Beliau inginkan jawapan kepada enam soalan berikut. Pertama, apakah benar ada TRM yang telah ‘hilang’ di negara ini. Dan jika betul ada, berapakah saiznya?

Kedua, apakah langkah yang sepatutnya diambil untuk memastikan TRM yang hilang itu digantikan? Ketiga, siapakah yang memikul beban melaksana ‘penggantian’ itu?

Keempat, apakah suatu prosiding undang-undang boleh diambil terhadap kerajaan negeri yang gagal melaksanakan ‘penggantian’ itu?

Kelima, siapakah yang ada kuasa memulakan prosiding tersebut? Keenam, andainya terbukti (sabit) ‘kesalahan’ pihak berkenaan, apakah ‘hukuman’ yang boleh dikenakan ke atasnya?

Memang benar ada TRM yang telah ‘hilang’ semenjak negara merdeka. ‘Kehilangan’ ini berlaku apabila ada TRM dibatalkan statusnya oleh kerajaan negeri, tetapi kemudian tidak digantikan seperti dikehendaki oleh undang-undang negara ini.

Penggantian TRM yang hilang itu adalah satu kewajipan berperlembagaan (constitutional duty) yang disebutkan dalam Perkara 89 Fasal (3) Perlembagan Persekutuan (PP).

WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

Mengikut “Wasiat Raja-Raja Melayu”, 50% daripada semua tanah di Negeri-Negeri Melayu “hendaklah terus disimpan untuk orang Melayu manakala selebihnya boleh direbut bersama-sama kaum lain”.

Kesimpulannya, Raja-raja Melayu mahu TRM terus kekal pada tahap minimum 50% semua tanah di sembilan Negeri-Negeri Melayu (tidak ada TRM di Pulau Pinang dan Melaka). Dalam masa sama, orang Melayu masih dibenarkan mendapatkan lagi sebahagian dari 50% selebihnya itu bersama kaum lain.

Pada Oktober 2012, negara dikejutkan oleh satu laporan yang mendakwa jumlah TRM yang masih ada di negara ini hanya setakat 12% sahaja.

Laporan itu menyatakan bahawa tiga juta hektar TRM yang ada pada 31 Ogos 1957 ‘semakin terhakis’. Dua tahun kemudian, pada November 2014, sebuah portal berita lain pula mengulangi cerita ini sambil menyatakan bahawa situasi buruk ini (TRM tinggal 12%) merupakan satu ‘pengabaian tanggungjawab perlembagaan oleh kerajaan’.

Dalam satu kajian oleh Mohd Yusof Kasim dan Zainal Abidin Hasim berasaskan maklumat rasmi dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri pada tahun 2008, keluasan TRM pada tahun 1947 adalah 2,422,720 hektar.

Pada tahun 2008 pula, saiz TRM adalah 4,268,537 hektar – yang bermakna ada penambahan 1,845,817 hektar, bukan pengurangan.

Mengikut kajian yang sama, apabila jumlah keluasan TRM pada tahun 2008 itu (4.2 juta hektar) dibandingkan dengan keluasan keseluruhan tanah di Negeri-Negeri Melayu (13 juta hektar), ia bermakna bahawa saiz keseluruhan TRM di negara kita pada tahun itu adalah kira-kira 32% hingga 33%, bukan hanya 12%.

Maklumat ini disokong oleh Dr. Mohd Hasrol Haffiz, seorang pensyarah universiti yang telah menjalankan kajian mengenai TRM lebih satu dekad.

PINDAH MILIK KEPADA BUKAN MELAYU?

‘Kehilangan’ TRM terus berlaku disebabkan TRM di negeri-negeri terus menerus dibatalkan statusnya untuk ‘ditransformasi’ menjadi seperti tanah lain (pegangan bebas) boleh dijual dan dipindah milik kepada bukan Melayu.

Di Kedah, perkara ini berlaku apabila tanah bendang (berstatus TRM) dimajukan sebagai projek perumahan, komersial atau industri.

