Md. Salleh Yaapar

Nilai utiliti atau nilai kepenggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menyebabkan aspek cinta negara dan cinta negara bangsa semakin merosot dari semasa ke semasa.

Lebih membimbangkan orang Melayu sendiri ramai tidak boleh bercakap bahasa Melayu dengan betul. Bahasa Melayu kini boleh dianggap sebagai bahasa ‘melayuinggeris’ yang mencerminkan kerosakan bahasa yang amat serius.

Dasar Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) misalnya dilihat hanya memperhebatkan bahasa Inggeris, manakala bahasa Melayu tidak digalakkan.

Lantaran tiada pem­belaan bersungguh-sungguh maka bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perdagangan terus ter­abai. Keadaan ini dijangka melarat kepada ke­adaan yang mana tanah air kita hilang identiti asas dan kepentingan bahasa sendiri.

Justeru perjuangan memartabatkan bahasa Melayu adalah antara tujuh resolusi yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Kongres Budaya 2017 diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Penganjuran Kongres Budaya 2017 ini adalah yang kedua selepas Kongres Kebudayaan peringkat nasional terakhir diadakan pada 1971, yang dirasmikan Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Kira-kira 18 resolusi berkaitan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan dikemukakan pada Kongres Budaya 2017 untuk dipertimbangkan bagi pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Isu bahasa diketengahkan ­kerana mutakhir ini banyak pihak tidak menghormati kedudukan dan martabat bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Lebih menyedihkan apabila orang Melayu sendiri menganaktirikan bahasa Melayu.

Menurut Pengerusi Sektor Memartabatkan Bahasa Melayu Kongres Budaya 2017, Profesor Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, pihaknya mencadangkan beberapa resolusi termasuklah mewajibkan semua pihak agar mentaati Wasiat Raja-Raja Melayu yang menetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

“Kongres juga akan menuntut agar DLP yang secara terang-terangan bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, dan merampas hak bahasa Melayu hendaklah dihentikan segera.

“Pengalaman negara ­melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam bahasa Inggeris terbukti gagal, malah dimansuhkan,” katanya pada pembentangan rumusan resolusi itu pada Sesi Khas Prakongres Budaya 2017: Pembudayaan Tamadun Tinggi Dalam TN50 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Md. Salleh berkata, pihaknya juga membantah apa sahaja usaha untuk memperkenalkan dasar dua aliran dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Tambah beliau, kongres juga sekeras-kerasnya menolak cadangan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) anjuran Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau mana-mana sistem pentaksiran yang tidak akur dengan kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan awam Malaysia.

“Kongres juga mahu menuntut agar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perundangan dimantapkan bermula daripada penggubalan undang-undang, Mahkamah Majistret sehinggalah ke Mahkamah Persekutuan ter­utama dari segi pengurusan kes dan penghakiman.

“Semua dokumen, surat perjanjian yang berkaitan undang-undang hendaklah dalam bahasa Melayu dan versi antarabangsa­nya hendaklah ada dalam bahasa Melayu,” katanya.

Md. Salleh berkata, bagi mendaulatkan bahasa kebangsaan, kongres juga akan mendesak tindakan konkrit diambil agar semua transaksi dan dokumen rasmi dalam perniagaan dan perdagangan mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, kongres turut mendesak supaya salah satu kriteria kenaikan pangkat pensyarah atau ahli akademik di universiti awam adalah kebolehan mengajar sesuatu kursus dalam bahasa Melayu dan penerbitan makalah jurnal dan buku dalam bahasa Melayu.

“Kongres juga mahu mencadangkan warga asing yang datang untuk belajar dan bekerja di Malaysia perlu menduduki peperiksaan untuk Sijil Kemahiran Bahasa Melayu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka diberi peranan khusus mengendalikan sijil kemahiran itu,” katanya.

SEMPENA KONGRES BUDAYA 2017 DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA HARI INI

1. Bahasa Melayu

- Menolak UEC yang tidak menepati aliran pendidikan

kebangsaan

- Tulisan Jawi jadi komponen utama kurikulum sekolah

- Wujudkan peperiksaan khas bahasa Melayu untuk pelajar

dan pekerja warga asing

2. Warisan Budaya dan Industri Kandungan Kreatif

- Memperbanyakkan aktiviti dan program budaya dalam

industri kreatif

- Dasar Industri Kreatif Negara diaktifkan dan dikaji semula

- Wujudkan dana untuk penerbit, karyawan dan pengeluar

bagi menghasilkan karya berbentuk budaya

3. Warisan Seni Rupa Bangsa

- Giatkan usaha pemuliharaan seni bina tradisional tempatan

- Wujudkan biasiswa untuk pelajar pengajian bidang manuskrip

- Mendigitalkan manuskrip lama Melayu

- Tubuhkan pangkalan data seni bina tradisional

4. Warisan dan Institut Adat Melayu

- Memartabatkan institusi raja Melayu

- Memartabatkan institusi adat Melayu

- Karya sastera diberi penekanan dalam kurikulum pendidikan

5. Pengajian Warisan dan Budaya

- Wajibkan kursus pengajian warisan dan budaya di IPT

- Wajibkan universiti menggunakan bahasa Melayu dalam

hal ehwal pentadbiran

- Wujudkan Dasar Budaya Kebangsaan

- Penyampaian pengajaran wajib menggunakan bahasa Melayu

6. Bina Budaya Ekonomi Bumiputera

- Bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi

- Wajibkan pemegang sektor ekonomi menjalani khidmat nasional

7. Pembudayaan Tamadun Tinggi Dalam TN50

- Mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Kebudayaan

Negara sebagai penasihat pembinaan budaya bangsa

- Pengajian Sejarah Melayu dan manuskrip lama sebagai inti

pati utama pembelajaran di IPT

- Elemen budaya dalam masyarakat berbilang kaum khususnya

Melayu perlu diterapkan dalam pelaksanaan TN50