Buku ini bertujuan mendedahkan susah payah yang dihadapi pensyarah pelbagai kaum pada peringkat awal penubuhan universiti berkenaan berikutan masalah kekurangan prasarana dan jumlah tenaga pengajar tidak mencukupi.

Individu berkenaan adalah wira tidak didendang yang telah ba­nyak menabur jasa sehingga membolehkan UPNM terus menjadi pusat pengajian utama dalam bidang teknologi pertahanan, ekonomi dan diplomasi, hal ­ehwal ketenteraan serta pengajian keselamatan.

Sejarah UPNM bermula dengan penubuhan Akademi Tentera Malaysia (Atma) pada 1995 yang bertanggungjawab menyediakan latihan ketenteraan kepada kadet dan pada masa sama menawarkan program pengajian peringkat ijazah sarjana muda.

Perbezaan antara kedua-­keduanya adalah Atma mencontohi Akademi Angkatan Pertahanan Australia (ADFA) manakala UPNM menjadikan Akademi Tentera Amerika Syarikat (USMA) di West Point, New York, sebagai model asas.

Program pengajian Atma dari 1995 hingga 2006 dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dalam tempoh 11 tahun itu, kira-kira 1,017 graduan telah dikeluarkan dalam tiga bidang yang merangkumi kejuruteraan, sains dan pengurusan.

Di samping memperoleh ke­layakan profesional, semua graduan telah ditauliahkan sebagai pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mereka sedang berkhidmat di pelbagai unit dalam Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Peranan Atma kemudian diperluaskan dengan menjadikannya sebuah universiti bermula pada 2006 dengan pelajar adalah terdiri daripada siswa awam sebanyak 30 peratus dan selebihnya siswa tentera.

Siswa tentera perlu berkhidmat dengan ATM sekurang-kurangnya selama 10 tahun setelah tamat pengajian dengan pangkat leftenan dan leftenan muda pada peringkat permulaan manakala siswa awam bebas memilih bidang pekerjaan yang akan diceburi.

Bagi siswa tentera, selain akademik, mereka turut dilatih dengan ilmu ketenteraan. Pengetahuan berkenaan bukan setakat mengenai cara-cara mengguna senjata api malah berkaitan kaedah mengurus masa dengan berkesan, bagaimana bekerja secara berkumpulan dan kemahiran merancang serta menggunakan sumber secara berkesan.

Kemahiran lain yang dipelajari adalah cara-cara berkomunikasi secara berkesan, etika kerja yang tinggi dan bagaimana untuk terus tenang walaupun dalam keadaan tertekan.

Antara kisah menarik dalam buku ini adalah mengenai keputusan sebilangan kecil pensyarah UTM yang dipinjamkan ke Atma untuk terus kekal di UPNM setelah akademi tentera itu dinaik taraf sebagai sebuah universiti.

Pengorbanan mereka seharus­nya dipuji memandang skim gaji yang diterima adalah jauh lebih rendah berbanding kadar sedia ada.

Para pensyarah juga tidak mudah patah semangat untuk terus mengajar walaupun kemudahan cukup daif apabila terdapat sesi pengajian terpaksa dijalankan di dalam kontena dan tidak disediakan pendingin hawa.

Masalah lain yang terpaksa dilalui adalah bilik pensyarah tidak mencukupi dan lif kerap rosak sehingga menyebabkan ada tenaga pengajar yang terpaksa memanjat tangga hingga ke tingkat enam walaupun sedang mengandung.

Banyak kenangan menarik lain yang dikongsi pensyarah dalam buku ini termasuk mengenai kerenah birokrasi ketika memohon untuk mendapatkan pas tetap bagi memudahkan mereka keluar masuk Kem Sungai Besi yang lebih dikenali dengan nama kad ‘BAT C’.

Selain perlu mengisi banyak borang, pensyarah berkenaan harus menurunkan cap semua 10 jari dan bukan seperti kebiasaan hanya cap ibu jari yang diambil.

Ketiadaan pas tetap berkenaan akan menyebabkan pensyarah perlu me­ninggalkan kad pengenalan di balai pengawal dan banyak bersoal jawab sebelum dibenarkan masuk.

Dalam pada itu, walaupun peralatan makmal tidak mencukupi dan kekurangan dana untuk melakukan penyelidikan, ada dalam kalangan pensyarah UPNM yang berjaya menghasilkan teknologi berguna seperti konkrit dan kaca tahan letupan yang memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa.

Terdapat juga dalam kalangan pensyarah menulis mengenai kesukaran dihadapi apabila tidak banyak kemudahan pengangkutan awam disediakan untuk ke Kem Sungai Besi.

Bagi pensyarah yang tidak tahu memandu, mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan teksi.

Kadang-kadang pensyarah yang mahu cepat sampai ke destinasi tiada pilihan kecuali menggunakan perkhidmatan teksi secara tidak berdaftar atau lebih dikenali sebagai prebet sapu, hasil ihsan pekerja-pekerja dalam kem yang mencari pendapatan tambahan.

Ada juga tenaga pengajar yang berkongsi pengalaman melucukan ketika menghadiri temuduga untuk menjadi pensyarah apabila tersesat ke Pangkalan TUDM Su­ngai Besi sedangkan sesi itu diadakan di tempat berlainan di Kem Sungai Besi.