Sambutan Hari Malaysia sangat besar maknanya kerana ia melambangkan kewujudan sebuah negara Malaysia yang kuat dan mandiri. Kekuatan Malaysia terdiri daripada gabungan Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah yang membentuk sebuah negara sejak 16 September 1963. Singapura yang pada awalnya menyertai Malaysia telah keluar pada 9 Ogos 1965.

Bukan semua pihak bersetuju dengan idea pembentukan Malaysia pada ketika itu. Ada negara di rantau ini melihat usaha itu sebagai satu bentuk penjajahan baharu di Asia Tenggara. Bagaimanapun, pembentukan Malaysia akhirnya berjaya direa­lisasikan apabila pungutan suara mendapati majoriti penduduk di Sabah dan Sarawak bersetuju agar kedua-dua negeri ini menyertai Malaysia.

Jika diimbas kembali sejarah, idea pembentukan Malaysia didorong oleh empat faktor utama. Faktor-faktor tersebut ialah ancaman komunis di Singapura, mencapai keseimbangan kaum, memacu kemajuan ekonomi bersama dan mempercepat kemerdekaan. Jika diamati keempat-empat faktor ini, sungguh jelas bahawa pembentukan Malaysia bermatlamatkan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Dalam membincangkan tentang Hari Malaysia, tumpuan sudah tentu berkaitan dengan penyertaan Sabah dan Sarawak. Kemasukan dua negeri ini dalam Malaysia membantu negara mencapai keseimbangan kaum antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Pembentukan Malaysia juga mengambil kira usaha memacu kemajuan ekonomi bersama yang bertujuan memastikan pembangunan ekonomi negara adalah menyeluruh dan inklusif. Ini bermakna, idea inklusiviti sebenarnya telah difikirkan lebih awal oleh pemimpin negara ketika itu.

Selain itu, pembentukan Malaysia melancarkan usaha ke arah kemerdekaan untuk Sabah dan Sarawak (selain Singapura dan Brunei).

Kini, Malaysia telah berusia 54 tahun. Ia adalah satu tempoh yang panjang dan mematangkan. Persoalannya sekarang, apakah matlamat pembentukan Malaysia telah berjaya di capai? Apakah kita berjaya memenuhi aspirasi pembentukan Malaysia sepertimana semangat asalnya pada 1963?

Sejak pembentukan Malaysia, kita berjaya memacu pembangunan negara bangsa yang utuh. Tidak dinafikan, sistem persekutuan ini telah menawarkan bentuk pemerintahan yang strategik antara pusat dan negeri.

Lebih penting dalam konteks Sabah dan Sarawak, mereka diberikan kuasa tambahan selain peruntukan melalui Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan. Misalnya, kedua-dua negeri itu diberi kuasa untuk mengekalkan kuasa kawalan, kemasukan dan kediaman di negeri seperti yang termaktub di bawah Akta Imigresen 1963. Kuasa tambahan ini secara jelas memperakukan kedudukan yang tinggi terhadap Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.

Agenda Malaysia berasaskan semangat pembentukan Malaysia sangat besar dan tidak boleh dianggap mudah. Sepertimana hasrat dalam pembentukan Malaysia, negara perlu memastikan pembangunan yang inklusif, meliputi Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu tidak dinafikan masih wujud suara yang membandingkan pembangunan antara di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Mereka mendakwa, masih wujud jurang pembangunan yang besar antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Dakwaan ini seolah-olah meragui impak pembentukan Malaysia yang sepatutnya memberi nikmat pembangunan yang menyeluruh pada setiap wilayahnya.

Bagaimanapun, harus diingatkan bahawa proses pembangunan bukan berlaku sekelip mata. Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, banyak projek pembangunan yang telah dan sedang dibawa oleh kerajaan pusat khusus untuk Sabah dan Sarawak.

Paling jelas ialah pembangunan projek Lebuh Raya Pan Borneo, iaitu sepanjang 2,325 kilometer yang bernilai RM16 bilion. Lebuh raya ini adalah tulang belakang kepada perhubungan di Borneo, bermula dari Telok Me­lano di Sarawak hingga ke Tawau di Sabah. Projek mega ini adalah bukti komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam usaha memastikan pembangunan di Sabah dan Sarawak adalah seiring dengan hasrat Malaysia menuju era negara maju.

Projek lebuh raya ini bakal mencetuskan perubahan besar dan merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial di Sabah dan Sarawak. Hakikatnya, kelangsungan Malaysia amat bergantung kepada kekuatan negeri-negeri yang membentuknya, sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

Apa pun sambutan Hari Malaysia yang bakal diraikan beberapa hari lagi, wajar menjadi medan terbaik untuk kita bermuhasabah dan melihat ruang penambahbaikan demi kebaikan bersama. Keupayaan setiap negeri perlu diperkukuh demi kelangsungan negara Malaysia yang tercinta. Integrasi nasional mesti diperhebat untuk mencapai makna perpaduan sebenar.

Bagi mengupas perkara ini dan isu berkaitan sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Wacana Ilmuwan bertajuk Negaraku Malaysia: Di Mana, Ke Mana Kita, pada hari ini, bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM. Selamat Hari Malaysia yang ke-54. Salam 1Malaysia Negaraku!

DR. MOHD. IZANI MOHD. ZAIN ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu MPN.