‘Bahasa rojak’ adalah bahasa sembang di mana-mana sahaja. Dalam mesyuarat pun sering ada. Dan ia tidaklah menjadi sebab yang ‘menghakis kekuatan’ dan mutu bahasa Melayu.

Keutuhan, maruah dan nilai bahasa Melayu bergantung kepada penggunaan dalam urusan rasmi, pentadbiran kerajaan, bidang ilmu, ucapan para pemimpin dan yang penting bergantung pada nilai ekonominya dalam dunia perniagaan dan pasaran kerja. Pendek kata, bahasa rojak dalam kalangan remaja tidak akan menjejaskan imej bahasa Melayu.

Akan tetapi penggunaan campur aduk bahasa Melayu de­ngan bahasa Inggeris pada pelbagai jenis iklan dalam media dan pemidang iklan di pinggir jalan memanglah satu penghinaan terhadap bahasa Melayu. Lebih memalukan dan menyakitkan hati lagi apabila pelbagai iklan perniagaan dalam bahasa Inggeris terpampang di sepanjang lebuh raya. Sebabnya, iklan dalam bahasa Melayu tidak ada nilai ko­mersial.

Dalam masa kira-kira 10 tahun terakhir ini, penggunaan bahasa Inggeris semakin berleluasa pula digunapakai untuk menamakan rancangan atau program kementerian dan jabatan kerajaan. Bermula dari Mykad, sekarang ada bermacam my lagi termasuklah program LKIM MyBeli Mini Market. Terpampang pula tulisan besar UTC (Urban Transformation Centre atau Pusat Transformasi Bandar) dan RTC (Rural Transformation Centre atau Transformasi Luar Bandar). Di Kuala Lumpur ada pula ungkapan River Of Life.

Ada program untuk rakyat luar bandar dinamakan Rural Business Challenge. Di Melaka – bandar raya bersejarah - ada Admiral City, Lion City, Faith View dan projek persembahan seni Melaka Impression.

Kementerian Belia dan Sukan ada program MyCorps dan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada program Smart Partnership. Dalam pasukan polis ada jawatan Senior Asisten Komisioner dan Deputi Komisioner.

Pendek kata, semakin banyak jabatan kerajaan menggunakan istilah Inggeris dan Inggeris campur Melayu. Amalan ini menimbulkan kesan psikologi bahawa bahasa Melayu tak mampu untuk memenuhi keperluan zaman internet, sains dan teknologi terkini.

Inilah isu bahasa yang perlu di­tangani segera. Malangnya pe­juang bahasa lama semakin hilang, tak bermaya, malas dan kecewa. Pejuang baharu hanya penyair Dr. Lim Swee Tin dan Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong.

Universiti semakin banyak te­tapi tidak ada lagi pertubuhan ma­hasiswa yang prihatin terhadap isu bangsa dan bahasa – se­perti mahasiswa tahun 50-an hingga 70-an. Persatuan guru Melayu pun sepi. Bagi orang politik, bahasa tidak lagi penting. Nasionalisme bahasa dah mati. ‘Politik bahasa’ ditenggelami oleh politik kuasa dan wang.

Setelah kembalinya Datuk Ha­ssan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka bukan lagi markas pejuang dan pembinaan bahasa dan sastera. Rancangan Audit Bahasa hilang bersama pindahnya Datuk Dr. Awang Sariyan ke Beijing. Acara Bulan Bahasa semakin tak bermaya. Persatuan penulis pun sepi. Yang saya nampak masih ‘terus bersemangat’ memperjuangkan bahasa Melayu ha­nya akhbar Utusan Malaysia, Datuk Baha Zain dan Tan Sri Dr. Rais Yatim. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dan Profesor Abdullah Hassan timbul juga sekali sekala. Dah tak larat!

Demikianlah adanya nasib bahasa Melayu. Masa lah yang akan menentukan.

DATUK NOOR AZAM ialah pemerhati sosiopolitik.