Untuk membolehkan unit-unit hartanah di projek tersebut dijual kepada bukan Melayu, status asal TRM tanah itu telah dibatalkan oleh Raja dalam Majlis (Ruler-in-Council) Kedah di bawah Seksyen 4 Enakmen Rizab Melayu Kedah 1931. Saya diberitahu bahawa fenomena di Kedah ini dipanggil swapping.

Perkara 89 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa apabila satu bidang TRM dibatalkan statusnya, kerajaan negeri hendaklah menggantikan TRM yang hilang itu dengan “tanah lain yang serupa jenisnya dengan tanah itu dan seluas tidak lebih daripada luas tanah itu”.

Fasal (3) itu juga menyatakan bahawa penggantian ini hendaklah diisytihar “dengan serta merta”. Mengikut Datuk Bakar (pesara kerajaan yang berpengalaman luas dalam pentadbiran tanah di Kedah), kewajipan menggantikan TRM yang hilang memerlukan tindakan bersepadu setiap lapisan pentadbiran kerajaan.

Beliau mengakui bahawa sewaktu bertugas dulu, kerja menggantikan TRM yang hilang bukan suatu yang mudah kerana tiada peraturan khusus yang menggariskan prosedur perlu dipatuhi.

BUKAN JENAYAH?

Apabila saya kemukakan isu kegagalan menggantikan TRM yang hilang itu kepada pakar undang-undang perlembagaan, Dr. Aziz Bari, beliau menyatakan ia bukan satu ‘kesalahan jenayah’.

Ini kerana Perlembagaan Persekutuan tidak menyebutkan apa-apa penalti atau hukuman bagi pengabaian kewajipan tersebut. Beliau menyarankan “penyelesaian isu ini dicari dalam arena politik”.

Saya tanya beliau memandangkan pembatalan status TRM itu dibenarkan perlembagaan dengan syarat ia disusuli segera dengan penggantian TRM yang baru, tidakkah kegagalan membuat penggantian itu menyebabkan tindakan pembatalan tidak sah dan batal?

Beliau menjawab “Itu satu hujah yang menarik. Boleh dikemukakan andainya pembatalan TRM itu dicabar di mahkamah.”

Empat tahun lalu, seorang tokoh politik wanita ada mencadangkan (sewaktu berucap dalam satu Perhimpunan Agung parti politiknya) agar Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk membolehkan Peguam Negara sebagai custodian of the public interest mengemukakan petisyen kepada mana-mana kerajaan negeri yang terus gagal mengganti TRM yang hilang.

Kita perlu sedar bahawa undang-undang tanah rizab Melayu kita sudah usang dan ketinggalan zaman, selain tidak seragam.

Sudah tiba masanya enam undang-undang ini (iaitu lima Enakmen TRM berasingan bagi lima negeri dan satu Enakmen TRM seragam bagi 4 Negeri-Negeri Melayu Bersekutu) dipinda, dimodenkan dan diseragamkan agar masalah seperti kehilangan TRM ini dan isu-isu lain yang kritikal dapat diselesaikan.

Perlembagaan Persekutuan juga perlu dikaji semula agar isu ‘hukuman’ bagi kerajaan negeri yang gagal mematuhi kehendak Perkara 89 Fasal (3) itu dapat difikirkan.

Selain semakan dan penambahbaikan Enakmen TRM dan Perlembagaan Persekutuan, mungkin boleh dipertimbangkan juga cadangan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas TRM di bawah naungan Majlis Raja-Raja, memandangkan isu kehilangan TRM ini ada hubung kait dengan Wasiat Raja-raja Melayu.

Akhir sekali, mungkin sudah tiba masanya satu Mahkamah Perlembagaan (Constitutional Court) ditubuhkan kerana ia adalah forum lebih sesuai (berbanding mahkamah biasa) membicarakan ‘kesalahan’ kerajaan negeri didapati gagal menggantikan TRM yang hilang.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.