Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Memperkasa kerjasama universiti – industri

SEMPENA PROGRAM ADVOKASI ILMUWAN MPN DI UTHM HARI INI

MUKADIMAH: PROGRAM Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini.

 

 

Program bertajuk Kerjasama Universiti-Industri: Apa Masalahnya? bertujuan menilai semula adakah hubungan saling lengkap melengkapi antara kedua-kedua entiti berkenaan benar-benar berjaya.
Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, Naib Canselor UTHM, PROFESOR DR. WAHID RAZZALY melahirkan harapan agar pihak industri terus memainkan peranan dalam memperkasakan kewibawaan universiti.

 

UTUSAN: Sejauh mana pentingnya kerjasama antara universiti dan industri?

WAHID: Kewujudan dua entiti ini sebenarnya saling lengkap melengkapi, jika kita lihat peranan universiti itu sendiri bukan ha­nya terbatas dalam ruang lingkup penciptaan dan penyebaran ilmu. Malah lebih daripada itu, sebuah universiti juga berperanan dalam memastikan graduan yang dilahirkan kelak dapat memenuhi keperluan industri.

Bagi pihak industri pula, mereka melihat universiti sebagai sumber utama bagi me­menuhi keperluan tenaga mahir yang diperlukan untuk memacu organisasi mereka agar terus kekal kompetitif untuk berhadapan dengan cabaran masa kini.

Kejayaan kerjasama ini bukan sahaja bergantung kepada universiti dan industri sahaja. Universiti adalah sebagai penyedia bakat dan akreditasi, industri pula sebagai penyedia pekerjaan manakala peranan pihak kerajaan sebagai badan regulatory dan pihak komuniti sebagai penerima perkhidmatan dan penyokong. Kerjasama ini dinamakan sebagai Quadruple Helix.

UTUSAN: Pihak luar melihat hubungan antara universiti dan industri ini lebih popular melalui kerjasama untuk menjayakan program latihan industri kepada pelajar tahun akhir. Apakah peranan lain yang signifikan dimainkan industri terhadap universiti?

Peranan universiti dan industri berbeza dan mempunyai skop tersendiri walaupun ada persamaan. Pada pandangan saya, performance industri bergantung kepada universiti dan vice versa. Kitaran hidup industri menjadi pendek sekiranya tiada sokongan penyelidikan dan performance universiti juga akan menjadi rendah sekiranya produk universiti tidak relevan dengan industri. Sebagai contoh, Ludwig Maximilian University di Jerman adalah universiti yang berjaya menerima sumber dana industri yang paling tinggi di dunia pada AS$392,800 per staf akademik.

Pandangan serta lontaran idea dari pihak industri sememangnya amat dititikberatkan pihak universiti. Ini dapat dilihat semasa proses penggubalan atau pengemaskinian kurikulum, input dari pihak industri kita peroleh dengan melantik ahli industri yang berkepakaran sebagai Panel Penasihat Industri malahan sehingga ke tahap Profesor Adjung. ­Melalui pelantikan ini, pihak industri berpeluang menyampaikan keperluan terhadap kemahiran yang diperlukan serta menyampaikan syarahan kepada warga universiti.

UTUSAN: Bagaimana pula de­ngan peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan dalam menggalakkan hubungan antara universiti dan industri?

Peranan utama kerajaan adalah sebagai badan regulatory dan penguatkuasaan untuk memastikan kualiti produk dan per­khidmatan adalah terbaik. Badan regulatory utama negara adalah MQA yang disokong oleh badan profesional yang diwakili setiap sektor industri. Selain itu, kerajaan juga penyumbang dana kepada kerjasama ini.

Sememangnya hasrat kerajaan ingin melihat pihak industri turut memainkan peranan dalam memperkasakan kewibawaan universiti dan ini telah diterjemahkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025. Antara inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi adalah dengan mewujudkan Jari­ngan Penyelidikan Swasta-Awam (Public-Private Research Network - PPRN). Melalui program tersebut, pihak industri yang mempunyai masalah teknologi/teknikal boleh mendapatkan khidmat kepakaran dari tenaga akademik di universiti serta memilih cadangan penambahbaikan serta kos yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Melalui program CEO @ Fa­culty pula, ia memberikan ­pe­luang kepada tokoh-tokoh korporat dalam industri negara kita untuk hadir ke universiti bagi berkongsi pengalaman kepada pelajar. Kata-kata hikmah yang diberikan membolehkan pelajar mendapatkan input yang berguna sebagai bekalan persediaan ke alam pekerjaan.

UTUSAN: Kembali kepada to­pik latihan industri, sering kali kita dengar keluhan pelajar bahawa program yang dilalui itu kadangkala tidak memberikan peluang untuk mengaplikasikan kemahiran teknikal yang dipelajari. Apakah sebenarnya peranan industri dalam program ini?

Sebenarnya antara peranan industri juga adalah untuk membantu pelajar dalam suasana pekerjaan sebenar. Tidak akan berlaku tudingan daripada industri bahawa pelajar serba kekurangan sekiranya industri berada dalam proses pembangunan pelajar. Program 2U2i sangat sesuai dengan usaha kerjasama ini, dalam konteks ini juga UTHM bekerjasama dengan industri untuk membangunkan Teaching Factory atau Centre for Techno­logy.

Pelajar juga harus menyedari bahawa konsep latihan industri sebenarnya merangkumi elemen lain yang lebih besar iaitu kemahiran menggunakan softskill se­perti berkomunikasi, pemikiran kritis serta kemahiran menangani tekanan di tempat kerja.

UTUSAN: Selain aktiviti yang dibincangkan, adakah terdapat program lain yang boleh dijayakan antara universiti dan industri. Bagaimanakah hubungan ini dapat diperkasakan lagi?

Kita telah mewujudkan program integrated corporate social responsibility (i-CSR) yang mana melalui program ini mem­bolehkan pelajar kita untuk turut sama menjayakan aktiviti khidmat masyarakat yang ditaja oleh pihak industri. Malahan kita turut memperuntukkan kemudahan bagi staf akademik untuk ditempatkan di industri secara sepenuh masa melalui kemudahan Cuti Sabatikal Industri.

Apa yang lebih penting kini adalah untuk memudahkan pihak industri membuat capaian terhadap kemudahan serta perkhid­matan yang boleh ditawarkan oleh sesebuah universiti, agar menepati keperluan mereka. Di universiti ini sebagai contoh kita telah mewujudkan Pejabat Hubungan Industri khusus bagi memudahkan pihak industri berhubung dengan universiti.

Untuk masa hadapan, konsep universiti dalam industri atau industri dalam universiti perlu diberikan pemikiran sewajarnya.

UTUSAN: Apakah yang di­harap­kan daripada program advokasi ini?

Harapan saya semoga melalui program advokasi ini serta hebahan media dapat menyebarluaskan maklumat khususnya kepada pihak industri bahawasanya universiti sememangnya komited untuk lebih aktif mewujudkan hubungan yang lebih lestari de­ngan pihak industri.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain