan masyarakat berhadapan dengan cabaran dalam Revolusi Industri Keempat ini. Dalam artikel bertajuk, The Fifth Human Revolution yang disiarkan di The Sun Daily, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap sejauh mana kukuhnya sistem nilai yang menjadi tunjang kepada kekuatan masyarakat dan pemimpin dalam mengharungi arus kepesatan teknologi digital ini.

Sesungguhnya kita tidak dapat lari daripada apa juga perkembangan teknologi yang berlaku di masa kini dan akan datang, justeru pengukuhan nilai kemanusiaan dan kerohanian perlu diperkukuh selari dengan usaha kita mendepani cabaran global. Sehubungan itu, satu revolusi kemanusiaan juga perlu untuk menangani ketirisan nilai yang berlaku hasil daripada revolusi industri terdahulu.

Menarik mengenai Bajet 2018 adalah persediaan kerajaan dalam mendepani Revolusi Industri Keempat dan meletakkan pendidikan sebagai tunjang kepada usaha untuk memastikan generasi akan datang berupaya memacu kemajuan negara berasaskan pengukuhan nilai dan kerohanian.

Sebanyak RM61.6 bilion diperuntukkan untuk pendidikan merangkumi pendidikan asas, pendidikan tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET), lebih dua kali ganda daripada perbelanjaan negara ASEAN lain secara purata. Perbelanjaan ini adalah termasuk emolumen dan pembangunan fizikal serta penyelenggaraan bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada semua anak-anak warganegara.

Jelas bahawa kerajaan terus mengotakan janji yang telah dimeterai melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPIM) (Pendidikan Prasekolah Hingga Lepas Menengah) 2013-2025 dan PPIM (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang meletakkan matlamat keseimbangan ilmu dan akhlak dalam Enam Aspirasi Murid/Pelajar iaitu – pengetahuan kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Perkara penting kini adalah segenap lapisan masyarakat – tidak kira pemimpin mahupun ibu bapa - yang terlibat secara langsung dengan pendidikan perlu memainkan peranan bagi mengukuhkan pengetahuan, kemahiran dan nilai kepada generasi masa kini dan akan datang, selaras dengan pembangunan fizikal yang telah disediakan secara konsisten oleh kerajaan.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).