PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi penerangan oleh Ahmad Sarji Abdul Hamid (depan kiri) mengenai projek PNB 118 di Kuala Lumpur, 16 Mac 2016. UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

Walaupun dikenali sebagai tokoh birokrat ulung dan banyak terbabit mentransformasikan perkhidmatan awam, terdapat sumbangan lain beliau yang kurang diketahui umum iaitu memulihara bangunan bersejarah di Malaysia.

Sumbangan tokoh berusia 80 tahun itu banyak dicurahkan ketika beliau menjadi Presiden Badan Warisan Malaysia (BWM) selama 18 tahun dari 1995 hingga 2013.

Tidak ramai dalam kalangan kita yang mengetahui sebab Stadium Merdeka dan Stadium Negara terus kekal sehingga kini walaupun terletak di atas tanah bernilai tinggi bersebelahan tapak projek bangunan pencakar langit ter­tinggi di Malaysia, PNB 118 yang sedang rancak dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2024.

Rakyat beruntung kerana tapak berkenaan dimiliki Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikatnya, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. yang cukup prihatin dalam memulihara warisan negara.

Jika tanah itu dimiliki syarikat swasta lain, sudah pasti dua warisan negara berkenaan akan dirobohkan dan dibina sebanyak mungkin ba­ngunan pencakar langit bagi menjana keuntungan maksimum.

 

Nasib malang itulah yang dialami banyak bangunan bersejarah lain di Kuala Lumpur. Antara contoh diberikan Ahmad Sarji adalah bangunan Hongkong and Shanghai Bank dan Bok House yang disifatkannya sebagai monumen masa lampau yang telah dirobohkan bagi mengejar keuntungan.

Menurutnya, pada 1998, ketika beliau menjadi Pengerusi PNB, syarikat itu telah membeli tanah yang menempatkan dua stadium ber­kenaan dengan harga RM311 juta.

Selepas itu, tulis beliau, pihak­nya telah melakukan kerja-kerja memulihara Stadium Merdeka kepada bentuk asal sama seperti ketika Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan merdeka seba­nyak tujuh kali pada 1957.

PNB dengan sukarela turut mengambil langkah mengisytiharkan 48 peratus kawasan yang menempatkan dua stadium itu sebagai Warisan Kebangsaan. Pengisytiharan itu telah dibuat pada 17 Oktober 2005 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Sebagai bangunan Warisan Kebangsaan, kedua-dua stadium itu tidak boleh dirobohkan, malah pemilik dimestikan menjaga khaza­nah negara terbabit supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.

Sejajar dengan kehendak akta itu, PNB pada 2006 me­nubuhkan Badan Amanah Warisan Merdeka yang dipengerusikan Ahmad Sarji untuk mengurus, membaik pulih dan memelihara Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai khazanah warisan negara.

Satu lagi sumbangan Ahmad Sarji adalah untuk mendapatkan bantuan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi memulihara Rumah Penghulu Abu Seman yang kini menjadi salah satu tarikan pelancong yang popular di Jalan Stonor, Kuala Lumpur.

Rumah yang dipercayai ber­usia 90 tahun ketika dipindahkan ke Kuala Lumpur pada 1996, asalnya terletak di Kampung Sungai Kechil, Bandar Baharu, Kedah.

Dalam pada itu, kita pasti tertanya-tanya apakah sebab Ahmad Sarji cukup mencintai khazanah warisan negara. Alangkah beruntungnya Malaysia sekiranya ramai lagi individu di negara ini mempunyai kesedaran seperti itu.

Menurut Ahmad Sarji, minat itu timbul kerana sudah terdedah dengan bangunan bersejarah sejak kecil lagi. Beliau dilahirkan di Tapah, Perak yang mempunyai bangunan sedemikian.

Tulisnya, ketika menjadi penuntut universiti dari 1957 hingga 1960, beliau sering menggunakan perkhidmatan kereta api dan cukup kagum dengan Stesen Kereta Api Ipoh yang mempunyai ciri-ciri seni bina Moor (utara Afrika).

Tambah beliau, antara cara untuk memulihara khazanah wari­san negara adalah dengan me­nyim­pan rekod lakaran bangunan bagi membolehkannya dibangunkan semula jika berlaku bencana.

Kaedah itu digunakan apabila Victoria Institution (VI) di Kuala Lumpur iaitu salah sebuah sekolah menengah tertua di negara ini terbakar pada 1999.

Dalam buku berkenaan, Ahmad Sarji turut memberikan nasihat dengan menulis: “Jika kita percaya bangunan warisan boleh menceritakan kisah sesuatu bandar, penduduknya dan cara hidup di situ, apakah yang akan berlaku jika bangunan terbabit dirobohkan?

“Oleh itu, sangat mustahak untuk kita melihat bangunan ber­kenaan yang menceritakan sejarah menerusi seni bina sebagai aset yang perlu dipulihara.”